Pencinta kopi pastinya tidak boleh memulakan hari tanpa menyeduh kopi pagi mereka. Dan bagi mereka yang mempunyai jadual yang padat, lebih mudah untuk membeli secawan kopi daripada bersusah payah membuatnya di rumah.
Bukan hanya menjadi minuman penyemangat, kopi juga telah menjadi gaya hidup dan kegemaran bagi banyak orang. Bagi pencinta kopi, memiliki tempat-tempat kopi terbaik adalah suatu keistimewaan. Dalam konteks ini, EH! menyenaraikan 7 kedai kopi jenama Malaysia yang tidak hanya menawarkan harga yang berpatutan tetapi juga menyajikan kopi dengan kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa, bahkan lebih sedap!
Semak 7 Jenama Kedai Kopi Lokal Yang Setanding Jenama Kopi Antarabangsa:
1. Zus Coffee
Satu jenama yang tidak asing lagi di Malaysia, Zus Coffee merupakan jenama kopi tempatan yang mula meraih populariti di kalangan pencinta kopi. Memulakan operasi sejak tahun 2019 dengan membuka kedai pertamanya di Binjai, Kuala Lumpur. Sejak daripada itu, kedai ini semakin dikenali dan berkembang dengan begitu pantas. Menawarkan kopi yang pelbagai, kini zus telah memiliki lebih 300 cawangan di seluruh Malaysia.
2. Kopi Saigon
Terkenal dengan slogan ‘Tiada Hari Tanpa Kopi’, kedai kopi ini tidak hanya menjadi destinasi pilihan bagi pencinta kopi, tetapi juga membawa cita rasa kopi Vietnam yang autentik kepada peminat kopi di Malaysia. Salah satu ciri unik Kopi Saigon adalah penggunaan biji kopi Robusta yang diimport khas dari Vietnam. Dengan gabungan biji kopi pilihan dan cara penyediaan kopi yang autentik tanpa perlu melancong jauh.
3. San Francisco Coffee
Merupakan jenama kopi tempatan yang diasaskan oleh Datuk Abdul Rahim Zin, San Francisco Coffee telah pun menjadi destinasi popular di kalangan pencinta kopi di Malaysia. Berpegang dengan tiga prinsip untuk mengekalkan kualiti kopi mereka, iaitu tidak menggunakan kopi yang telah dipanggang lebih daripada sebulan, tidak menggunakan kopi melebihi seminggu selepas beg dibuka. Dan ketiga, tidak menggunakan kopi yang telah dikisar lebih daripada sejam. Kesemua prinsip ini menggariskan komitmen SFC terhadap kualiti kopi yang terbaik untuk pelanggan mereka.
4. The Great Coffee Club
The Great Coffee Club milik selebriti popular, Awal Ashaari, membuka cawangan pertamanya di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam. Memberikan lebih banyak pilihan kepada pencinta kopi tempatan. Dengan konsep yang unik dan menu yang pelbagai, kedai kopi ini menjelma menjadi destinasi yang menarik bagi mereka yang mencari pengalaman kopi yang istimewa dengan suasana yang santai dan mesra pelanggan, mencipta ruang yang sempurna untuk bekerja, atau bersantai.
5. Bask Bear Coffee
Walaupun mula diperkenalkan pada tahun 2020, Bask Bear Coffee kini sudah mula meraih peminatnya yang tersendiri. Jenama kopi ini merupakan sebahagian daripada Loob Holdings, iaitu syarikat sama yang mengendalikan Tealive. Menggunakan biji kopi Arabica yang diimport dari Brazil, Colombia, dan Sumatera Indonesia untuk membancuh kopi mereka. Lokasi Bask Bear ini juga berada di lokasi yang sama dengan Tealive.
6. Old Town White Coffee
Jenama kopi lokal yang diasaskan oleh tiga rakan iaitu, Goh Ching Mun, Tan Say Yap dan Lee Siew Heng, Old Town White Coffee mengkhususkan kopi Hainan yang diperkenalkan dari Ipoh, Perak. Menggunakan biji kopi yang disangai dalam marjerin untuk memperkayakan rasanya, dan menjadikannya lebih sedap, nama white Coffee pada jenama ini bukanlah bermakna kopi berwarna putih semata, tetapi sebenarnya merujuk kepada penggunaan susu dalam pembuatan kopi dalam Bahasa cina.
7. Richiamo Coffee
Memiliki lebih dari 100 cawangan di seluruh Malaysia, Richiamo Coffee menyajikan kopi yang berkualiti pada harga yang sangat berpatutan. Jadi tidak hairanlah jika kita sering lihat kedai kopi ini di kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia kerana ia menawarkan harga yang boleh dikatakan mesra poket pelajar. Mementingkan kualiti kopi yang diimport khas dari Brazil dan Indonesia, Richiamo juga pernah merangkul anugerah ‘Brand of the Year’ di Anugerah Muslimpreneur.
Artikel Berkaitan: 5 Kafe Kopi Menarik Di Kuala Lumpur