Memilih haruman yang sesuai untuk dipercikkan pada hari istimewa anda mungkin sedikit merunsingkan. Anda semestinya ingin memilih sesuatu yang lain dari kebiasaan anda (bukan wangian yang anda guna setiap hari) tetapi tidak juga lari dari personaliti anda.
Namun apa yang pasti selalunya nota yang perlu ada dalam pilihan wangian anda perlulah berasaskan flora. Yakni nota yang paling kuat dalam sesuatu wangian. Jika anda masih tidak menemui wangian yang serasi, EH! tampilkan tip untuk memilih haruman serasi menjadi ratu sehari.
Gabungkan wangian
Mungkin anda pernah cuba sebelum ini, tapi tahukah anda tidak semua wangian serasi untuk digabungkan? Jika anda bertuah mungkin gabungan yang anda lakukan serasi, tetapi jika tidak, aromanya akan menjadi tengik atau terlalu menusuk hidung. Ada jenama wangian yang memang dihasilkan khusus untuk ‘layering’ ini kerana nota-nota yang dihasilkan dalam sesebuah wangian itu memang mesra apabila digabungkan. Tapi jika anda ingin mencampurkan wangian kegemaran anda yang sedia ada, lakukan ekperimen ini sebelum tiba hari bahagia. Dan lihat kesannya apabila selepas beberapa jam digabungkan adakah wangian anda kekal harum atau sebaliknya.
Gunakan asas
Bermaksud, jika wangian anda hadir dengan losen badan atau gel mandian maka gunakan kedua-duanya di hari bahagia nanti. Ini akan menjadikan kesan haruman anda lebih tahan lama. Malah ia juga tidak akan menukar aroma wangian anda menjelang penghujung hari. Jadi penting untuk anda memakai wangian yang kekal lama agar bukan saja solekan anda kekal segar malah aroma badan anda juga cukup mengesankan!
Lokasi!
Wangian juga perlu dipilih berdasarkan lokasi perkahwinan anda. Jika majlis anda bertempat di tempat terbuka maka aromanya perlulah berformulakan Eau De Parfume. Yakni aromanya lebih kuat dan tahan lebih lama. Namun perlu diingat nota-notanya perlulah lembut agar ia tidak keterlaluan buat bakal suami anda nanti. Untuk majlis yang diadakan di dalam dewan atau di tempat tertutup anda bisa mengenakan wangian yang lebih ringan dan lembut. Malah formula Eau fraiche dan Eau de Toilette juga serasi untuk dipercikkan.