“Penyondol”, satu perkataan yang mungkin kedengaran agak pedas, tetapi semakin biasa digunakan dalam perbualan dan media sosial sejak kebelakangan ini.
Dalam konteks hubungan, penyondol merujuk kepada individu yang cuba masuk campur atau “mencelah” dalam hubungan orang lain, khususnya apabila melibatkan pasangan yang sudah mempunyai komitmen.
Walaupun istilah ini bukan istilah rasmi dalam bahasa Melayu baku, penggunaannya semakin popular dalam bahasa media sosial dan bahasa percakapan alaf kini.
Jadi, bagaimana hendak tahu jika hubungan anda mungkin sedang “disondol” dari luar? Sebelum anda mula menuduh sesiapa, cuba perhatikan 5 tanda ada penyondol dalam hubungan anda ini.

1. Telefon tiba-tiba jadi “kawasan larangan”
Dulu, telefon diletakkan atas meja tanpa masalah. Sekarang? Ke mana sahaja dia pergi, telefon ikut sekali.
Pergi tandas… bawa telefon.
Pergi dapur… bawa telefon.
Nak tidur… telefon bawah bantal.
Password pula tiba-tiba berubah dan dia jadi lebih berhati-hati bila menerima mesej. Lebih mencurigakan apabila dia cepat-cepat menutup aplikasi atau memusingkan skrin apabila anda berada berdekatan. Privacy itu normal dalam hubungan, tetapi perubahan tingkah laku yang mendadak boleh menjadi sesuatu yang patut diperhatikan.

2. Dia makin jauh walaupun anda berdua masih bersama
Kadang-kadang, seseorang boleh berada betul-betul di sebelah kita tetapi terasa seperti beribu kilometer jauhnya. Perbualan yang dulu panjang kini sekadar:
“Dah makan?”
“Dah.”
“Okay.”
Dia kurang bertanya tentang hari anda, kurang berkongsi cerita dan nampak tidak begitu berminat untuk meluangkan masa bersama. Yang lebih ketara, dia mungkin mula mencari alasan untuk tidak berjumpa atau sering mengatakan dirinya terlalu sibuk, sedangkan sebelum ini, sesibuk mana pun dia, masih ada usaha untuk meluangkan masa.

3. Ada satu nama yang terlalu kerap muncul
“Member je.”
“Office mate je.”
“Kawan lama je.”
“Okay… kawan je.”
Tetapi kenapa nama yang sama muncul dalam hampir setiap cerita? Dia mungkin kerap menyebut seseorang, selalu menerima mesej daripada individu itu, atau tiba-tiba mempunyai alasan untuk berhubung dengannya.
Dan mungkin mula perasan pasangan lebih bersemangat apabila bercakap tentang orang tersebut berbanding ketika bercakap dengan anda. Yang perlu diperhatikan bukan semata-mata siapa orang itu, tetapi sejauh mana hubungan tersebut mengganggu batas yang sepatutnya wujud dalam sebuah relationship.

4. Dia jadi terlalu defensive bila anda bertanya
Anda tanya secara biasa:
“Siapa yang mesej tadi?”
Tiba-tiba reaksinya:
“Kenapa kau nak tahu?”
“Kau tak percaya aku?”
“Kau ni memang suka sangat fikir bukan-bukan.”
Eh, kita baru tanya soalan. Kenapa terus masuk babak final drama?
Sikap defensive yang berlebihan, terutama apabila soalan yang ditanya sebenarnya munasabah, boleh menjadi petanda bahawa ada sesuatu yang membuatkan pasangan berasa tidak selesa untuk menjawab.
Namun, jangan terus anggap defensiveness = curang. Konteks tetap penting. Yang perlu dilihat ialah corak keseluruhan tingkah lakunya.

5. Anda rasa seperti “orang ketiga” dalam hubungan sendiri
Ini mungkin tanda yang paling menyakitkan. Anda mula rasa seperti perhatian pasangan sudah beralih kepada orang lain. Dia lebih sibuk dengan telefon, lebih excited untuk bersembang dengan seseorang, tetapi semakin kurang hadir secara emosi apabila bersama anda.
Anda pula mula tertanya-tanya:
“Kenapa aku rasa macam aku bukan lagi keutamaan?”
Jika perasaan ini muncul berulang kali, jangan terus menyalahkan diri sendiri kerana kononnya terlalu sensitif. Perasaan tidak semestinya bukti bahawa pasangan sedang curang, tetapi ia boleh menjadi isyarat bahawa ada sesuatu dalam hubungan yang perlu dibincangkan.
