Hari perkahwinan merupakan antara detik paling bermakna dalam kehidupan setiap pasangan.
Di sebalik persiapan pelamin, busana, solekan dan atur cara majlis, ramai pengantin kini memilih untuk mendapatkan khidmat bride assistant bagi memastikan segala urusan berjalan lancar pada hari istimewa tersebut.
Apa itu bride assistant?
Bride assistant berperanan sebagai “orang kanan” pengantin yang membantu menguruskan pelbagai perkara sepanjang majlis berlangsung. Daripada memastikan busana sentiasa kemas, menguruskan jadual acara, membantu sesi fotografi sehinggalah menjadi individu yang boleh diharapkan ketika saat-saat mencemaskan, kehadiran mereka mampu memberikan ketenangan kepada pengantin.
Namun, dengan semakin banyak perkhidmatan bride assistant ditawarkan di pasaran, bagaimana cara memilih individu yang benar-benar sesuai dengan keperluan anda? Berikut lima tip penting yang boleh dijadikan panduan.

1. Lakukan kajian di media sosial
Langkah paling penting dari enam tips, pada era digital hari ini, media sosial menjadi platform terbaik untuk menilai kredibiliti seseorang bride assistant. Luangkan masa untuk meneliti akaun Instagram, TikTok atau Facebook mereka.
Perhatikan kandungan yang dikongsikan seperti video di belakang tabir majlis perkahwinan, cara mereka mengendalikan pengantin serta interaksi bersama pelanggan. Selain itu, lihat juga komen dan maklum balas daripada pelanggan terdahulu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

2. Pilih individu yang berpengalaman dalam majlis perkahwinan
Pengalaman merupakan antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan. Bride assistant yang pernah mengendalikan pelbagai jenis majlis biasanya lebih bersedia menghadapi situasi tidak dijangka seperti perubahan jadual, masalah busana atau keperluan kecemasan pengantin.
3. Pastikan mereka mempunyai kemahiran komunikasi yang baik
Pada hari majlis, bride assistant perlu berinteraksi dengan ramai pihak termasuk pengantin, ahli keluarga, jurugambar, jurusolek dan vendor perkahwinan.
Individu yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dapat membantu menyampaikan maklumat dengan jelas serta mengelakkan salah faham yang boleh mengganggu kelancaran majlis.

4. Fahami skop perkhidmatan yang ditawarkan
Tidak semua bride assistant menawarkan perkhidmatan yang sama. Ada yang hanya membantu pengantin sepanjang majlis, manakala ada juga yang turut membantu menguruskan jadual vendor, menyusun keperluan touch-up, mengendalikan kecemasan kecil dan memantau perjalanan acara.
Sebelum menempah, dapatkan penerangan terperinci mengenai skop tugas mereka supaya anda tahu apa yang bakal diterima dan mengelakkan sebarang kekeliruan kemudian hari.

5. Utamakan sikap profesional dan mesra
Selain cekap bekerja, sikap profesional dan mesra juga sangat penting. Pengantin biasanya berada dalam keadaan teruja dan kadangkala sedikit tertekan pada hari majlis.
Bride assistant yang tenang, positif dan mudah bekerjasama mampu membantu mewujudkan suasana yang lebih selesa serta membuatkan pengantin berasa yakin sepanjang acara berlangsung.
