Bentuknya ikonik, gebu dan pelbagai perisa…kegemaran sejak kecil!
Ada sesuatu tentang donut yang sukar untuk ditolak.
Mungkin kerana teksturnya yang gebu, bau mentega yang baru keluar dari dapur atau sekadar melihat topping berwarna-warni yang membuatkan kita terus teringin untuk mencuba.
Bagi saya, pencarian donut yang sedap bukan sekadar mencari kudapan untuk minum petang, tetapi satu pengalaman kecil yang menyeronokkan… lebih-lebih lagi apabila menemui kafe yang tidak pernah terlintas dalam radar sebelum ini.
Untuk anda yang sedang mencari lokasi donut menarik untuk dicuba, EH! senaraikan lima tempat yang wajar dimasukkan dalam senarai foodie!

1. I’m donut?
Jenama dari Jepun ini bukan sekadar menjual donut biasa, sebaliknya hadir dengan konsep nama donut yang terkenal dengan tekstur sangat ringan, lembut dan hampir seperti awan. Diasaskan oleh chef Jepun Ryouta Hirako, konsep I’m donut? sendiri berkait dengan persoalan tentang apa sebenarnya yang boleh dianggap sebagai donut. Di Jepun, jenama ini sudah mempunyai peminat tersendiri dan kini membuka cawangan pertamanya di Malaysia di The Exchange TRX pada 12 September 2026.
Perkara pertama yang membuatkan donut ini berbeza ialah teksturnya. Bahagian luar mempunyai sedikit kerak akibat proses menggoreng pada suhu tinggi, tetapi apabila digigit, bahagian dalamnya ringan dan fluffy.
Terdapat lebih daripada 30 pilihan manis dan savoury, termasuk Original Nama Donut, Nama French Cruller, Pistachio, Matcha, Chocolate serta donut berinti. Lebih menarik, cawangan Malaysia turut memperkenalkan 16 perisa eksklusif tempatan seperti Cham, Pandan Coconut Cream, Pandan White Bean, Milo, Hojicha Kaya Jam dan Banana Fritter Caramel.

2. Kafe Caah’s Donut & Coffee
Daripada donut Jepun, kita beralih pula ke Shah Alam dengan satu nama yang sudah cukup sinonim dengan donut susu … Kafe Caah’s Donut & Coffee. Jenama ini sudah berada di Seksyen 7 sejak 2020 dan kini bukan sekadar tempat membeli donut untuk dibawa pulang, tetapi turut mempunyai ruang kafe untuk pelanggan duduk, menikmati kopi dan makan donut dengan lebih santai.
Apa yang membuatkan Caah’s begitu menarik sebenarnya adalah perkara yang nampak paling simple: donut susu. Teksturnya lembut dan gebu, sementara rasa susunya memberikan karakter tersendiri tanpa menjadikan donut terlalu berat. Tidak hairanlah slogan mereka, “Sekali Ngap! Terus Len-yap”, terasa cukup kena dengan pengalaman menikmati donut ini.

3. HALO DOUGHNUTS
Seterusnya, kita ke Petaling Jaya untuk mengenali HALO DOUGHNUTS. Berbeza daripada pengalaman mencari donut klasik, HALO lebih menarik untuk mereka yang suka menjadikan donut sebagai satu bentuk eksplorasi rasa dan eksperimen yang berani!
Untuk donut, saya rasa pendekatan terbaik di sini ialah jangan terus ambil satu flavour sahaja. Pilih beberapa jenis untuk dikongsi supaya anda boleh membandingkan tekstur, topping dan rasa setiap satu.

4. Nareo Donut
Kalau anda fikir donut cuma datang dalam pilihan coklat, gula atau strawberry, Nareo Donut mungkin akan mengubah pandangan itu. Berlokasi di Taman Paramount, Petaling Jaya, Nareo membawa pendekatan artisan brioche-style doughnuts dan menghasilkan donut segar setiap hari.
Donut di sini pula bukan setakat satu kategori. Ada Mochi Donuts dalam pilihan seperti Matcha, Chocolate dan Strawberry, Savoury Donuts, donut brioche berinti seperti Custard, Jam dan Tiramisu, selain Chocolate Bomboloni yang diisi dengan krim kastard.
Tetapi bahagian yang paling menyeronokkan ialah flavour bermusim!

5. Swirl
Kalau empat lokasi tadi lebih fokus kepada donut sebagai hero, Swirl mengambil pendekatan yang sedikit berbeza. Di Seksyen 17, Petaling Jaya, kedai dessert ini terkenal dengan gabungan soft serve dan donut! YUMMY!
Konsep Swirl lebih playful dan santai. Ruangnya kecil dengan dekorasi bertemakan swirl, kerusi gaya camping dan suasana yang tidak terlalu formal. Tarikan utamanya ialah donut yang diisi atau digandingkan dengan soft serve. Menariknya, donut tersebut dibuat melalui kolaborasi dengan Nareo Donuts, jadi ada elemen artisan donut yang bertemu dengan soft serve bertekstur creamy.
