Dari stiletto ke kitten heels, cantik untuk dijadikan sebagai aksesori kaki tetapi hakikatnya selalu saja tidak selesa malah menyakitkan.
Beauty is pain. Kasut tumit tinggi sememangnya cantik untuk dipakai, tetapi sangat menyakitkan selepas memakainya sepanjang hari. EH! bariskan beberapa tip yang boleh diamalkan untuk mengelakkan kesakitan semasa memakai kasut tumit tinggi dan juga aftercare selepas memakainya seharian.
Tip Memilih Kasut Tumit Tinggi Yang Sesuai
Pemilihan Kasut Mengikut Usia
Pump heel ataupun stiletto sesuai bagi wanita yang berusia 20an hingga 30an. Namun, ianya tidak disarankan bagi remaja berumur 14-16 tahun untuk memakai stiletto untuk mengelakkan perubahan postur yang kekal atau kecederaan dalam proses pertumbuhan.
Pemilihan Kasut Mengikut Berat Badan
Jangan risau, EH! tidak mendiskriminasi mana-mana saiz wanita. Tetapi sebagai pemakai kasut tumit tinggi dan juga wanita plus sized, anda disarankan untuk memilih wedges heels dan mengelakkan kasut tumit tinggi yang bertutup. Wedges heels amat selesa untuk dipakai dan kasut yang bertutup menggunakan tekanan yang kuat pada bahagian hadapan kaki.

Tip Sebelum Memakai
Supermodel terkenal Malaysia, Amber Chia pernah berkongsi tip sebelum memakai kasut tumit tinggi melalui hantaran di Tiktok. Ini antara panduan yang dia kongsikan.
- Sebelum anda memakai stiletto atau pump heel, lekatkan plaster atau skin tape pada jari kedua bersama jari ketiga dan lekatkan lagi dua jari terakhir bersama bagi mengelakkan jari kaki melecet.
- Ketika anda unboxing kasut tumit tinggi bertutup yang baru dibeli, sapukan sedikit cuka di belakang kasut dan biarkan semalaman untuk melembutkan bahan yang keras.
- Jika kasut baru anda ketat, masukkan kain atau tisu basah lembap ke dalam kawasan jari kaki dan biarkan semalaman untuk meregang dan melebarkan kasut yang ketat secara perlahan-lahan agar lebih selesa.
- Berlatih dengan memakai kasut baharu anda di sekeliling rumah di atas permaidani sebelum memakainya di luar.
Tip Semasa Memakai
- Praktis. Amalkan teknik selamat untuk berjalan naik dan turun tangga dengan anggun sambil mengekalkan keseimbangan badan. Ini kerana tekanan pada kaki ketika menaiki atau menurun tangga lebih berat.
- Berdiri dan berjalan tegak, libatkan teras anda secara merata pada kaki anda untuk mengekalkan langkah yang mantap dan yakin. Tarik bahu anda ke belakang dan ketatkan perut anda untuk kekal seimbang. Tip ini supaya dapat mengelakkan gaya berjalan yang kelihatan kekok.
Tip Penjagaan Kaki Selepas Memakai Kasut Tumit Tinggi
- Regangkan kaki anda selama 10-15 minit bagi melancarkan peredaran darah serta mengelakkan atau mengurangkan bengkak di kaki dan betis.
- Urut secara perlahan-lahan pada tapak kaki di atas bola tenis, bola golf atau botol air beku selama beberapa minit untuk melepaskan lengkungan yang tegang dan meningkatkan aliran darah.
- Sapukan krim pelembap pada tumit kaki untuk mengelakkan tumit kaki kering dan merekah.
- Jika jari kaki anda melecet, bersihkan mana-mana kulit yang melepuh dengan lembut menggunakan sabun dan air suam. Tutupnya dengan pembalut, dan elakkan dari membiarkan kesan meletus terbuka bagi mengelakkan jangkitan.
- Jika anda mengalami kesakitan selepas memakai kasut tumit tinggi, rehatkan kaki anda dengan memakai kasut yang flat atau bertumit rendah selama 1-2 hari seterusnya.
Krim Pilihan Untuk Belaian Kaki
Krim pelembap seperti EUCERIN Spotless Brightening Cream Body Lotion sangat membantu bagi memudarkan parut yang berpunca dari luka melecet. Ia mengandungi thiamidol dan asid hyaluronik yang membantu melembapkan sekali gus merawat tompok hitam di kulit. Krim ini boleh didapatkan secara dalam talian mahupun di mana-mana kedai kecantikan.
Krim pelembap dari CeraVe : Daily Moisturizing Lotion yang membantu melembapkan tumit kaki kering yang merekah. Kulit tumit kaki yang merekah akan menyebabkan kegatalan dan kesakitan. Oleh itu, ianya penting untuk mengelakkan kulit tumit kaki dari merekah dengan menyapu losen selepas memakai kasut yang ketat atau bertumit tinggi.
Mela B3 Body Lotion 200ML dari La Roche Posay juga amat membantu untuk melembapkan kulit. Krim ini mengandungi asid salicylic yang exfoliate kulit yang menggelupas dan juga membantu untuk membuang sel kulit mati. Ianya sangat berfungsi bagi mencerahkan tompok hitam akibat luka. Selain itu, ia juga mengandungi niacinamide yang merupakan bahan pencerah. Gabungan dua bahan aktif iaitu niacinamide dan asid salicylic sangat sesuai untuk dijadikan aftercare selepas memakai kasut yang tidak selesa.



