Jika anda mula mengalami kesukaran bernafas, kulit mudah breakout atau mata pedih ketika musim jerebu, jangan ambil mudah! Ini beberapa tip yang boleh anda amalkan untuk melindungi kesihatan diri.
Musim jerebu bukan hanya sekadar membuatkan langit kelihatan berkabus atau pemandangan di luar rumah nampak samar. Udara yang kita sedut setiap hari juga boleh tercemar dengan asap dan partikel halus yang sukar dilihat dengan mata kasar. Apabila kualiti udara merosot, pendedahan berterusan boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti mata pedih, tekak kering, batuk dan kesukaran bernafas, malah boleh memburukkan masalah pernafasan sedia ada.
Dalam keadaan seperti ini, golongan seperti kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian lebih. Namun, ini bukan bermakna mereka sahaja yang terkesan, sesiapa sahaja boleh mengalami kesan jerebu, terutama jika kerap melakukan aktiviti di luar atau terdedah kepada udara tercemar untuk tempoh yang lama.
Kadang-kadang kita rasa jerebu “tidak teruk sangat” hanya kerana masih boleh menjalankan rutin seperti biasa. Keluar bekerja, hantar anak ke sekolah, bersenam, membeli barang atau sekadar meluangkan masa di luar rumah tetap membuatkan kita terdedah kepada udara di sekeliling.
Jadi, jangan tunggu sehingga mula batuk atau sesak nafas baru nak berjaga-jaga. Jika udara di luar mula dipenuhi asap dan partikel halus, beberapa langkah mudah boleh diamalkan untuk mengurangkan pendedahan dan membantu menjaga kesihatan diri serta keluarga.
Jangan ambil mudah! Ini 10 tip yang boleh diamalkan ketika musim jerebu.
1. Semak bacaan kualiti udara
Sebelum keluar rumah, semak terlebih dahulu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan anda. Jika bacaan semakin meningkat, kurangkan aktiviti di luar dan rancang perjalanan dengan lebih bijak.
Jangan hanya bergantung pada keadaan langit. Ada kalanya udara kelihatan biasa, tetapi tahap pencemaran masih kurang baik.
2. Kurangkan aktiviti di luar
Joging, berbasikal atau bersenam di taman mungkin terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Ketika kualiti udara kurang baik, pilih aktiviti dalam rumah sehingga keadaan kembali lebih baik.
Tak perlu rasa bersalah kerana skip outdoor workout. Pilates, yoga, strength training atau sekadar berjalan di dalam rumah tetap dikira sebagai aktiviti fizikal.
3. Pakai pelitup muka yang sesuai
Jika perlu berada di luar ketika jerebu, gunakan pelitup muka yang mampu menapis partikel halus, seperti respirator N95.
Pastikan pelitup muka dipakai dengan betul dan menutupi hidung serta mulut. Pelitup yang longgar atau tidak dipakai dengan sempurna mungkin tidak memberikan perlindungan yang optimum.
4. Pastikan tingkap dan pintu ditutup
Apabila kualiti udara di luar tidak baik, tutup tingkap dan pintu untuk mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam rumah.
Jika menggunakan penghawa dingin, pastikan sistem dan penapisnya diselenggara dengan baik. Penapis yang bersih juga penting untuk membantu mengekalkan kualiti udara dalam rumah.
5. Pastikan udara dalam rumah bersih
Jerebu di luar tidak bermakna udara di dalam rumah sentiasa bersih. Jika ada, gunakan penapis udara atau air purifier yang sesuai untuk membantu mengurangkan partikel halus dalam ruang tertutup.
Pada masa yang sama, elakkan aktiviti yang menghasilkan asap seperti membakar sampah, merokok atau menyalakan kemenyan.
6. Banyakkan minum air
Kekal terhidrat dengan minum air secukupnya sepanjang hari. Ia membantu mengelakkan tekak dan saluran pernafasan daripada menjadi terlalu kering ketika keadaan udara kurang baik.
Sediakan sebotol air berdekatan supaya anda lebih mudah mengingati keperluan untuk minum sepanjang hari.
7. Jangan abaikan penjagaan mata
Mata mudah terasa pedih, gatal, kering atau berair apabila terdedah kepada udara berjerebu. Elakkan menggosok mata kerana ia boleh menyebabkan iritasi menjadi lebih teruk.
Jika perlu, gunakan titisan mata yang sesuai selepas mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor. Ketika perlu berada di luar, cermin mata juga boleh membantu mengurangkan pendedahan mata kepada udara tercemar.
8. Lindungi golongan berisiko
Kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung serta individu yang mempunyai asma atau penyakit paru-paru perlu diberi perhatian lebih ketika musim jerebu.
Hadkan pendedahan mereka kepada udara luar dan pastikan ubat-ubatan yang diperlukan sentiasa tersedia, khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah pernafasan.
9. Kenali tanda-tanda badan mula terjejas
Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk sebelum mendapatkan bantuan.
Batuk, sakit tekak, sesak nafas, sakit dada, pening atau mata yang sangat pedih antara tanda yang tidak patut diabaikan. Jika simptom semakin teruk atau anda mengalami kesukaran bernafas, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
10. Jangan lupa jaga kulit
Bagi yang banyak menghabiskan masa di luar, rutin penjagaan kulit juga tidak wajar diabaikan. Bersihkan wajah dengan lembut pada waktu malam untuk menanggalkan sunscreen, solekan, peluh dan kotoran yang terkumpul sepanjang hari.
Jika melakukan double cleansing, elakkan menggosok wajah secara agresif kerana kulit yang teriritasi lebih mudah terasa tidak selesa.
