Kalau dahulu ramai bergantung pada Google Review sebelum mencuba sesebuah restoran, kini TikTok menjadi platform utama untuk mencari port makan terbaik. Daripada gerai tepi jalan sehinggalah restoran mewah, ramai content creator mula tampil dengan ulasan yang lebih jujur sehingga berjaya mempengaruhi penonton.
Menariknya, setiap pencipta kandungan mempunyai gaya tersendiri. Ada yang fokus kepada review jujur, ada yang gemar berkongsi hidden gems, manakala ada juga yang terkenal dengan video POV dan storytelling yang membuatkan penonton rasa seolah-olah berada di lokasi tersebut.
Jadi, jika anda seorang foodie atau gemar mencuba tempat makan baharu, ini tujuh akaun TikTok Malaysia ini wajib berada dalam senarai following anda.
1. Jason (@scaredtodie)
Antara nama paling dikenali dalam dunia food review iaitu Jason yang terkenal dengan ulasan yang padat, jujur dan mudah difahami. Video-videonya sering mengetengahkan pelbagai jenis makanan, daripada warung hinggalah restoran viral. Apa yang membuatkan Jason menjadi kegemaran ramai ialah cara penyampaiannya yang ringkas serta penilaian yang lebih tertumpu kepada rasa, harga dan sama ada sesuatu tempat itu benar-benar berbaloi untuk dikunjungi. Tidak hairanlah dia sering menjadi rujukan apabila ramai mencari lokasi makan di TikTok.
2. Mr POV (@adrianmrpov)
Menggunakan konsep first-person view (POV), setiap video memberikan pengalaman seolah-olah penonton sendiri sedang menikmati hidangan tersebut. Daripada kafe estetik, restoran fine dining hinggalah makanan jalanan yang unik, setiap rakaman dihasilkan dengan visual yang kemas serta suntingan yang menarik. Gaya penyampaian ini menjadikan kandungannya bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membangkitkan selera dalam beberapa saat sahaja.
3. Foodie Malaysia (@foodie)
Dengan jutaan pengikut di TikTok, Foodie Malaysia merupakan antara platform makanan terbesar di negara ini. Akaun ini terkenal dengan liputan restoran viral, promosi makanan, buffet, hidden gems serta trend makanan terkini di seluruh Malaysia. Selain video yang konsisten dimuat naik setiap hari, Foodie turut memperkenalkan pelbagai pilihan makanan mengikut bajet, menjadikannya rujukan utama bagi mereka yang sentiasa mencari lokasi makan baharu.
4. AkieJack (@akiejack)
Walaupun dikenali sebagai personaliti hiburan, AkieJack turut mencuri perhatian menerusi kandungan makanan yang santai dan menghiburkan. Beliau gemar berkongsi pengalaman mencuba pelbagai menu viral, restoran tempatan dan makanan unik dengan gaya penyampaian yang bersahaja serta penuh humor. Personalitinya yang spontan membuatkan setiap video terasa lebih menyeronokkan, sekali gus menjadi antara pencipta kandungan makanan paling popular di TikTok Malaysia.
5. Syafiq Rapid Reviews (@syafiqrapidreviews)
Bagi mereka yang mahukan review yang terus kepada isi, Syafiq Rapid Reviews adalah pilihan tepat. Seperti namanya, beliau terkenal dengan ulasan pantas yang menilai makanan berdasarkan rasa, harga dan nilai keseluruhan tanpa meleret. Ramai pengguna TikTok menghargai pendekatan yang lebih objektif ini kerana ia memudahkan mereka membuat keputusan sebelum berkunjung ke sesuatu restoran. Malah, namanya sering disyorkan oleh komuniti foodie sebagai alternatif kepada food reviewer lain.
6. Ceddy (@ceddyornot)
Selain kandungan hiburan, Ceddy juga kerap menghasilkan video makanan yang mendapat perhatian ramai. Beliau sering mencuba restoran viral, menu baharu dan makanan trending dengan gaya penyampaian yang santai serta menghiburkan. Kejujuran dalam memberikan pandangan serta personalitinya yang bersahaja menjadikan kandungannya mudah diterima oleh pelbagai lapisan penonton, khususnya golongan muda yang gemar mencari cadangan tempat makan melalui TikTok.
7. Bangsar Babe (@bangsababe)
Dikenali dengan nama Bangsar Babe, Sue Lynn Tiong merupakan antara foodie creator yang sudah lama berkongsi pengalaman meneroka dunia kulinari. Daripada gerai makanan tempatan hinggalah restoran fine dining, Sue tampil dengan ulasan makanan, penemuan hidden gems serta pengalaman menjamu selera di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.
Artikel Berkaitan: 5 Influencer Gaya Hidup Yang Harus Anda Follow
