Pernah tak anda sedang seronok berbalas mesej dengan sesorang, semuanya nampak berjalan lancar, hati pun dah mula berbunga… tiba-tiba dia hilang tanpa khabar? Itu ghosting!
Tanpa sebarang penjelasan, tanpa isyarat awal, si dia terus menghilang seolah-olah tidak pernah wujud dalam hidup anda. Fenomena ini kini dikenali sebagai ghosting iaitu satu tindakan di mana seseorang memutuskan hubungan secara tiba-tiba dan menghilangkan diri tanpa memberi sebarang alasan.
Perkara ini bukan sahaja membingungkan, malah boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada individu yang ditinggalkan. Lebih menyakitkan apabila kita tidak tahu apa salah kita atau mengapa semuanya berubah secara drastik.
Adakah mereka takut komitmen, sudah hilang minat atau ada sebab lain? EH! kongsi beberapa sebab utama kenapa lelaki tiba-tiba ‘ghosting’
1. Hilang minat secara perlahan
Wahai wanita! Ini sebab utama yang anda perlu terima hakikat. Dalam fasa awal perkenalan, semuanya tampak serba indah kerana rasa teruja dan keinginan untuk mengenali satu sama lain. Namun, setelah beberapa minggu atau bulan, lelaki mungkin mula merasakan bahawa keserasian antara anda berdua tidak seperti yang diharapkan.
Ada yang berani menyuarakannya, tetapi ramai juga yang memilih untuk senyap. Bagi mereka, hilang secara perlahan lebih mudah daripada menjelaskan sebab sebenar mereka tak lagi berminat.
2. Tidak matang dan tak pandai komunikasi
Ada juga lelaki yang tidak memiliki kemahiran komunikasi yang matang. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan perasaan sebenar atau berasa tidak selesa untuk menyakitkan hati orang lain secara berdepan.
Akhirnya mereka fikir, “Lebih baik aku senyap sahaja.” Padahal tindakan itu lebih menyakitkan daripada sekadar berkata jujur. Ini menunjukkan kurangnya kematangan emosi dan tanggungjawab dalam mengendalikan hubungan.
3. Hanya bermain-main a.k.a TEST MARKET!
Kadangkala, niat sebenar seorang lelaki bukanlah untuk membina hubungan jangka panjang, tetapi sekadar mahu mengisi masa lapang atau mendapatkan perhatian. Mereka suka rasa dihargai, suka dilayan tetapi bila anda mula menunjukkan keinginan serius, mereka mula panik!
Dan apabila permainan mereka tamat atau mereka sudah ‘dapat apa yang mereka mahu’, mereka pun lenyap begitu sahaja.
4. Belum move-on
Tidak semua orang benar-benar ‘sembuh’ selepas putus cinta. Ada yang masuk ke dalam hubungan baru dengan harapan ia dapat merawat luka lama. Tapi bila emosi lama kembali menghantui atau rasa bersalah terhadap bekas pasangan masih belum hilang, dia akan mula menjauh.
Dalam keadaan ini, ghosting bukan bermaksud dia membenci anda, tapi lebih kepada konflik dalaman yang belum selesai. Malangnya, anda tetap menjadi mangsa tanpa mengetahui puncanya.
5. Biggest redflag! Sedang berkenalan dengan orang lain
Di zaman aplikasi dating dan media sosial yang serba laju ini, ramai yang sebenarnya tidak hanya fokus pada satu individu. Mungkin semasa dia mengenali anda, dia juga dalam proses ‘berkawan’ dengan beberapa orang lain.
Apabila dia rasa lebih sesuai dengan orang lain itu, anda akan ‘di-ghosting’ secara senyap. Tanpa sebarang penjelasan atau mesej terakhir, dia menghilang seolah-olah tiada apa-apa pernah berlaku