Apabila musim berubah, gaya juga menemukan bahasa baharunya. Untuk Fall/Winter 2026, UNIQLO membawa kita ke sebuah musim yang tidak hanya tentang menghangatkan tubuh, tetapi tentang bagaimana pakaian bergerak bersama kehidupan, lebih selesa, lebih praktikal dan tetap punya karakter.
Ada sesuatu yang indah tentang berpakaian ketika cuaca mula dingin. Lapisan demi lapisan menjadi sebahagian daripada ekspresi diri, tekstur terasa lebih dekat, siluet menjadi lebih bebas dan warna mula berbicara dengan cara yang berbeza.
Musim ini, dunia UNIQLO LifeWear hadir dengan beberapa trend yang memperlihatkan bahawa gaya dan fungsi tidak perlu memilih antara satu sama lain.
Fleece, Daripada Luaran Kepada Kehidupan Seharian
Dahulu sinonim dengan aktiviti outdoor dan hujung minggu di alam terbuka, fleece kini keluar daripada zon tersebut untuk menjadi sebahagian daripada gaya harian.
Ringan tetapi menghangatkan, lembut tanpa terasa berat, fleece menawarkan lapisan yang mudah mengikut rentak kehidupan moden. Daripada secawan kopi pada pagi yang dingin hingga perjalanan merentas kota, ia hadir sebagai teman yang praktikal tanpa mengorbankan gaya.
Musim ini, fleece bukan lagi sekadar pakaian untuk melawan sejuk. Ia menjadi staple yang hidup di dalam dan di luar rutin harian.
Corduroy, Tekstur Yang Berbicara
Ada masa untuk warna menjadi tumpuan. Ada masa untuk tekstur mengambil alih peranan itu.
Corduroy kembali untuk Fall/Winter 2026, tetapi bukan sebagai nostalgia yang mengulang masa lalu. Kali ini, fabrik berjalur khas itu tampil lebih moden, memberikan kedalaman visual kepada pakaian seharian.
Sentuhannya yang kaya memberi struktur pada siluet, sementara sifatnya yang mudah digayakan menjadikannya relevan untuk pelbagai gaya, daripada outerwear hinggalah seluar santai. Musim ini, pernyataan gaya tidak semestinya lantang. Kadangkala, cukup sekadar tekstur.
Wide On Wide, Semakin Luas Semakin Bebas
Jika ada satu perkara yang semakin jelas dalam gaya musim ini, ia adalah keinginan untuk bernafas.
Siluet yang lebih lebar dan longgar mengambil tempat dalam wardrobe harian, memberikan ruang untuk bergerak dan mencipta proporsi yang lebih santai. Denim, seluar, sweatwear mahupun outerwear tampil dengan volume yang lebih generous, seolah-olah pakaian tidak lagi mahu mengikat tubuh kepada satu bentuk sahaja.
Ia adalah pendekatan berpakaian yang terasa mudah dan moden. Tidak terlalu mencuba, tetapi tetap mempunyai bentuk. Lebih banyak ruang. Lebih banyak gerakan. Lebih banyak kebebasan untuk menjadi diri sendiri.
Knitwear, Musim Ini Miliknya
Knitwear tidak lagi sekadar lapisan tambahan apabila suhu menurun. Untuk Fall/Winter 2026, ia mengambil tempat sebagai antara watak utama dalam wardrobe.
Cashmere, Merino dan tekstur rajutan hadir dalam warna-warna yang lebih kaya, merah yang dalam, biru gelap dan rona coklat hangat membawa kedalaman kepada pakaian musim dingin.
Dipakai sebagai statement piece atau disusun melalui teknik layering, knitwear memberikan sesuatu yang sukar digantikan: kehangatan yang terasa personal. Kerana apabila musim menjadi dingin, tekstur menjadi bahasa yang paling dekat dengan tubuh.
Pop Of Colour, Sedikit Warna, Banyak Karakter
Setelah beberapa musim dipenuhi neutral yang tenang, warna kembali mencelah. Namun Fall/Winter 2026 tidak meminta kita untuk berpakaian terang dari kepala hingga kaki. Sebaliknya, warna hadir sebagai aksen, satu sweater, satu lapisan, satu sentuhan kecil yang mampu mengubah keseluruhan mood.
Rona yang lebih vibrant diselitkan ke dalam wardrobe musim dingin, membuktikan bahawa pakaian sejuk tidak semestinya harus kelihatan dingin. Kadangkala, satu percikan warna sudah cukup untuk menghidupkan hari.
Modern Modesty, Elegan Dalam Kelonggaran
Modest dressing terus berkembang, meninggalkan definisi lama untuk menemukan bentuk yang lebih kontemporari. Siluet longgar, panjang yang lebih menutup dan layering yang dipikirkan dengan teliti mencipta gaya yang sopan tetapi tidak kaku. Ada ruang untuk bergerak, ada keselesaan untuk menjalani hari dan tetap ada kemasan yang membuatkan penampilan terasa refined.
Di sini, modesty bukan sekadar tentang berapa banyak yang ditutup. Ia tentang bagaimana pakaian memberikan kebebasan untuk bergerak, berekspresi dan merasa selesa dalam kulit sendiri.
Utility Mode, Fungsi Yang Menjadi Gaya
Poket, fabrik tahan lasak dan outerwear yang serba guna, elemen yang dahulu dekat dengan workwear dan aktiviti luar kini diterjemahkan ke dalam wardrobe harian dengan pendekatan yang lebih refined.
Utility untuk musim ini tidak terlalu rugged. Ia lebih tenang, lebih mudah dipakai dan lebih dekat dengan realiti kehidupan kota. Setiap perincian punya tujuan. Setiap lapisan membawa fungsi. Dan mungkin di situlah daya tariknya, apabila sesuatu yang praktikal juga mampu kelihatan begitu effortless.
Dalam dunia LifeWear, gaya terbaik mungkin bukan yang paling mencuri perhatian, tetapi yang paling mudah menjadi sebahagian daripada diri, menghangatkan ketika perlu, bergerak apabila kita bergerak, dan tetap terlihat baik tanpa perlu terlalu banyak usaha. Kerana musim berganti. Gaya berubah. Tetapi pakaian yang benar-benar baik tahu bagaimana untuk kekal bersama kita.
Baca: UNIQLO Sertai Dunia Hijab, Koleksi Pertama Di Malaysia










