Baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan satu kes Batuk Kokol di Rompin dan sebanyak 329 kes dan rekod 23 kematian dilaporkan di seluruh negara setakat 19 Ogos lalu.
Menurut keratan Berita Harian, dilaporkan tiada cara lain untuk mengekang penularan jangkitan pertussis atau batuk kokol kecuali dengan vaksinasi serta meminta mereka dijangkiti supaya dikuarantinkan. Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata langkah itu perlu diambil kerana penyakit berkenaan mudah merebak melalui titisan udara disebabkan bakteria bordetella pertussis. Katanya, tempoh mengeram bagi bakteria terbabit adalah antara satu hingga lima hari walaupun ada yang berlanjutan hingga 10 hari.
Pasti antara kalian sudah mengalami batuk yang berpanjangan dan kering. Jangan ambil senang akan ia dan segera dapatkan rawatan kerana kemungkinan anda sudah dijangkiti batuk kokol.
Apa itu Batuk Kokol?
Menurut ciapan pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Samhan Awang di Twitter (X), beliau menjelaskan batuk kokol yang turut dikenali sebagai pertussis boleh mengakibatkan radang paru-paru, otak dan sawan dan mudah berjangkit melalui udara serta boleh membawa maut. Ia turut dikategorikan sebagai penyakit pernafasan dan sangat mudah berjangkit melalui hidung dan kerongkong. Dalam kebanyakan kes, ia sama dengan batuk yang teruk diikuti bunyi nyaring ketika menarik nafas dan berbunyi.
Antara gejala batuk kokol termasuk hidung berair, hidung tersumbat dengan lendir, mata merah dan berair, demam dan batuk. Minggu berikutnya, tanda dan gejala akan menjadi lebih teruk. Batuk teruk berpanjangan akan merangsang muntah, menyebabkan muka menjadi merah atau biru, selain menyebabkan keletihan yang melampau. Tidak kira ubat penahan atau terapi batuk yang dijual berleluasa, gejala batuk kokol akan beransur pulih selepas tiga hingga enam bulan.
1. Antibiotik.
Antibiotik adalah cara terbaik untuk merawat pertussis. Amat penting untuk berjumpa doktor secepat mungkin dan mengambil rawatan awal untuk mengurangkan keterukan dan tempoh penyakit serta mengurangkan risiko penyebaran jangkitan kepada orang lain.
2. Kuarantin.
Jika anda berasa batuk berpanjangan dan semakin teruk, adalah digalakkan untuk kuarantin dirumah buat sementara. Kerana jangkitan yang merebak boleh menyebabkan kematian pada orang lain. Lebih-lebih lagi pada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan kerana mereka mudah mendapat penyakit lengkap dengan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.
3. Minum air secukupnya.
Air mineral, jus buahan dan sup panas amat disarankan. Makan makanan dalam kuantiti yang sedikit dapat membantu anda mengelakkan muntah selepas batuk.
4. Udara segar.
Pastikan anda menghirup udara yang segar dan elakkan bahan penggalak kepada batuk seperti tembakau, asap dan kepulan daripada tempat pembakaran.
5. Kebersihan.
Adalah lebih baik untuk meutup mulut ketika batuk dan cuci tangan selalu untuk menghalang jangkitan daripada merebak.