Mencari aplikasi kewangan untuk pelaburan wang jangka masa panjang? EH! kongsikan tip dan senarai aplikasi yang Gen Z gunakan masa kini.
Kalau dulu, kita simpan duit dalam tabung ayam atau buku simpanan fizikal. Tetapi hari ini semuanya berubah terutama bagi generasi paling celik teknologi, iaitu Gen Z.
Dengan kos sara hidup yang meningkat serta kesedaran kewangan yang lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya, Gen Z lebih cenderung mencari solusi kewangan yang fleksibel, mesra pengguna dan berteknologi tinggi.
Dari aplikasi e-dompet, simpanan automatik, pelaburan mikro sehinggalah aplikasi kewangan peribadi, semuanya berada di hujung jari.
1. Wahed Invest
Salah satu yang paling popular ialah Wahed Invest, sebuah platform pelaburan patuh syariah yang membolehkan pengguna bermula serendah RM100. Semuanya diurus secara automatik, Gen Z hanya perlu tentukan tahap risiko dan Wahed akan mengurus selebihnya.
Sesuai buat mereka yang mahukan pelaburan yang low effort tapi boleh berkembang dalam jangka masa panjang. Ramai yang bermula dengan bajet kecil untuk mencuba dan akhirnya terus konsisten menyimpan.
2. Touch ‘n Go eWallet
Bagi yang inginkan simpanan harian dengan akses segera, Touch ‘n Go eWallet dan ciri GO+ menjadi pilihan utama dengan minimum serendah RM10. Ramai Gen Z menggunakannya bukan sahaja untuk transaksi harian, tetapi juga untuk simpanan mikro yang memberi pulangan harian. Walaupun kecil, tetapi ia konsisten dan duit tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
3. MAE by Maybank2u
Satu lagi aplikasi yang sangat diminati Gen Z ialah MAE by Maybank2u, khususnya dengan fungsi “Tabung”. Melalui fungsi ini, mereka boleh menetapkan matlamat simpanan seperti “Bali 2025” atau “Dana Kecemasan” dan duit akan disimpan secara automatik. Reka bentuk aplikasinya yang moden dan analisis perbelanjaan yang ringkas menjadikannya sangat ‘Gen Z friendly’.
4. Public Gold
Public Gold ialah syarikat yang menawarkan pelaburan emas fizikal dan perak, termasuk jongkong emas (gold bar), dinar emas, syiling perak, serta kemudahan akaun emas digital (GAP – Gold Accumulation Program).
Bagi mereka yang lebih celik kewangan dan ingin melindungi nilai duit daripada inflasi, Public Gold menjadi alternatif yang menarik. Dengan akaun GAP (Gold Accumulation Program), Gen Z boleh menyimpan emas secara digital bermula serendah 1 gram atau RM100. Simpanan emas kini tidak lagi memerlukan kita membeli jongkong fizikal, semuanya boleh disimpan secara maya dan ditukarkan kepada emas fizikal bila diperlukan.
5. Tabung Haji Online (THiJARI)
Masih relevan dan menjadi pilihan ramai. Gen Z yang ada kesedaran awal tentang simpanan haji dan patuh syariah menjadikan Tabung Haji sebagai antara tempat utama untuk simpan duit jangka panjang. Dengan aplikasi THiJARI, semuanya jadi lebih mudah dan moden.
Menabung di Tabung Haji bukan sekadar menyimpan duit, tetapi sebagai persediaan untuk ibadah haji, satu rukun Islam yang penting. Simpanan anda juga menentukan giliran haji melalui pendaftaran awal.
Tabung Haji juga memberikan agihan keuntungan tahunan kepada pendeposit, biasanya lebih tinggi berbanding simpanan biasa di bank (bergantung pada prestasi pelaburan tahun tersebut). Walaupun tidak tetap, pulangannya stabil dan kompetitif.
6. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
Dengan dividen kompetitif dan pilihan dana yang pelbagai, ASNB kekal menjadi tempat simpan duit yang dipercayai. Aplikasi myASNB membolehkan pengguna pantau baki, labur semula, dan buat transaksi terus dari telefon, sangat mesra pengguna.
ASNB biasanya memberikan agihan pendapatan (dividen) dan bonus tahunan contohnya ASB sering memberi antara 4–6% setiap tahun (berdasarkan prestasi pasaran dan ekonomi). Ini lebih tinggi daripada simpanan tetap biasa.