Idea minimalis namun masih stylish, Pedro meraikan Syawal dengan koleksi istimewa, EID. Sebuah himpunan penuh kesederhanaan namun membuat penampilan lebih sempurna.
Lebaran tinggal kurang seminggu sahaja lagi, dan pastinya sambutan tahun ini akan lebih meriah kerana ramai yang mahu melepas rindu merai Aidilfitri selepas dua tahun tidak berpeluang meraikan seperti lazim akibat pandemik.
Kemeriahan ini sendiri sudah dapat dirasai sejak awal Ramadan lagi bila mana ramai yang sudah melakukan persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri. Tapi jika ada yang masih belum sempat menyiapkan kesemuanya, mencari-cari aksesori sepadan seperti beg dan kasut, ada banyak jenama terkenal yang tampil dengan koleksi istimewa merai Syawal.
Pedro, jenama mampu milik terkenal ini tampil dengan koleksi EID yang mana mereka menawarkan item asas dalam rekaan stylish, merangkumi rekaan beg dan kasut buat perempuan juga lelaki. Mengamati konsep keseluruhan koleksi ini, apa yang dapat disimpulkan Pedro mahu menghasilkan satu himpunan mewah namun dipersembahkan dalam rekaan yang minimalis. Bagi saya itu idea yang kena dengan arus gaya semasa, yang mana unsur glamor itu ditonjolkan dalam pesona yang lebih sederhana.
Himpunan buat wanita diserlahkan dengan mainan ton metalik baik pada kasut mahupun beg tangannya. Pilihan metalik ini adalah satu pilihan ideal kerana ia mudah disesuaikan dengan apa sahaja warna baju raya anda. Perincian pada kasut dan tas tangan juga lebih menyerlah, menyuntik elemen glamor namun tidak berlebih-lebihan. Penggunaan rantai emas pada tali beg mahupun sentuhan pada sepatu membuatkan ilham ringkas lebih menonjol.
Bagi lelaki pula, warna biru gelap menjadi taruhan dan rasanya ini adalah alternatif warna yang bijak selain dari ton monokrom seperti hitam mahupun putih. Himpunan EID dari Pedro ini sudah berada di butik sejak awal April 2022. Atau layari pedroshoes.com untuk mengintai himpunan lengkap ini.