Hujung minggu bukan sekadar masa untuk berehat di rumah. Apa kata keluar meneroka sesuatu yang baharu. Dari pasar kreatif yang dipenuhi jenama tempatan hinggalah ke festival kopi dan koleksi jam tangan vintage, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk anda nikmati kali ini!
Jika anda sedang mencari alasan untuk keluar berjalan-jalan hujung minggu ini, berikut EH! senaraikan sepuluh pop-up, market dan acara menarik yang berlangsung sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berdekatan dari 6 hingga 8 November 2026.
1. Whimsy Wonderland
Buat anda yang gemarkan barangan unik, comel dan hasil kreatif tempatan, Whimsy Wonderland by The Messy Club di The Campus Ampang mungkin menjadi persinggahan menarik hujung minggu ini. Berlangsung dari 5 hingga 8 November 2026, pasar kreatif ini menghimpunkan pelbagai vendor dengan pilihan produk, makanan, hasil seni serta aktiviti yang boleh diterokai. Sambil berjalan-jalan, bolehlah mencari barangan istimewa atau menyokong jenama tempatan yang mengambil bahagian.

2. A4 Art Fair 2026
Peminat seni pula boleh meluangkan masa ke A4 Art Fair 2026 yang kembali untuk edisi kedua di Aras 5, GMBB dari 6 hingga 8 November 2026. Berlangsung dari jam 11 pagi hingga 8 malam, acara ini menghimpunkan lebih 50 penggiat seni dan kreatif dari Malaysia serta beberapa negara Asia. Daripada ilustrasi, fotografi, fesyen dan graffiti hinggalah kepada arca serta koleksi art toys, ada pelbagai hasil kreatif untuk diterokai. Tiket masuk berharga RM12 untuk sehari atau RM30 bagi pas tiga hari, sesuai untuk anda yang mahu meluangkan lebih banyak masa menikmati karya seni yang dipamerkan.

3. Malaysia Food Heritage Festival x Temasya Malaysia 2026
Kalau anda gemarkan aktiviti food hunting, Malaysia Food Heritage Festival x Temasya Malaysia 2026 di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang antara acara yang boleh dikunjungi. Berlangsung dari 5 hingga 9 November 2026, festival ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam. Mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia, pengunjung boleh meneroka sajian tradisional, produk tempatan serta hasil usahawan makanan dan minuman. Selain mencuba pelbagai juadah, terdapat juga pameran, program keusahawanan, sesi perkongsian dan persembahan yang mengetengahkan budaya serta kisah di sebalik warisan negara.

4. KL Coffee Festival 2026
Bagi yang tidak boleh memulakan hari tanpa secawan kopi, KL Coffee Festival 2026 pastinya tidak harus dilepaskan. Berlangsung di Piazza, Pavilion Bukit Jalil dari 6 hingga 9 November 2026, festival ini menghimpunkan lebih 150 jenama untuk diterokai pencinta kafein. Bukan sekadar mencuba minuman, anda juga boleh menyertai sesi cupping, bengkel HICUP serta menyaksikan pertandingan BarIsStar Championship yang memperlihatkan kemahiran barista. Pendek kata, inilah masanya untuk mengenali lebih banyak jenama kopi, mencuba rasa baharu dan mungkin menemui kegemaran seterusnya!

5. Strollin Market
Jika anda gemarkan suasana pasar kreatif yang dipenuhi barangan unik, Strollin Market di REXKL, Jalan Sultan boleh menjadi satu lagi persinggahan menarik. Berlangsung dari 6 hingga 8 November 2026, pasar ini dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam. Luangkan masa untuk meneroka pilihan vendor yang menawarkan aksesori, koleksi kreatif serta produk daripada pengusaha tempatan. Sesuai untuk mereka yang suka berjalan tanpa destinasi khusus sambil mencari sesuatu yang tidak mudah ditemui di kedai biasa.

6. Kota Pesta by Makar Fest
Buat anda yang mahu mengisi hujung minggu dengan aktiviti kebudayaan, apa kata luangkan masa menyaksikan Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 anjuran Kota Pesta by Makar Fest. Berlangsung pada 7 November 2026 di Muzium Negara, Kuala Lumpur, acara ini menghimpunkan lebih 10 tokoh dan penggiat seni Dikir Barat daripada pelbagai generasi. Satu peluang menarik untuk menyaksikan sendiri keunikan seni tradisional yang terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu.

7. REWOUND #4
Dianjurkan oleh MyFirstVintage dan NextVintage, acara ini menghimpunkan kira-kira 80 koleksi jam tangan vintage dan neovintage di Somewhere Slow Coffee, MAHSA Avenue pada 7 dan 8 November 2026. Sama ada anda seorang pengumpul jam tangan atau sekadar ingin melihat koleksi klasik dengan lebih dekat, acara ini menawarkan pengalaman yang berbeza. Dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 petang, kemasukan adalah percuma tetapi pengunjung perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu. Setiap sesi juga terhad kepada 12 orang, jadi pastikan anda mendapatkan slot lebih awal.

8. People’s Picnic by People Market
Kalau anda gemarkan suasana santai sambil meneroka pasar kreatif, People’s Picnic by People Market boleh menjadi pilihan hujung minggu ini. Berlangsung pada 7 dan 8 November 2026 di Anjung Floria, Putrajaya, acara ini sesuai untuk anda yang mahu meluangkan masa bersama rakan-rakan atau keluarga sambil menikmati suasana pasar terbuka. Singgah untuk meneroka pelbagai gerai dan melihat pilihan produk daripada vendor yang mengambil bahagian.

9. Tempatan Fest 2026
Peminat streetwear, kopi, muzik dan budaya kreatif tempatan boleh singgah ke Tempatan Fest 2026 yang berlangsung pada 7 dan 8 November 2026 di Hall C, MAEPS Serdang. Dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, festival bertemakan Back To Culture ini menghimpunkan 128 gerai dengan pelbagai jenama dan komuniti kreatif tempatan. Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja boleh meneroka pilihan fesyen, barangan vintage, kopi dan seni, malah turut menikmati aktiviti berkaitan muzik, skateboarding serta budaya automotif. Tiket masuk berharga RM10 untuk sehari, manakala kanak-kanak berusia bawah 10 tahun boleh masuk secara percuma.

10. Slay In The City
Buat anda yang gemarkan suasana pasar yang meriah dengan pelbagai pilihan jenama dan produk, Slay In The City di Hextar World, Empire City Damansara boleh menjadi satu lagi destinasi hujung minggu. Berlangsung dari 6 hingga 8 November 2026, acara ini menghimpunkan lebih 80 vendor dengan pelbagai pilihan untuk diterokai. Dibuka dari jam 11 pagi hingga 10 malam, pasar ini sesuai untuk anda yang mahu meluangkan masa melihat-lihat produk, mendapatkan barangan menarik dan menyokong pengusaha tempatan.

Artikel Berkaitan:
