Panasnya cuaca sekarang….
Cuaca panas yang berpanjangan boleh membuatkan badan cepat rasa letih, kurang bertenaga dan mudah kehilangan cecair akibat berpeluh.
EH! kongsikan 5 makanan yang boleh membantu menyejukkan badan secara semula jadi. Selain mudah didapati, makanan ini juga enak dinikmati pada bila-bila masa untuk membantu anda kekal bertenaga sepanjang hari.

1. Tembikai
Tembikai merupakan antara buah terbaik untuk dinikmati ketika cuaca panas. Kandungan airnya mencecah lebih 90 peratus, membantu menggantikan cecair yang hilang akibat berpeluh.
Selain itu, tembikai mengandungi vitamin A, vitamin C serta antioksidan seperti likopena yang baik untuk kesihatan kulit. Hidangkan dalam keadaan sejuk atau jadikan jus tanpa tambahan gula untuk rasa yang lebih menyegarkan.

2. Timun
Timun terkenal sebagai sayuran yang memberikan rasa segar setiap kali dimakan. Kandungan air yang tinggi membantu badan kekal terhidrat, manakala kalorinya yang rendah menjadikannya pilihan sihat untuk dijadikan snek.
Anda boleh menikmatinya bersama salad, dijadikan infused water atau dimakan begitu sahaja sebagai kudapan ringan ketika cuaca panas.

3. Air Kelapa
Jika badan kehilangan banyak peluh, air kelapa merupakan pilihan minuman semula jadi yang membantu menggantikan elektrolit seperti kalium, natrium dan magnesium.
Rasanya yang menyegarkan menjadikan ia minuman kegemaran ramai ketika cuaca terik. Namun, pilih air kelapa asli tanpa tambahan gula bagi mendapatkan manfaat terbaik.

4. Yogurt
Yogurt bukan sahaja baik untuk sistem penghadaman, malah memberikan rasa sejuk kepada tubuh. Kandungan probiotik membantu mengekalkan kesihatan usus, manakala protein dan kalsium memberi tenaga yang berpanjangan.
Nikmati yogurt bersama buah-buahan segar seperti beri, mangga atau kiwi untuk hidangan yang lebih berkhasiat dan menyegarkan.

5. Buah-buahan Sitrus
Buah seperti oren, limau gedang, lemon dan limau nipis kaya dengan vitamin C serta kandungan air yang tinggi. Ia membantu menyegarkan badan selain menyokong sistem imun.
Anda boleh menikmatinya sebagai snek, dijadikan jus segar tanpa gula atau dicampurkan ke dalam air kosong bagi menghasilkan infused water yang menyegarkan sepanjang hari.
Tip kekal sejuk ketika cuaca panas
Selain memilih makanan yang sesuai, amalkan beberapa langkah mudah ini bagi membantu badan kekal selesa:
- Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari atau lebih jika banyak melakukan aktiviti luar.
- Kurangkan pengambilan makanan pedas, bergoreng dan berminyak yang boleh meningkatkan haba badan.
- Elakkan minuman berkafein atau bergula secara berlebihan kerana ia boleh menyumbang kepada dehidrasi.
- Pakai pakaian yang nipis, longgar dan berwarna cerah.
- Hadkan aktiviti luar pada waktu tengah hari apabila suhu berada pada tahap tertinggi.
