2024 bakal melabuhkan tirainya. Tentunya anda sedang mencari lokasi menarik untuk menyambut tahun baru 2025 nanti.
Sudahkah anda merancang percutian tahun baru 2025? Sementelah Malaysia bakal meraikan musim cuti yang panjang selama 2 hari pada hari selasa dan rabu, pasti diantara anda telah menambah cuti tambahan.
Setiap kali tahun baru menjelang, rakyat Malaysia tidak ketinggalan meraikannya dengan penuh kemeriahan. Tahun 2025 tidak terkecuali dan pelbagai acara menarik telah dirancang untuk memeriahkan sambutan ini. Dari bandar metropolitan yang sibuk hingga destinasi alam semula jadi yang memukau, Malaysia memberikan pelbagai pilihan untuk memeriahkan perayaan Tahun Baru 2025.
Luangkan masa akhir tahun 2024 dan sambut tahun baru 2025 bersama tersayang di 5 lokasi menarik pilihan EH!:
1. Meletop Countdown 2025
Berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya pada 31 Disember 2024, bermula jam 10:00 malam hingga 12:30 tengah malam, Konsert Countdown MeleTOP 2025 menjanjikan keseronokkan yang menggabungkan hiburan dan inisiatif kebajikan, pasti akan menghangatkan suasana malam tahun baru dengan persembahan hebat daripada artis-artis terkenal tempatan.
Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga platform untuk kebaikan dan salah satu daya tarikan utama acara ini ialah kemasukan adalah percuma. Bagi yang tidak dapat hadir di lokasi, siaran langsung boleh ditonton di Astro Ria, atau strim melalui AstroGo dan SOOKA.
2. TRX Countdown Party, Kuala Lumpur
Buat anda yang inginkan perayaan mewah dan berlokasi di pusat beli belah baharu ibu negara, Kuala Lumpur, TRX menawarkan konsert parti dengan kemunculan bekas kumpulan Idol Super Junior-M, Henry Lau dan Capital Cities, selain artis tempatan antaranya SonaOne, Daiyan Trisha, Ashley Lau dan Putri Dahlia.
Anda tidak memerlukan tiket untuk menghadiri acara ini kerana kemasukan adalah percuma untuk semua. Namun, bagi mereka yang ingin menyokong usaha murni, anda digalakkan untuk membuat sumbangan kepada Kechara Soup Kitchen. Organisasi ini memainkan peranan penting dalam membantu Komuniti Orang Asli di Malaysia dengan pelbagai inisiatif kebajikan.
3. KLCC Countdown to 2025
KLCC Countdown to 2025, kembali dengan sambutan akhir tahun pada 31 Disember 2024. Bersiaplah untuk malam penuh hiburan dengan persembahan hebat daripada artis terkenal seperti DJ Zuzu, Zeppo Youngsters, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Belle Sisoski, Ella, dan Reizo Zen (MJ).
Pertunjukan ini dijangka bermula pada jam 6:30 petang dan akan membawa anda kepada detik kemuncak hitung ke tahun baharu 2025. Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga bakal dihidangkan dengan gabungan muzik, cahaya dan seni air pancut yang mempesona, menjadikan malam Tahun Baru di KLCC satu pengalaman yang wajib dirasai.
4. Sunway Pyramid
Malam tahun baharu tidak akan lengkap tanpa pertunjukan bunga api. Pada 31 Disember 2024, saksikan langit malam Sunway City diterangi oleh percikan warna-warni yang menakjubkan. Pastikan anda berada di lokasi untuk menikmati saat-saat indah ini!
Pelbagai gerai menjual makanan lazat dan barangan unik menanti anda! Pasar ini akan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 1 pagi. Khas buat shopaholic, nikmati juga pengalaman membeli-belah hingga lewat malam, dengan kedai-kedai dibuka sehingga jam 1 pagi pada malam tahun baharu.
5. PINKFISH
Pinkfish Countdown 2024 adalah satu lagi perayaan Malam Tahun Baru yang mengujakan, menyambut kedatangan tahun 2025 dengan suasana yang tiada tandingan. Dikenali dengan getaran yang bertenaga, muzik yang hebat, dan pertunjukan cahaya yang menakjubkan, Pinkfish telah menjadi simbol bagi parti Malam Tahun Baru yang tidak dapat dilupakan.
Acara 2024 ini dijangka melebihi jangkaan, membawa bersama DJ dan penghibur bertaraf dunia untuk mencipta pengalaman yang benar-benar menakjubkan bagi ribuan pengunjung.
Acara ini akan diadakan di Surf Beach Sunway Lagoon pada 31 Disember. Jika anda rasa terlambat untuk hadir, jangan risau! Tiket masih tersedia, bermula dari RM238.