Ingin meninggalkan impresi yang baik?
Selalu kita dengar tentang perkara yang membuatkan wanita hilang minat ketika bercinta, tetapi kali ini, EH! bongkarkan pula rahsia lelaki tentang apa yang benar-benar membuatkan mereka turn off ketika first date.

Menariknya, senarai ini bukan datang daripada pakar hubungan semata-mata, tetapi berdasarkan perkongsian jujur lelaki di sebuah thread yang tular baru-baru ini apabila mereka ditanya tentang pengalaman temu janji yang paling mengecewakan.
Elakkan 10 perkara berikut yang sering dianggap sebagai “turn off” terbesar ketika first date.
1. Hisap pod selepas date
Bagi sesetengah lelaki, tabiat menghisap pod atau vape bukanlah satu isu besar. Namun, ada juga yang mengakui mereka kurang selesa apabila pasangan terus mengeluarkan pod sebaik sahaja selesai makan atau ketika sedang berjalan bersama. Bukan kerana mahu mengawal gaya hidup seseorang, tetapi ada yang berpendapat ia sedikit mengganggu suasana romantik dan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan.
2. Pengurusan masa yang teruk
Datang lewat 10 atau 15 minit mungkin masih boleh diterima, terutama jika dimaklumkan lebih awal. Tetapi apabila seseorang lambat tanpa sebarang penjelasan atau membuat pasangan menunggu terlalu lama, ia boleh memberi gambaran bahawa mereka tidak menghargai masa orang lain. Bagi ramai lelaki, sikap ini antara red flag yang sukar diabaikan.
3. Nafas berbau
Kedengaran remeh, tetapi ia sebenarnya antara perkara yang paling kerap disebut. First date biasanya melibatkan banyak perbualan secara bersemuka, jadi kebersihan diri memainkan peranan penting. Nafas berbau boleh mengganggu keselesaan dan membuatkan pasangan sukar memberi tumpuan kepada perbualan walaupun anda mempunyai personaliti yang menarik.
4. Terlalu sibuk dengan telefon
Jika setiap beberapa minit perlu memeriksa notifikasi, membalas mesej atau melayari media sosial, ia boleh membuatkan pasangan berasa diabaikan. Ramai lelaki menganggap first date adalah masa untuk saling mengenali, jadi apabila perhatian lebih tertumpu kepada telefon berbanding perbualan, ia boleh terus mematikan mood.
5. Terlalu gedik pada pertemuan pertama
Bersikap manja dan ceria tidak salah, tetapi apabila ia dilakukan secara berlebihan sehingga kelihatan dibuat-buat, sesetengah lelaki menganggapnya sebagai sesuatu yang kurang menarik. Kebanyakan mereka lebih menghargai individu yang tampil selesa dan menjadi diri sendiri berbanding cuba terlalu kuat untuk mencuri perhatian.
6. Terlalu ‘over’ dalam segala hal
Sama ada oversharing tentang kisah hidup, terlalu banyak bercerita tentang masalah peribadi, berbelanja secara berlebihan atau terlalu mencuba untuk mengagumkan pasangan, sikap yang melampau sering menjadi turn off. First date sepatutnya berlangsung secara santai dan seimbang. Kadangkala, kesederhanaan itulah yang membuatkan seseorang kelihatan lebih matang dan menarik.
7. Kurang jaga kebersihan diri
Walaupun nampak remeh, aspek kebersihan diri sebenarnya memainkan peranan besar dalam first impression. Ada lelaki yang mengakui mereka cepat turn off bila pasangan kurang menjaga hal asas seperti bau badan, pakaian yang tidak kemas atau penjagaan diri seperti ketiak dan kebersihan umum. Ia bukan soal kesempurnaan, tetapi lebih kepada effort untuk tampil bersih dan selesa ketika berjumpa.
8. Terlalu banyak cerita tentang ex
Topik bekas pasangan boleh muncul sekali-sekala dalam perbualan, tetapi jika terlalu kerap diungkit, ia boleh buat suasana jadi tidak selesa. Ramai lelaki melihat perkara ini sebagai tanda seseorang masih belum betul-betul move on atau masih “terikat” dengan kisah lama, sekali gus mengganggu aliran perbualan yang sepatutnya lebih fokus kepada kenalan baru.
9. Tidak bertanya soalan balik
First date adalah tentang komunikasi dua hala. Bila hanya satu pihak yang banyak bercakap tanpa menunjukkan minat untuk mengenali pasangan mereka, ia boleh membuatkan pertemuan terasa seperti sesi interview sebelah pihak. Lelaki biasanya lebih menghargai bila perbualan berlaku secara seimbang dan masing-masing saling bertanya serta mendengar.
10. Bersikap kasar kepada orang lain
Cara seseorang melayan orang di sekeliling seperti pelayan restoran, pemandu atau sesiapa sahaja sering menjadi refleksi kepada personaliti sebenar. Sikap kasar, kurang sopan atau tidak menghormati orang lain adalah antara perkara paling cepat membuatkan lelaki hilang minat, kerana ia menunjukkan karakter yang sukar diterima dalam jangka panjang.
