Ringkas dan fleksibel, Uniqlo U terus disaji dalam ilham malar segar buat suai padan nan lebih pelbagai.
Secara peribadinya saya sangat menggemari koleksi Uniqlo U, harganya mampu milik dan ia hadir dengan ilham malar segar dan disokong dengan material dan fabrik tinggi kualiti. Jadi, apabila sahaja menjelang musim bunga/panas atau luruh/dingin, saya memang ternanti-nantikan apakah ‘bingkisan’ ilham terbaru mereka.
Untuk musim bunga/panas 2022, Uniqlo U masih lagi mendapat sentuhan pengarah artistik, Christophe Lemaire bersama-sama pasukan kreatif Uniqlo R&D yang berpusat di Paris. Dinamakan sebagai ‘Rythm of Spring’ koleksi menyajikan helaian ringkas namun dinaik taraf dengan sentuhan yang lebih khusus.
Muncul dalam ton hangat bergandingan dengan warna hijau zaitun, pasir dan biasan jingga ibarat matahari mula bersembunyi serta ton ceria seperti ungu. Sama seperti helaian jenama dari negara matahari terbit ini, himpunan ini juga mengutamakan unsur fleksibiliti, helaian yang memudahkan pergerakan dan tidak terlalu rumit sifatnya.
Koleksi untuk wanita tampil dengan idea penggayaan berlapis-lapis disebalik idea ceraian fesyen yang lebih fleksibel. Potongannya juga sedikit longgar, merancakkan pergerakan. Padanan jaket dan kotnya juga menang gaya, mudah dipadu-padan, sesuai apa juga stail. Untuk kemeja dan gaun pula ada yang menggunakan kain kapas AIRism dan jersi, sekaligus membuatkan penggayaan cukup menyelesakan.
Himpunan buat lelaki juga menyajikan sesuatu yang ringkas namun masih punya ciri-ciri yang mengguna pakai teknik tersendiri dalam menyatukan antara fleksibiliti dan stail. Ilham buat ceraian koleksi lelaki Uniqlo U sebahagiannya dicipta untuk stail lelaki kota dan sebahagiannya lagi diilhamkan untuk lelaki beraktiviti dan mendekatkan diri dengan alam. Ada yang sesuai untuk riadah menerjah hutan dan ada juga yang sesuai untuk bersantai di persisiran pantai.
Koleksi Uniqlo U akan berada di pasaran bermula 11 Februari ini, dan ia turut lengkap dengan helaian buat kanak-kanak.
Baca: Thierry Mugler Meninggal Dunia, Ini Ilham Fesyennya Yang Tular Di Era 2000-an