Litar Sepang is back!
Selepas hampir sembilan tahun tidak menghiasi kalendar Formula 1 sejak perlumbaan terakhir pada 2017, nama Litar Antarabangsa Sepang kembali menjadi perhatian dunia permotoran.
Malaysia bakal kembali menjadi tumpuan peminat F1 apabila Sepang dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia pada Oktober 2026.
Jadi, apakah keistimewaan yang membuatkan Litar Sepang begitu diminati oleh pemandu dan peminat F1?

1. Litar terbaik dunia
Litar Sepang sering tersenarai sebagai salah satu litar terbaik yang pernah digunakan dalam kalendar Formula 1. Trek sepanjang 5.543 kilometer ini menawarkan keseimbangan sempurna antara kelajuan tinggi, selekoh teknikal dan peluang memotong yang menarik.
Ramai bekas pemandu seperti Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Sebastian Vettel dan Jenson Button pernah memuji Sepang kerana setiap pusingan memerlukan ketepatan, keberanian serta strategi yang berbeza. Walaupun Malaysia tidak lagi menjadi tuan rumah F1, Sepang masih digunakan untuk pelbagai kejohanan antarabangsa seperti MotoGP, GT World Challenge Asia, Malaysia Championship Series dan pelbagai acara permotoran bertaraf dunia.

2. Reka bentuk litar yang mencabar dan ikonik
Apa yang membezakan Sepang dengan litar lain ialah gabungan pelbagai jenis selekoh dalam satu pusingan. Pemandu perlu mengharungi selekoh berkelajuan tinggi, selekoh teknikal, zon membrek yang sukar serta dua laluan lurus panjang yang sesuai untuk aksi memotong menggunakan DRS ketika era Formula 1 berlangsung di sini.
Kesilapan kecil ketika mengambil garisan perlumbaan boleh menyebabkan kehilangan masa yang besar. Disebabkan itu, ramai pemandu menganggap Sepang sebagai litar yang benar-benar menguji kemahiran mereka berbanding hanya bergantung kepada prestasi jentera.

3. Cuaca tropika yang tidak menentu
Satu lagi keunikan Sepang ialah cuaca tropikanya yang sukar dijangka. Perlumbaan sering bermula dalam keadaan panas terik sebelum hujan lebat turun secara tiba-tiba hanya beberapa minit kemudian. Perubahan cuaca yang mendadak memaksa pasukan membuat keputusan pantas mengenai strategi tayar, masa masuk ke pit dan tetapan jentera.
Keadaan ini sering menghasilkan perlumbaan yang dramatik dan sukar diramal.

4. Reka bentuk moden oleh Hermann Tilke
Litar Sepang merupakan litar Formula 1 pertama yang direka oleh arkitek terkenal dari Jerman, Hermann Tilke, yang kemudiannya bertanggungjawab mereka bentuk banyak litar moden F1 di seluruh dunia seperti Bahrain, Shanghai, Yas Marina, Istanbul Park dan Circuit of the Americas.

5. Menguji ketahanan fizikal pemandu
Berlumba di Sepang bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi, malah ketahanan fizikal yang luar biasa. Suhu litar yang boleh melebihi 50°C bersama tahap kelembapan yang tinggi menyebabkan kokpit Formula 1 menjadi sangat panas sepanjang perlumbaan.
Dalam tempoh hampir dua jam perlumbaan, pemandu perlu mengekalkan fokus maksimum sambil menahan tekanan G-force ketika melalui selekoh berkelajuan tinggi. Ramai pemandu mengakui bahawa Grand Prix Malaysia merupakan antara perlumbaan paling memenatkan dalam satu musim.
Baca: 7 Pemain Bola Dengan Gol Terbanyak Dalam Sejarah FIFA World Cup
