Cuti Hari Malaysia tanpa agenda makan-makan rasanya memang tidak lengkap. Lebih-lebih lagi apabila banyak jenama F&B tampil dengan tawaran istimewa sempena 16 September ini.
Kalau ada satu perkara yang cukup mudah menyatukan rakyat Malaysia, jawapannya mungkin makanan. Kita boleh berbeza pendapat tentang banyak perkara, tetapi apabila sudah duduk semeja dengan makanan dan minuman semuanya terasa lebih mudah.
Bersempena Hari Malaysia pada 16 September 2026, beberapa jenama F&B turut sama memeriahkan sambutan dengan promosi khas. Jadi kalau belum ada rancangan untuk cuti ini, mungkin sudah tiba masanya untuk ajak keluarga atau orang tersayang keluar makan. EH! kumpulkan sepuluh promosi F&B sempena Hari Malaysia 2026 yang boleh anda masukkan dalam food hunting list minggu ini.
Sepuluh Promosi F&B Sempena Hari Malaysia;
1. CHAGEE
Peminat matcha, mungkin ini masanya untuk set alarm lebih awal. Sempena Hari Malaysia, CHAGEE menawarkan Lime Cheese Matcha Latte pada harga hanya RM9.60, berbanding harga biasa RM15.90. Tetapi ada satu syarat untuk mendapatkan harga tersebut, anda perlu menyebut “Saya Sayang Malaysia” sebanyak tiga kali di hadapan cashier. Tawaran ini hanya berlangsung pada 16 September dan hanya tersedia untuk pembelian walk-in di semua cawangan CHAGEE.

2. ZUS Coffee
Kalau keluar berdua, ZUS Coffee mungkin antara coffee stop yang paling berbaloi pada Hari Malaysia ini. Dengan hanya RM16.90, anda akan mendapat dua minuman iaitu The Malaysian Latté dan satu lagi minuman pilihan daripada senarai yang ditetapkan. Untuk menebusnya, buat pesanan menerusi ZUS App, pilih Pickup, kemudian cari bundle Proudly Malaysian di bawah kempen Inilah Malaysia. Promosi ini hanya sah pada 16 September di cawangan yang mengambil bahagian dan selagi stok masih tersedia.

3. Texas Chicken
Kalau sambutan Hari Malaysia anda mahu raikan bersama keluarga, Texas Chicken ada tawaran istimewa. Pada 16 September sahaja, anda boleh mendapatkan lapan ketul ayam pada harga RM31, berbanding harga biasa RM51.90. Promosi ini tersedia untuk dine-in, takeaway dan drive-thru dengan maksimum dua set bagi setiap resit. Namun, pelanggan tidak boleh memilih bahagian ayam dan tawaran ini juga tidak tersedia menerusi servis penghantaran. Semua cawangan mengambil bahagian kecuali Imago Sabah dan seperti biasa untuk promosi sehari, semuanya tertakluk kepada ketersediaan stok.

4. 4Fingers
Dari 14 hingga 16 September, 4Fingers mengajak pelanggan tampil dengan sekurang-kurangnya satu warna yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu merah, putih, kuning atau biru. Dengan perbelanjaan minimum RM45, anda boleh menikmati lapan keping kimbap secara percuma. Jadi, kalau memang sudah merancang untuk tampil patriotik pada 16 September nanti, anggap sahaja kimbap percuma ini sebagai bonus. Promosi tersedia di cawangan yang mengambil bahagian, kecuali outlet lapangan terbang.

5. Jollibee
Angka RM19.63 menjadi anggukan kecil kepada tahun pembentukan Malaysia dan Jollibee menggunakannya untuk tawaran khas Hari Malaysia tahun ini. Dari 15 hingga 21 September, pelanggan boleh mendapatkan 20 ketul Nuggets bersama satu Cheesy Dunk pada harga RM19.63. Tempohnya juga lebih panjang berbanding kebanyakan tawaran promosi lain, jadi kalau 16 September ini anda sudah penuh dengan rancangan lain, masih ada masa untuk menikmatinya selepas cuti.

6. Richeese Factory
Kalau tahap pedas anda memang tidak kenal erti menyerah, singgah pula ke Richeese Factory. Sempena Hari Malaysia ini, mereka menawarkan diskaun 25 peratus untuk set khas yang menggabungkan lima ketul Fire Chicken bersama Cheesecake Ice Cream. Set tersebut boleh didapati pada harga RM37.46 dari 14 hingga 17 September 2026.

7. The Brew House
The Brew Housemem berikan diskaun sebanyak 50 peratus untuk hidangan utama à la carte sepanjang hari pada 16 September. Tawaran khas Hari Malaysia ini tersedia untuk pelanggan dine-in. Dengan potongan separuh harga pada hidangan utama, mungkin inilah masa yang sesuai untuk pesan menu yang selama ini anda selalu pandang dua kali sebelum membuat pesanan.

8. Sushiro
Sushiro meraikan Hari Malaysia dengan pilihan istimewa termasuk Boiled Snow Crab Stick Tsutsumi pada harga RM5.80. Menu khas ini mula tersedia pada 14 September, manakala fasa kedua pilihan istimewa Sushiro bermula tepat pada Hari Malaysia, 16 September. Promosi tertentu tidak tersedia di cawangan Sunway Pyramid, jadi sebelum datang pastikan anda semak dahulu cawangan dan menu yang mengambil bahagian.

9. Stuff’d
Dari 14 hingga 16 September, Stuff’d menawarkan promosi Buy 1 Free 1 untuk beberapa menu kegemaran mereka termasuk pilihan bowl, kebab dan burrito. Cuma kali ini, jangan terus menuju ke outlet kerana promosi tersebut ditawarkan secara eksklusif menerusi GrabFood. Sesuai kalau rancangan cuti anda sebenarnya cuma mahu duduk di rumah, buka Netflix dan tunggu makanan sampai ke depan pintu.

10. The Soybean Factory
Selepas semua ayam goreng, kopi dan makanan pedas tadi, kita tutup senarai dengan sesuatu yang sedikit lebih ringan. The Soybean Factory meraikan Hari Malaysia dengan tawaran dua Tau Fu Fah pada harga RM16.90 dari 14 hingga 16 September. Konsepnya mix and match, jadi sesuai untuk dikongsi bersama pasangan atau kawan. Tawaran ini hanya berlangsung sehingga Hari Malaysia dan tertakluk kepada terma serta ketersediaan di cawangan yang mengambil bahagian.

Artikel Berkaitan: Sarong On, Malaysia On! Kereta Api Sarong 2026 Kembali
