Sudah tiba masanya kita ubah persepsi yang me time bukanlah bermaksud kita malas, apatah lagi selfish. Ia tanda kita mula sedar yang diri sendiri pun perlukan ruang untuk berhenti sekejap, tarik nafas dan tenangkan hati. Sebenarnya, itu bukti kematangan emosi bila kita tahu yang kita juga perlu tekan pause sebelum diri sendiri burn out tanpa sedar.
Kita mudah terperangkap dalam rutin harian yang seolah-olah tiada noktah. Kerja, komitmen dan juga tanggungjawab yang datang tanpa henti. Dalam kesibukan memenuhi semua ini, kita sering lupa satu perkara penting iaitu diri sendiri. Ia bukan tentang lari dari realiti, tetapi memberi ruang kepada jiwa untuk rehat, sembuh, dan kembali tenang.
Cuba luangkan sedikit masa untuk berhenti sejenak dan tanya, apa yang hati ini perlukan hari ini? Mungkin ketenangan, mungkin juga sekadar detik sunyi tanpa bunyi notifikasi yang berterusan. Apa jua bentuknya, me time boleh jadi momen paling menyembuhkan. Untuk bantu anda mula, EH! senaraikan tujuh aktiviti me time yang boleh membantu anda rasa lebih tenang dan meningkatkan fokus dan produktiviti.
1. Tulis Jurnal
Mulakan dengan sesuatu yang ringkas tetapi sangat powerful. Tutup telefon dan ambil masa lima belas hingga tiga puluh minit untuk tulis apa saja yang terlintas di hati. Tidak perlu ayat puitis atau susunan cantik. Tulis apa yang anda rasa, apa yang terbuku di fikiran atau sekadar recap hari anda. Proses menulis ini bukan saja melegakan, tetapi juga membantu anda lebih faham emosi sendiri. Sedikit demi sedikit, ia boleh menjadi satu bentuk terapi yang tenang dan menyembuhkan.
2. Mandi Dengan Aromaterapi
Cuba ubah rutin mandi harian menjadi momen relaks yang anda betul-betul nikmati. Gunakan sabun atau mandian dengan bau yang menenangkan seperti lavender, chamomile atau eucalyptus. Aroma-aroma ini bukan sahaja wangi, tetapi juga boleh membantu tenangkan emosi dan lepaskan stres. Nyalakan lilin aromaterapi, malapkan lampu dan pasang muzik instrumental atau biarkan bunyi alam yang calming. Mandi dengan suasana begini boleh buat anda rasa jauh lebih ringan seperti baru pulang dari spa walaupun sebenarnya hanya di rumah sendiri.

3. Baca Buku Kegemaran
Ada masanya, yang kita perlukan cuma satu benda ringkas iaitu buku yang kita suka. Tidak kisah sama ada novel cinta, buku motivasi, atau majalah fesyen, pilih sahaja yang buat kita rasa seronok. Bukan untuk belajar atau bekerja, tetapi cukup untuk hiburkan hati sendiri. Bila kita betul-betul fokus pada bacaan, minda pun boleh berehat sekejap dari dunia luar. Duduk di tempat yang selesa, buat secawan teh atau kopi dan nikmati masa tenang kita bersama helaian-helaian yang boleh membuat kita senyum sendiri.
4. Self-Pamper
Bila sebut tentang me time, sesi self-pamper adalah antara hadiah paling berharga yang boleh kita beri pada diri sendiri. Ia membuka ruang untuk reconnect dengan diri sendiri secara perlahan-lahan. Ia bukan membazir masa tetapi tanda kita memilih untuk berhenti seketika dan hargai diri seadanya. Tidak perlu produk mahal atau spa mewah pun. Cukup dengan skincare rutin yang lengkap atau mungkin DIY mask atau scrub di rumah sudah cukup untuk memberi kulit nafas baru. Aktiviti kecil ini bukan saja menyegarkan, tetapi membantu memulihkan semangat dari dalam.

5. Jalan Kaki Tanpa Tujuan
Sesekali, cuba keluar berjalan kaki tanpa sebarang rancangan atau tujuan tertentu. Tidak perlu playlist kegemaran atau telefon di tangan. Cukup hanya anda, kasut yang selesa dan deria yang terbuka luas. Perhatikan apa yang ada di sekeliling. Bunyi dedaunan, bentuk awan atau wajah-wajah asing yang lalu lalang. Hirup udara perlahan-lahan dan benarkan fikiran anda berehat tanpa tekanan untuk jadi produktif. Langkah-langkah kecil ini mungkin nampak remeh tetapi ia sebenarnya satu bentuk meditasi yang sangat powerful.

6. Kembali Ke Hobi Lama
Cuba beri peluang semula pada hobi lama yang pernah buat kita rasa seronok. Sama ada melukis, menjahit, menari atau menanam pokok. Tidak perlu fikir hasil akhir atau cuba menjadi hebat semula. Yang penting, nikmati prosesnya dan buat hati kita tenang. Bila kita buat sesuatu yang kita suka tanpa tekanan, otak dan hati kita juga mendapat ruang untuk berehat. Hobi ini mungkin hadir bersama nostalgia atau momen remaja yang tidak ternilai dan bila kita sambung semula, ia seperti menyambung semula hubungan dengan sisi kreatif dalam diri sendiri.
7. Minum Petang
Minum petang mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia sebenarnya ruang tenang yang anda cipta sendiri untuk berhenti sejenak dan mengingatkan diri bahawa anda berhak untuk berehat. Tidak perlu ke kafe mahal pun. Cukup sekadar secawan teh atau kopi kegemaran, dituangkan dalam cawan paling cantik yang anda simpan untuk hari istimewa. Duduk di sudut paling sunyi dalam rumah, jauh dari telefon, jauh dari bunyi TV, jauh dari notifikasi yang tidak pernah berhenti. Cukup alunan muzik kegemaran atau biarkan sahaja bunyi angin dań ini adalah me time terbaik untuk anda,
Artikel Berkaitan: 5 Maksud Di Sebalik ‘Gen Z Stare’, Renungan Kosong Tetapi Ada Makna