Saya memang suka dengan lilin wangi. Jika bercuti ke mana-mana pun saya suka membawa lilin bersama. Kawan saya pada mulanya pelik bila saya susah-payah bawa lilin. Ada yang fikir saya ‘feeling’, tapi sebenarnya saya mahu ruang bilik hotel berbau harum. Bukankah bercuti itu untuk merehatkan diri, jadi apa salahnya jika berasa sedikit ‘ekstra’. Dan kesukaan saya kepada lilin ini dipengaruhi oleh Datuk Rizalman Ibrahim. Dari dialah saya banyak belajar tentang lilin.
Jadi apa yang anda perlu tahu bila membakar lilin. Menyalakan lilin wangi ini bukan sekadar menyalakan api semata, ada cara dan seninya.
1- Sebelum membakar lilin pastikan sumbunya pendek, potong sekitar ¼ inci sumbunya. Jika sumbu terlalu panjang api akan terlalu marak dan akan meninggalkan kesan jelaga pada bekas lilin. Dan biasanya sumbu yang panjang akan menyebabkan lilin tidak dibakar secara sekata. Apa-apa pun jika mahu trim sumbu lilin pastikan lakukannya sewaktu lilin sudah kering sepenuhnya.
2- Pastikan anda membakar lilin selama tiga ke empat jam untuk memastikan ia dibakar sama rata.
3- Usah bakar lilin lebih dari enam jam untuk mengelakannya dari terlebih panas atau overheating. Pabila keseluruhan lilin terbakar dan cair ia akan membuatkan sumbu lilin bergerak lantas menyebabkan pembakaran lilin pada waktu akan datang mungkin tidak sekata.
4- Selepas meniup lilin biarkan lilin kering atau keras sepenuhnya sebelum anda mengalih lilin.
5- Bekas lilin elok dikitar semula atau jadikannya sebagai bekas menanam pokok kecil, tempat menyimpan berus atau pensel.
Lilin Paling ‘In’
Diptyque memang terkenal dengan himpunan lilinnya yang sangat harum. Malah Putera Harry dan Meghan Markle juga memilih lilin Diptyque untuk mengharumi keseluruhan ruang St George’s Chapel di Windsor Castle yang menjadi lokasi rasmi majlis perkahwinan mereka berdua. Melengkapkan pembukaan dekad baru ini, Diptyque turut memperkenalkan aroma baru buat lilinnya. Dinamakan sebagai Paris en Fleur yang didominasi aroma bunga mawar. Baunya terinspirasi daripada bau bunga mawa sekitar Paris termasuklah di Bois de Boulogne iaitu salah satu taman santai terkenal di sana. Aroma ini mneurut Diptyque cukup sempurna meraikan ketibaan musim bunga. Selain dalam bentuk lilin ia juga hadir dalam bentuk scented oval.
Aroma Cinta Diptyque Buat Paris
Eau Capitale dengan adunan karakter bunga-bungaan dan sifat maskulin kayu-kayan. Direka oleh pakar haruman, Olivier Pescheux, tirai bau Eau Capitale disambut dengan bergamot dan disempurnakan dengan dua jenis bunga mawar, iaitu ros dari Bulgaria dan juga Turki. Haruman ini juga diperindahkan dengan keasyikan bau wangi ylang-ylang dan patchouli. Dan aroma ini juga disuntik dengan sedikit percikan bau kayu-kayan seperti ‘Georgywood’ yang baunya mirip sekali dengan vetiver dan ada sedikit bau tembakau.