Zalora Malaysia terus rancak dengan tawaran jenama mewah di platform mereka termasuklah Gucci, Prada, Burberry, Chloe, Ferragamo, Balenciaga dan Saint Lauren.
Gedung beli-belah dalam talian tersohor, Zalora terus melangkah setapak ke hadapan apabila mereka kini memperluaskan rangkaian item jualan mereka kepada jenama mewah. Di dalam keadaan pandemik yang masih lagi belum reda di Asia Tenggara, permintaan jualan e-dagang terus berkembang khususnya pembelian rangkaian berjenama. Antara jenama yang ditawarkan oleh Zalora ialah Gucci, Prada, Burberry, Chloe, Ferragamo, Balenciaga, Saint Lauren dan banyak lagi.
Jika dulu jenama mewah lebih selesa dengan pembelian terus di butik, namun lewat setahun dua kebelakangan ini label-label ini semakin terbuka menerokai dunia belian dalam talian. Gaya hidup, kuasa beli yang semakin meningkat juga menjadi antara faktor pembelian jenama mewah secara dalam talian semakin memberangsangkan.
Faktor model pembayaran yang pelbagai seperti ‘Buy-Now-Pay-Later’ juga antara faktor mengapa sambutan terhadap barang berjenama diterima baik secara dalam talian. Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Filipina antara empat negara Asia utama yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam jualan kategori barangan mewah.
Berpandukan apa yang dikhabarkan oleh Zalora sendiri, walaupun majoriti pembelinya adalah yang berusia 25 hingga 35 tahun, namun rata-rata pembeli untuk kategori jenama mewah mereka adalah datang dari mereka yang berusia 36 tahun ke atas.
Zalora mula membuka ‘gelanggang’ jenama mewah berlegar di laman belian mereka sejak penghujung tahun 2020, dan berdasarkan dari sambutan sejak pembukaan itu mereka lihat potensinya cukup bagus dan mereka terus mengambil langkah drastik untuk mengembangkan kategori tersebut, yang mana kategori tersebut berkembang sebanyak 183 peratus yang merangkumi komponen Luxury, Premium, Luxury Outlet dan termasuk juga Pre-Loved.
Menurut Eric Cheang, Pengarah Belian Zalora, corak pembelian pembeli yang mengutamakan barangan berkualiti juga menjadi faktor kepada sambutan item mewah di Zalora. “Pembeli Hari Ini terus mementningkan kualiti berbanding kuantiti, mereka tidak kisah melabur lebih banyak wang untuk mendapatkan barangan yang berkualiti dan tinggi nilainya, asalkan mereka berpuas hati. Kami jangka pasaran jenama mewah akan terus berkembang dalam jangka masa panjang,” katanya.
Artikel Berkaitan: Himpunan H&M Kini Boleh Didapati di Zalora