Lampin tuala wanita jenis kain bukan sahaja menyihatkan dari sudut kelestarian dan persekitaran, tetapi ia juga bermanfaat dalam banyak cara lain.
Sedarkah anda, penggunaan lampin tuala wanita jenis kain semakin mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan masyarakat global hari ini. Tular di TikTok malah akaun media sosial yang lain, lampin tuala wanita jenis kain ini telah wujud dari zaman dahulu lagi sebelum wujudnya pad tuala kitar semula.
Dalam era di mana kesedaran akan impak negatif penggunaan produk sekali pakai semakin meningkat, pad kain menonjol sebagai pilihan yang lebih bermanfaat dan mesra alam.
Bertukarlah kepada lampin tuala wanita jenis kain, EH! senaraikan lima manfaat utama yang dapat diterokai apabila kita memilih pad kain sebagai alternatif kepada produk pembalut dan lampin sekali pakai.
1. Kelesaan
Antara faktor utama yang membezakan pad kain daripada pembalut dan lampin konvensional ialah kain yang digunakan untuk pad biasanya lembut dan mesra kulit, memberikan keselesaan kepada penggunanya. Ini adalah elemen penting terutamanya untuk wanita yang memerlukan kelembutan ketika menghadapi hari haid.
Seiring dengan itu, pad kain juga cenderung memberikan penyerapan yang lebih baik berbanding produk sekali pakai yang boleh menyebabkan iritasi dan reaksi alergi pada kulit.
2. Mesra Alam Sekitar
Kelestarian alam perlu ditekankan kepada masyarakat kini. Pad kain amat memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada usaha kelestarian alam kerana ia dapat digunakan berulang kali. Pembaziran dan pencemaran alam sekitar oleh produk sekali pakai boleh dikurangkan apabila individu beralih kepada pad kain.
Selain itu, penggunaan kain berulang kali turut membantu mengurangkan pengeksploitan sumber-sumber alam yang terhad.
3. Menjimatkan
Meskipun pad kain mungkin memerlukan pelaburan awal yang lebih tinggi berbanding pembalut dan lampin sekali pakai, namun ia merupakan pelaburan yang berbaloi dalam jangka masa panjang. Pengguna hanya perlu membeli pad kain secara satu kali dan dapat menggunakannya berulang kali, sekaligus menjimatkan kos berbanding pembelian berterusan produk sekali pakai.
4. Kebaikan pada kesihatan
Pad kain biasanya tidak mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh merosakkan kulit atau menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang. Oleh itu, pengguna pad kain dapat yakin bahawa mereka tidak terdedah kepada bahan kimia yang berpotensi akan memberi kesan kepada kesihatan mereka.
5. Mencipta Kesedaran Kesihatan Mental
Kesedaran terhadap impak persekitaran dan keupayaan untuk menyumbang kepada kelestarian alam memberikan kepuasan dan kegembiraan kepada pengguna. Ini memberikan nilai tambah kepada pengalaman penggunaan pad kain dan merangsang kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pengguna.