Melancong beramai-ramai memang seronok, tapi boleh rosak mood kalau ada travel buddy yang perangai macam ni. Mahupun kita atau rakan, kenal pasti adab dan etika sebagai travel buddy untuk elakkan vibe yang spoil.
Mengembara bersama-sama dengan orang tersayang boleh menjadi memori terindah namun, ia juga boleh jadi cabaran dan ujian terhadap kita mahupun peneman kita. Saat kita mengembara bersamalah kita dapat melihat etika dan adab sebenar yang dipegang oleh orang terdekat. Ini beberapa adab sebagai pelancong berpasangan atau berkumpulan yang anda perlu tahu :
1. Buat Kajian
Sebelum memulakan perjalanan, pelancong perlulah membuat kajian tentang destinasi tersebut. Jangan biarkan rakan anda plan perjalanan sendirian, kemudian menyalahkan dia apabila rancangan itu tak seperti yang anda sangkakan. Padahal, buat research sedikit sebelum berjalan itu tanggungjawab bersama supaya trip berjalan lancar dan tak menyusahkan satu sama lain. Paling memenatkan bila dapat rakan yang langsung tak buat kajian pasal tempat yang nak dilawati.
2. Hormati Tempat Tersebut
Sebagai pelancong, anda haruslah menghormati budaya tempat yang anda lawati lebih-lebih lagi jika melancong bersama keluarga atau bestie, sikap yang tidak menghormati budaya orang menjatuhkan air muka peneman anda. Untuk melancong, anda haruslah menggunakan common sense ketika berada di negara orang. Budayanya mungkin berbeza, oleh itu anda haruslah membuat kajian terlebih dahulu untuk mengelakkan melakukan perkara yang tidak menghormati penduduk negara atau negeri itu. Antara cara hormati tempat orang :
- Berpakaian sesuai di tempat ibadat. Contohnya, menutup aurat ketika ke Masjid.
- Perlahankan suara di kawasan sunyi seperti kawasan kediaman dan perpustakaan.
- Peka dengan personal space, jangan berdiri di tengah-tengah jalan laluan.
- Membuat kajian tentang larangan khusus seperti larangan mengambil gambar-gambar tertentu.
- Mengetahui undang-undang negara atau negeri tersebut. Jika anda ke Terengganu, ketahuilah pada setiap hari jumaat, semua tempat kunjungan akan ditutup dari pukul 12 tengahari hingga 2 petang bagi menghormati waktu solat jumaat. Di sesetengah tempat, pengunjung akan diminta keluar dari tempat tersebut dan kembali pada pukul 2 petang. Jangan hairan kenapa anda “dihalau”.
3. Hormati Masa
Masa itu emas, maka hormatilah masa kerana ianya mahal dan berharga. Setiap saat itu sangat mahal dan anda patut nikmati setiap saat ketika melancong. Ia memerlukan pemikiran yang terbuka untuk menghormati masa tak kira masa anda sendiri atau mada orang lain. Ianya juga merupakan tanggungjawab setiap individu untuk mengurus masa. Jika anda rancang untuk keluar meneroka, tentukan dan janjikan masa, tepatilah masa dan janji anda bersama rakan. Sikap tidak menghormati masa memang tidak disukai.

Elakkan menjadi rakan pelancongan yang red flag seperti :
1. Tiada Pendirian
Traveller yang tiada pendapat atau pendirian, semua nak orang tentukan. Kedengaran seperti easy-going bukan? Tetapi hakikatnya ia membuatkan kawan anda rasa rimas dan menganggap anda pemalas. Rakan perjalanan yang bersikap pasif dan memberikan semua keputusan kepada orang lain. Nak melancong bersama kenalah ada kerjasama dalam perancangan perjalanan.
2. Terlalu Berkira
Sikap rakan perjalanan yang kurang bertolak tanding dari segi kewangan. Bila melancong ramai-ramai, bab duit memang sensitif. Tapi paling spoil bila dapat travel buddy yang jenis berkira sampai ke sen terakhir. Percutian untuk dinikmati sehabis mungkin, tapi apabila salah seorang terlalu sibuk mengira segala kos dan mengungkit menyebabkan orang lain mengeluh.
3. Phone Addict
Ketika di negara atau negeri orang, pelancong hendaklah hayati keindahan tempat tersebut. Rakan perjalanan yang terlalu fokus pada telefon bimbit membuatkan trip menjadi tidak syok. Segala hal itu boleh tunggu dan diberi perhatian di kemudian waktu. Pergi travel sama-sama, tapi rasa macam sorang-sorang. Paling potong mood bila dapat travel buddy yang gilakan telefon! Nak berbual atau nikmati suasana pun susah sebab dia sibuk melihat telefon bimbit tanpa henti. Bila percutian lebih banyak dihabiskan dalam dunia digital daripada dunia realiti, keindahan tempat yang dilawati pun jadi tak terasa.
4. Berubah Mood Tanpa Sebab
Sekejap ok, sekejap tak. Jangan buat peneman anda tertanya-tanya apa salah mereka. Jika ada yang tak kena, berkomunikasilah untuk selesaikan masalah. Orang lain tidak bertanggungjawab untuk jaga hati anda sepanjang trip. Hal ini merosakkan mood orang lain untuk menikmati pelancongan.
Sikap-sikap begini boleh merosakkan percutian, mahupun kita atau rakan yang buat. Setiap pertemanan kenalah ada mindset “give and take” supaya adil.
