Berakhirnya Paris Fashion Week SS26, jom kita lihat trend-trend yang bakal mendominasi dunia fesyen tidak lama lagi!
Paris Fashion Week Musim Bunga/Panas 2026 telah pun melabuhkan tirainya, meninggalkan jejak identiti baharu yang berani dan penuh kejutan. Seiring dengan kemunculan bakat kreatif baharu serta nafas segar pada estetika klasik, momen-momen trend muncul sebagai naratif visual yang memukau — daripada power shoulder yang tegas hingga siluet berlapis yang dramatik. Di bawah pancaran lampu runway, gaya-gaya baharu ini menyeru kita untuk menatap masa depan fesyen dengan penuh keyakinan.
Jom kita intip apa yang benar-benar mencuri perhatian musim ini.
Power Shoulder
Gaya “power shoulder” kini mengambil bentuk baharu — secara literal. Pereka seperti Saint Laurent dan Stella Mccartney menonjolkan rekaan dengan bahu yang diperbesarkan musim ini, mencipta siluet yang memancarkan keyakinan dan keanggunan. Sama ada dilihat pada blazer berlapis, jaket berstruktur, atau kait bertekstur, trend bahu besar ini menyuntik elemen seni bina dalam landskap romantik Paris. Ia berani, menarik perhatian, dan mentakrif semula kewanitaan moden.
Skinny Belts
Musim ini, tali pinggang nipis kembali menjadi tumpuan. Dahulu ikon gaya awal 2010-an, kini ia hadir semula dengan sentuhan mewah dan moden. Di Chanel, ia mengikat siluet dengan elegan, manakala Celine dan Balenciaga, menonjolkannya bersama skirt, seluar berstruktur, dan gaun ketat — bukti bahawa aksesori halus ini mampu menaikkan gaya dengan mudah.
Siluet Berlapis
Saya suka ini! Siluet berlapis juga kini menjadi tumpuan pada musim ini, di mana para pereka bereksperimen dengan gabungan potongan dan fabrik untuk mencipta keseimbangan antara struktur dan pergerakan. Di pentas Paris Fashion Week SS26, setiap lapisan direka dengan teliti untuk menghasilkan dimensi moden yang elegan, sambil mengekalkan keselesaan dan keanggunan — bukti bahawa fesyen kini meraikan kelembutan dan kekuatan dalam satu siluet yang harmoni.
Jaket Kulit
Jaket kulit kembali menjadi antara trend utama musim ini, menonjol di pentas Paris Fashion Week SS26 dengan gaya yang lebih berani dan diperbaharui. Para pereka seperti Balenciaga, Maison Margiela, dan Magda Burtym menampilkan rekaan jaket kulit dalam pelbagai interpretasi — daripada potongan oversized dan berstruktur, hinggalah kepada silhouette tajam dengan perincian minimalis.
Topi Besar
Bercakap tentang aksesori pula, topi besar menjadi tumpuan utama kali ini. Aksesori ini tampil dalam pelbagai rekaan — daripada bentuk lebar yang berstruktur hingga gaya lembut yang romantik, memperlihatkan kreativiti para pereka seperti Magda Burtym, Dior dan lain-lain.
Ribbon Mania
Musim ini menyaksikan kemunculan fenomena “ribbon mania” — di mana reben menjadi elemen utama yang mendominasi pentas Paris Fashion Week SS26. Daripada simpulan kecil yang manis hingga reben besar yang dramatik, para pereka seperti Dior, Chloe dan Valentino menonjolkan cara baharu untuk menggayakan simbol feminin klasik ini.
Baca:
6 Beg Pilihan EH! Patut Ada Bulan Oktober 2025
Gaya Daiyan Trisha, Eyka Farhana dan Para Selebriti di Milan Fashion Week SS26