Kadangkala, rahsia untuk sentiasa nampak cantik bukanlah tentang menambah lebih banyak produk dalam rutin kecantikan anda.
Sebaliknya, terdapat beberapa tabiat kecil yang sering dipandang remeh boleh memberikan impak pada penampilan.
Malah, ada beberapa perkara yang mungkin nampak terlalu biasa untuk dianggap sebagai “beauty habit”. Namun, apabila dilakukan secara konsisten, tabiat kecil ini boleh menjadi cara mudah untuk menjaga diri dan membantu anda kelihatan lebih segar secara semula jadi.
Jom ikut EH! intip lima tabiat underrated yang boleh mula diamalkan.
Gunakan Klip Rambut Berbanding Getah Rambut

Jika anda selalu menggunakan getah rambut untuk mengikat rambut, mungkin sudah tiba masanya untuk beri rambut anda rehat daripada semua pressure itu. Getah rambut yang terlalu ketat boleh menghasilkan tekanan dan geseran berulang pada bahagian rambut yang sama, sekali gus meningkatkan risiko rambut patah
Berbeza dengan getah rambut, klip rambut boleh mengurangkan tarikan berterusan pada helaian rambut, terutama jika anda memilih klip yang sesuai dengan ketebalan rambut.
Elakkan juga klip yang terlalu berat atau mempunyai bahagian tajam kerana ia masih boleh menyebabkan rambut tersangkut dan rosak.
Selain lebih gentle pada rambut, hair clip juga boleh memberikan gaya yang effortless. Pilih claw clip atau barrette yang minimal untuk mendapatkan look yang kemas tetapi tetap chic!
Jangan Takut Dengan Gula Semula Jadi

Gula sering dianggap sebagai musuh kecantikan, tetapi tidak semua sumber gula perlu dielakkan. Buah-buahan, susu dan makanan semula jadi tertentu membekalkan glukosa bersama nutrien lain yang diperlukan oleh tubuh sebagai sumber tenanga.
Glukosa berfungsi untuk menghasilkan tenaga dan proses hormon, pengambilan kalori atau karbohidrat yang terlalu rendah pula boleh menganggu fungsi tubuh, terutama jika dilakukan secara berpanjangan.
Jadi, anda tidak perlu terus menghapuskan buah atau makanan semula jadi hanya kerana mengandungi gula. Sebaliknya, nikmati dalam jumlah serdahana dan utamakan sumber karbohidrat yang kaya dengan serat dan nutrien.
Dapatkan Beauty Sleep Anda

Beauty sleep bukan hanya untuk kedengaran menarik tetapi tidur sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pemulihan tubuh. Ketika tidur, badan menjalankan pelbagai proses pembaikan sel yang turut menyokong kesihatan kulit.
Hormon pertumbuhan manusia atau human growth hormone (HGH) banyak dikeluarkan ketika tidur, khususnya semasa fasa tidur yang lebih mendalam. Hormon ini terlibat dalam proses pembaikan tisu dan penghasilan kolagen, yang penting untuk mengekalkan struktur serta keanjalan kulit.
Sebab itu, satu malam tidur yang tidak mencukupi kadangkala boleh terus kelihatan pada wajah keesokan harinya. Kulit mungkin nampak lebih penat dan kusam, mata kelihatan sembap dan wajah terasa kurang segar kerana tubuh tidak mendapat masa pemulihan yang mencukupi
Baca Buku Daripada Terus Scrolling

Kalau anda mempunyai tabiat scrolling sebelum tidur, cuba tukarkannya kepada membaca buku fizikal. Bukan sahaja mata dapat berehat daripada skrin, malah rutin ini boleh membantu anda mencipta suasana yang lebih tenang sebelum tidur.
Bukan itu sahaja, penggunaan skrin pada waktu malam juga boleh mengganggu rutin tidur melalui pendedahan kepada cahaya dan rangsangan berterusan daripada kandungan digital.
Kurang tidur pula boleh menyebabkan kulit kelihatan lebih kusam dan meningkatkan tanda-tanda keletihan pada wajah.
Membaca juga boleh menjadi aktiviti yang membantu anda mengurangkan tekanan sebelum tidur. Memandangkan stres yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada kesihatan kulit, beberapa muka surat sebelum tidur mungkin lebih bermanfaat daripada satu jam doomscrolling.
Pilih Air Yang Membekalkan Mineral

Minum air secukupnya memang penting, tetapi jangan terlalu obses untuk mencari air yang kononnya mempunyai formula kecantikan ajaib. Tubuh memerlukan air untuk pelbagai fungsi, manakala elektrolit seperti sodium dan potassium membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan.
Mineral tertentu seperti magnesium juga penting untuk pelbagai fungsi tubuh, manakala nutrien seperti silica sering dikaitkan dengan kesihatan kulit, rambut dan kuku.
Namun, air kosong tetap merupakan pilihan utama untuk kebanyakan orang dan air yang ditapis tidak semestinya bermaksud ia “empty hydration”.
Jika mahu menambah elektrolit, anda boleh mendapatkan sumbernya melalui makanan atau minuman seperti air kelapa. Untuk rutin harian, lebih penting untuk memastikan pengambilan air mencukupi berbanding mengejar produk air yang mahal atau terlalu banyak mineral tambahan.
Artikel Berkaitan: 5 Tabiat Anda Boleh Cuba Untuk Glow Up
