Lupakan momen sukan, tumpukan perhatian pada gaya Olimpik negara yang mengangkat fesyen athleisure ke tahap global!
Apabila atlet dunia berkumpul, mereka bukan sahaja untuk merebut pingat, perhatian juga tertumpu pada satu perkara yang sama penting iaitu uniform rasmi negara masing-masing.
Di pentas Olimpik, busana bukan sekadar pakaian perarakan, ia menjadi simbol identiti nasional, kebanggaan budaya dan kehalusan rekaan yang mencerminkan semangat negara tersebut.
Jadi, negara mana yang menang dari segi gaya di Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026?
Dale of Norway untuk Pasukan Norway
Gaya classy oleh Olimpik Norway membawa nilai sejarah yang sangat signifikan. Untuk Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, jenama ini kembali sebagai penghormatan kepada legasi tersebut dengan memperkenalkan sweater berleher tinggi separa zip yang moden dan elegan.
Rekaan ini menggunakan bulu Norway tulen di bahagian luar serta 100% bulu merino di bahagian dalam, memberikan kehangatan maksimum tanpa menjejaskan keselesaan. Ia turut menampilkan corak geometri Nordic tradisional dalam dua tona warna klasik iaitu merah gelap dan biru navy gelap di atas latar putih lembut, melambangkan identiti, warisan dan keanggunan gaya Olimpik Norway.
Sportscraft dan Karbon untuk Pasukan Australia
Uniform Olimpik Australia bagi edisi 2026 direka hasil kerjasama dengan Sportscraft dan diinspirasikan daripada gaya Olimpik negara itu pada masa lalu. Rekaan ini menampilkan butang berwarna emas serta palet hijau dan emas, sebagai penghormatan kepada gaya ikonik era 1990-an yang penuh nostalgia.
Menariknya, terdapat sentuhan patriotik yang tersembunyi di bahagian dalam uniform, dimana nama setiap atlet Olimpik Musim Sejuk Australia disenaraikan, dengan pemenang pingat emas terdahulu diserlahkan dalam warna emas.
Lululemon untuk Pasukan Kanada
Simbol nasional yang ikonik, daun maple merah bersaiz besar. Motif patriotik ini mendominasi keseluruhan rekaan, daripada jaket puffer sehinggalah vest berlapik yang boleh diubah fungsi menjadi skarf atau bantal.
Diinspirasikan oleh keindahan landskap semula jadi Kanada, uniform ini hadir dalam variasi warna daripada merah gelap hingga ke biru kehijauan. Teknologi pengawalan suhu (thermoregulation) serta potongan adaptif memastikan keselesaan optimum buat atlet dalam cuaca sejuk.
J.Crew dan Skims untuk U.S. Ski & Snowboard & Team USA
Jenama J.Crew dan Skims turut menyertai barisan rekaan uniform Olimpik 2026, masing-masing membawa sentuhan identiti tersendiri ke dalam almari off-mountain Team USA. Ps, rekaan yang diketengahkan sarat dengan nostalgia alpine klasik.
Koleksi edisi terhad ini merangkumi pakaian musim sejuk, fleece, loungewear, aksesori dan outerwear, menyuntik gaya après-ski.
Goyol Cashmere untuk Pasukan Mongolia
The winner, uniform Pasukan Mongolia sekali lagi muncul sebagai antara rekaan yang paling diperkatakan. Direka oleh Goyol Cashmere, busana istiadat ini menampilkan interpretasi moden terhadap pakaian tradisional deel, jubah panjang berikat pinggang yang menjadi simbol warisan nomad Mongolia dengan potongan kontemporari yang sangat chic dan elegan.
Dihasilkan daripada kasmir premium, uniform ini turut dihiasi dengan perincian sutera serta motif berinspirasikan tanduk, yang menyerlahkan kehalusan seni kraftangan nenek moyang negara tersebut.










