Jika dahulu wagyu lebih sinonim dengan hidangan stik, kini cara menikmatinya semakin pelbagai. Deretan restoran dan pizzeria mula membawa daging premium ini ke atas sekeping pizza, menjadikannya antara menu yang cukup menggoda untuk dicuba. Pizza wagyu mungkin bukan sesuatu yang baharu, namun dengan semakin banyak versi menarik yang muncul, nampaknya trend ini masih belum mahu berhenti.
Pizza wagyu bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi entah bagaimana ia masih berjaya membuatkan kita teruja setiap kali muncul di atas meja. Dengan doh panas yang baru keluar dari ketuhar, keju yang masih meleleh dan hirisan wagyu lembut dalam setiap potongan. Memang sedikit extra, tetapi kalau bab makanan, sesekali apa salahnya.
Setiap restoran ada cara tersendiri untuk menghidangkan pizza wagyu dan kalau anda sedang mencari alasan untuk treat yourself dengan pizza yang sedikit lebih fancy daripada biasa, EH! senaraikan lima lokasi sekitar Klang Valley yang boleh masuk dalam senarai anda.
1. Bienz
Kalau bercakap tentang pizza wagyu, Bienz antara nama yang sering menjadi sebutan. Restoran ini menawarkan Bienz Golden Wagyu Sourdough Pizza, dengan wagyu sebagai bintang utama. Untuk pizza bersaiz 11 inci, sekitar 140 gram hirisan wagyu digunakan bersama sedikit wagyu cincang bagi menambahkan lagi rasa pada setiap suapan. Semuanya disusun di atas kerak sourdough, menghasilkan gabungan tekstur yang cukup memuaskan antara doh dan daging yang lembut. Paling penting, mereka memang tidak kedekut dengan topping jadi anda tidak perlu berebut hirisan wagyu terakhir. Harga yang disenaraikan bermula sekitar RM110.
Lokasi: Sunway Avila Avenue, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

2. Fino Piza
Beralih ke TTDI, FINO PIZA menawarkan Certified A5 Wagyu Pizza yang dibakar menggunakan kaedah wood-fired, menghasilkan kerak dengan sedikit char dan aroma smoky. Hirisan A5 Wagyu menjadi bintang utama, dipadankan bersama mozzarella, jeruk jalapeño, jeruk lobak, wasabi aioli dan daun kucai segar. Rasa wagyu yang kaya diseimbangkan dengan elemen pedas dan masam, menjadikan setiap suapan tidak terasa terlalu berat. Dengan harga bermula RM159.90, ini pilihan untuk hari anda mahu treat yourself dengan pizza yang sedikit lebih istimewa.
Lokasi: 44, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

3. Nitro KL
Buat yang sukakan pizza dengan karakter berbeza, Nitro KL turut mempunyai Wagyu Pizza dalam pilihannya. Nitro KL mengetengahkan pizza gaya Neapolitan dengan pilihan topping yang tidak terlalu konvensional. Selain Wagyu Pizza yang menggunakan daging premium, mereka turut dikenali dengan Sukiya Pizza gabungan hirisan daging shabu-shabu, sos sukiya buatan sendiri dan minyak cili. Jadi, ini antara lokasi yang sesuai jika anda mahu mencuba pizza daging yang sedikit lari daripada kombinasi klasik.
Lokasi: Enjoy’s Corner, Taman Desa Melawati, Kuala Lumpur.

4. MonaLisa KL
Kalau pizza wagyu sahaja masih belum cukup extra, MonaLisa KL membawanya ke tahap lebih mewah menerusi 24 Karat Golden Pizza. Wagyu dipadankan dengan mozzarella, sos parmesan truffle, lumpfish caviar, tomato dan minyak truffle sebelum sentuhan terakhir daun emas 24 karat melengkapkan hidangan. Memang dibuat untuk mencuri perhatian sebaik sahaja tiba di meja. Pizza ini ditawarkan pada harga sekitar RM115.
Lokasi: 78, Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

5. Pociato Coffee & Pizza
Satu lagi yang patut masuk dalam senarai ialah Pociato Coffee & Pizza dengan Signature Wagyu Pizza bersaiz 11 inci. Pizza ini menggunakan A5 Wagyu dari Jepun yang dipadankan dengan mozzarella, sos merah Itali, baby tomato dan jalapeño, sebelum dilengkapkan dengan sos truffle, minyak zaitun serta taburan togarashi. Gabungan wagyu yang kaya dengan sedikit rasa pedas menjadikannya antara menu signatur Pociato yang menarik untuk dicuba. Harga yang disenaraikan di platform penghantaran sekitar RM114.40.
Lokasi: 45A, Jalan Suarasa 8/3, Tun Hussein Onn, 43200 Cheras, Selangor.

Artikel Berkaitan: 5 Kafe Menarik di Sekitar Cheras Untuk Weekend Brunch
