CNN Travel telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 22 destinasi pelancongan terbaik di dunia yang perlu anda lawati sepanjang tahun ini.
Pulau Pinang terus menjadi antara destinasi pelancongan utama di Malaysia. Dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dunia, kempen “Nikmati Pulau Pinang” dilancarkan untuk memacu pelancong domestik dan antarabangsa dengan memperkayakan pengalaman serta lokasi-lokasi yang unik dan tersendiri. Dan baharu ini, Pulau Muatiara ini telah disenaraikan sebagai salah satu dariapada 22 destinasi pelancongan terbaik di dunia oleh CNN Travel untuk tahun 2022.
Pulau Pinang menyertai beberapa destinasi pelancongan terkenal dunia seperti Taman Negara Yellowstone di Amerika Syarikat, Naples di Itali, Valencia, Sepanyol, Disko Bay di Greenland, Dijon di Perancis, Oslo Beach di Afrika Selatan dan Cape Breton di Nova Scotia.
Selain daripada dua tapak warisan UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang baru sahaja diiktiraf, Pulau Pinang juga mempunyai seni jalanan yang unik, makanan tempatan yang menyelerakan, hutan hujan yang berusia 130 juta tahun, dan kepelbagaian landskap semula jadi seperti bukit dan pantai yang menjadikan ia salah satu destinasi paling ikonik di dunia.
Tahun ini, kempen ‘Other Side of the Island, Teluk Bahang and Balik Pulau’ dan ‘Opposite Side of the Island, Seberang Perai’ turut dilancarkan buat pengunjung untuk meneroka destinasi yang mungkin jarang dikunjungi sebelum ini. Berikut adalah 5 destinasi yang perlu anda terokai ketika mengunjungi Pulau Pinang:
Kampung Agong
Terdapat banyak tempat-tempat tarikan tersembunyi di Seberang Perai seperti Butterworth Art Walk, Pulau Aman, Taman Rimba Bukit Mertajam, Frog Hill, dan Kampong Agong. Mereka yang gemar merakam gambar Instagram mesti singgah di Kampung Agong. Terletak di Bakar Kapur di Penaga, pokok kelapa, sawah padi, rumah kayu tradisional dan piano, buaian, serta sarang gergasi yang telah tular di media sosial sejak 2018, menjadikannya berbaloi untuk memandu selama sejam dari Pulau Pinang.
Entopia by Penang Butterfly Farm
Tempat perlindungan rama-rama dan serangga tropika yang pertama di dunia, Entopia by Penang Butterfly Farm mempunyai kira-kira 15,000 rama-rama yang terbang bebas! Ia juga mempunyai pusat penemuan yang menampilkan dua tingkat pameran dan aktiviti pembelajaran, membolehkan pelawat meneroka sendiri dunia invertebrata melalui pelbagai stesen pendidikan interaktif.
Tapak Warisan Dunia UNESCO
Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang mempunyai dua tapak warisan duniaF UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang baru sahaja diiktiraf. Yang menariknya, disebabkan jarak pusat bandar yang berdekatan dengan bukit-bukau, anda boleh menikmati pendakian pagi melalui hutan hujan purba Bukit Bendera dan meluangkan sepanjang hari menikmati pesona dunia lama Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Taman Tema Escape
Gelongsor air terpanjang di dunia berdasarkan Rekod Dunia Guinness di Taman Teman ESCAPE menjanjikan gelongsoran kegembiraan selama empat minit yang mendebarkan sepanjang 1,111 meter melalui hutan semula jadi dan kanopi pokok.
Frog Hill
Juga dikenali sebagai Bukit Katak, Frog Hill adalah antara ‘hidden gem’ kegemaran para naturalis dan para jurugambar kerana ia menyerupai Jiuzhaigou yang terkenal di China. Dalam jarak pemanduan yang singkat dari Kampung Agong, Frog Hill menjanjikan pengunjung pemandangan dramatik kolam berwarna biru kehijauan dan sesekali penampakan kerbau liar yang berkubang di dalam air.
Foto: Pelancongan Negeri Pulau Pinang
Baca lebih lanjut: Melancong Ke Singapura? Ini 5 Langkah Yang Perlu Anda Tahu