Tweed terus hidup dan bernyawa di Chanel. Pilihan warna segar membuatkan koleksi terbaru ini lebih segar, bernadi budaya pop biarpun bersentuhan gaya vintaj.
Sejujurnya saya sukakan koleksi terbaru Chanel yang dipentaskan di Manchester baru-baru ini. Permainan tweed dalam pelbagai warna membuatkan koleksi ini ‘hidup’ dalam atmosfera yang lebih segar dalam nuansa tradisional Chanel.
“Tweed adalah kunci utama koleksi ini. Saya banyak memikirkan tentang Gabrielle Chanel tetapi saya tidaklah mahu mencipta semula gaya Coco seperti jaket Duke of Westminster yang pernah dia gayakan sebelum ini. Saya hanya meminjam idea permainan warna pada tweed dan saya menyuntik semangat pop menerusi koleksi ini,” kongsi Virginie, pengarah kreatif Chanel.
Apa yang menarik pada koleksi ini, sekali pandang ia sudah kelihatan sangat segar dan senang pakai. Ia tidak terlalu rumit namun masih ada aura seni dan mewahnya. Namun tidak dinafikan ia ada elemen vintaj kerana sememangnya tweed itu sendiri satu material yang cukup klasik.
Pertunjukan yang berlangsung di Thomas Street di utara Manchester ini menyaksikan barisan model tampil penuh warna dalam helaian tweed. Ada yang muncul dalam warna hijau epal, kuning mustard, merah dan biru langit.
Dari segi potongannya, koleksi ini ada unsur jiwa 60-an dan pengaruh Inggeris, dan ini boleh dilihat pada potongan kolar dan tebuk leher sesetengah rekaan. Helaian-helaian ini majoritinya dipadankan dengan sepatu mary jane, membuatkan imej vintaj betul-betul menonjol.
Lagi satu saya turut tertarik dengan sentuhan kulit sebagai material. Ia membuatkan sesetengah helaian dalam koleksi ini kelihatan bold dan berjiwa ‘Parisian’. Imej-imej wanita Paris yang sering memadankan jaket kulit dengan apa sahaja helaian terus bermain di minda.
Melihatkan koleksi ini, secara rumusannya saya simpulkan ada sebab mengapa Manchester dipilih. Menurut Virgine pemilihan ini ada kaitannya dengan identiti Manchester sendiri yang sebelum ini umum dikenali sebagai kota muzik. Dari dulu hingga kini, Machester dianggap sebagai pusat berkumpulnya orang-orang yang gemarkan muzik.