Mudah kering, meneuteralkan bau dan selesa menyentuh kulit, ini antara mengapa ramai yang setia dengan Uniqlo Airism.
Saya sering menggayakan baju putih, baik baju-t mahupun kemeja. Itulah kegemaran saya, selain mudah disuai padan saya juga berasa lebih ‘bersih’ bila memakai baju putih. Baju putih saya pula bermacam-macam materialnya, ada yang tebal, nipis dan jarang. Walau apapun jenis fabriknya, yang pasti selalunya saya akan memakai ‘baju dalam’, dan pilihan saya sememangnya Airism dari Uniqlo. Saya memilih baju dalam seamless dalam warna nude, kerana ia tidak kelihatan dari luar, tiada kesan jahitan dan tidak mempengaruhi warna putih yang saya gayakan.
Selain dua faktor itu, sebab utama mengapa saya setia menggayakan Airism adalah kerana keselesaannya. Terasa bagaikan tidak menyarung apa-apa, dan paling penting saya tidak berasa panas. Pujian saya ini bukan kerana saya menulis tentang Uniqlo, tetapi sekadar berkongsi pengalaman memakainya bertahun-tahun.
APA ISTIMEWANYA AIRISM?
Ada beberapa hal yang membuatkan Airism dari Uniqlo begitu istimewa, antara penarik utamanya adalah teknologi mudah kering yang ada padanya. Ia dilengkapi dengan aksi kapilari fiber yang sangat halus yang menyerap dan mengeringkan peluh. Materialnya halus juga membuatkan pengalihan haba lebih efisien lantas membuatkan tubuh tidak terasa hangat, lebih selesa dan sejuk. Ia juga tidak menyebabkan ada bau yang tidak menyenangkan dan ini semua kerana benang tenunan fabrik istimewa Uniqlo ini meneuteralkan bau.
Di awal tadi saya ada menyebut bahawa Airism ini sangat selesa. Betul, ini semua kerana tekstur fabriknya sangat halus dan lembut menyentuh kulit. Kelebihan lain pula adalah pada fabriknya yang memeri, mudah renggang malah keupayaan renggangannya melebihi. 1.5 kali secara menegak dan dua kali ganda secara mendatar.
Kesemua ciri-ciri ini yang membuatkan Airism sangat istimewa. Oh ya, saya tidak beritahu lagi alasan lain mengapa saya sering memakai baju dalam ini (walaupun saya lelaki), kerana saya tidak suka jika baju putih saya punya kesan kuning pada bahagian bawah lengan kesan penggunaan deodoran juga peluh. Inilah cara terbaik untuk menyelamatkan baju-baju putih saya.
Baca: Fesyen Royal Ascot 2022: Topi Terbesar Dan Paling Berani