Momen seperti ini memberi ruang untuk memperlahankan langkah, mengenang perjalanan cinta dan mencipta memori baharu yang lebih bermakna.
Di Kuala Lumpur, pilihan restoran romantik bukan sekadar menawarkan hidangan yang lazat, malah hadir dengan pengalaman yang sukar dilupakan daripada pemandangan langit bandar yang berkilauan, suasana candlelight yang intim hinggalah ke sudut-sudut tersembunyi yang terasa seperti dunia milik anda berdua.
Jika anda sedang mencari lokasi sempurna untuk sambutan anniversary yang lebih bermakna tahun ini, EH! senaraikan tujuh restoran romantik di Kuala Lumpur yang bukan sahaja menjanjikan hidangan memikat selera, tetapi juga suasana yang mampu menjadikan malam anda berdua lebih istimewa dan sukar dilupakan.

Marini’s on 7
Terletak di tingkat 57 Menara 3 Petronas, Marini’s on 57 merupakan antara destinasi fine dining paling ikonik di Kuala Lumpur dengan pemandangan terus ke arah Menara Berkembar Petronas yang memukau. Restoran ini menawarkan pengalaman gastronomi Itali yang mewah, menampilkan hidangan seperti pasta buatan tangan, risotto premium serta pilihan stik dan makanan laut berkualiti tinggi. Dengan pencahayaan malap, dekorasi elegan dan panorama bandar yang berkilauan pada waktu malam, ia menjadi pilihan popular untuk sambutan anniversary, lamaran mahupun malam istimewa berdua.

Blackbyrd KL
Menggabungkan konsep moden dengan sentuhan kontemporari Asia Tenggara, Blackbyrd KL menawarkan suasana yang lebih santai tetapi tetap sofistikated. Ruang dalaman yang bergaya dengan elemen kayu gelap dan pencahayaan hangat mewujudkan atmosfera intim yang sesuai untuk pasangan. Dari hidangan makanan laut segar hinggalah menu berinspirasikan cita rasa serantau yang dipersembahkan secara kreatif, setiap sajian di sini hadir dengan elemen kejutan tersendiri yang menjadikan pengalaman makan malam lebih menarik.

Ginger, Bamboo Hills
Bagi pasangan yang menggemari suasana hijau dan tenang, Ginger di Bamboo Hills menawarkan pengalaman menjamu selera yang terasa jauh dari kesibukan kota. Dikelilingi landskap tropika yang rimbun dan seni bina berinspirasikan resort, restoran ini terkenal dengan hidangan Asia moden yang mengetengahkan bahan-bahan segar dan cita rasa tempatan. Suasananya yang damai, lengkap dengan pemandangan kehijauan di sekeliling, menjadikannya lokasi ideal untuk menikmati makan malam santai sambil berbual panjang bersama insan tersayang.
SOL, The Met
SOL membawa konsep dining yang lebih kontemporari dengan gabungan elemen urban dan kemewahan moden. Terletak di The MET Corporate Towers, restoran ini tampil dengan ruang yang bergaya serta sentuhan estetik yang sering menjadi pilihan golongan profesional dan pasangan muda. Menu yang diinspirasikan daripada masakan Mediterranean dan Barat moden menawarkan pilihan hidangan yang ringan tetapi penuh karakter, menjadikan setiap sesi makan malam terasa lebih segar dan berbeza.
Alva, KL
Alva menampilkan suasana yang lebih eksklusif dan refined, sesuai untuk pasangan yang mencari pengalaman makan malam yang tenang serta peribadi. Dengan fokus terhadap teknik masakan moden dan persembahan yang artistik, restoran ini menawarkan menu yang menggabungkan cita rasa antarabangsa dengan sentuhan kreatif chef. Setiap sudut direka dengan elegan tanpa berlebihan, mewujudkan suasana romantik yang cukup sempurna untuk meraikan detik istimewa bersama pasangan.
Noir, Cyberjaya
Tersembunyi di tengah kawasan hijau Cyberjaya, Noir menawarkan pengalaman makan malam yang unik dalam bangunan kolonial berwarna putih yang dikelilingi taman yang luas. Restoran ini terkenal dengan hidangan Eropah moden seperti steak premium, pasta dan pilihan makanan laut yang dimasak dengan teliti. Pada waktu malam, pencahayaan lembut serta suasana taman yang tenang memberikan sentuhan romantik yang membuatkan pengunjung seolah-olah sedang menikmati percutian singkat jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Fiel, KLGCC
Menghadap padang golf yang luas dan menghijau, Fiel menawarkan suasana yang lebih santai, eksklusif dan dekat dengan alam. Restoran ini mengangkat konsep dining moden dengan penekanan terhadap bahan berkualiti serta persembahan yang kemas dan kontemporari. Sama ada untuk brunch hujung minggu atau makan malam anniversary yang lebih intim, pemandangan kehijauan yang menenangkan serta suasana yang tidak terlalu formal menjadikan Fiel pilihan menarik bagi pasangan yang mahukan pengalaman romantik yang lebih relaks dan bersahaja.




