Apa itu Platonic Relationship?
Platonic relationship ialah hubungan yang sangat rapat antara dua individu tanpa melibatkan perasaan romantik atau tarikan seksual.
Walaupun kedua-duanya mempunyai hubungan emosi yang kuat, mereka tidak melihat satu sama lain sebagai pasangan kekasih.
Hubungan ini boleh berlaku antara lelaki dan perempuan, sesama jantina, rakan sekerja, sahabat sejak kecil atau sesiapa sahaja yang mempunyai keserasian yang mendalam.
Berikut 7 tanda yang boleh membantu anda mengenal pasti hubungan istimewa ini:

1. You can talk about anything tanpa rasa janggal
Salah satu tanda paling jelas ialah anda berdua boleh berbual tentang apa sahaja, daripada perkara serius hinggalah topik yang paling remeh.
Tiada keperluan untuk berpura-pura atau menjaga imej kerana anda selesa menjadi diri sendiri. Malah, perbualan yang panjang berjam-jam terasa normal walaupun tiada unsur menggoda atau perasaan cinta yang terlibat.
2. Bercinta dengan orang lain? Not jealous at all!
Jika sahabat anda mula becinta atau mempunyai pasangan baharu dan anda benar-benar gembira untuk mereka, itu petanda hubungan tersebut mungkin bersifat platonik.
Dalam hubungan romantik, perasaan cemburu biasanya muncul apabila perhatian diberikan kepada orang lain. Namun dalam hubungan platonik, anda lebih cenderung menjadi penyokong utama dan berharap mereka menemui kebahagiaan.
3. Mereka orang pertama yang anda cari ketika susah
Apabila berdepan masalah, tekanan kerja atau konflik keluarga, individu ini adalah orang pertama yang anda hubungi.
Ia kerana anda mempercayai mereka sepenuhnya. Kehadiran mereka memberi rasa tenang dan selamat, sama seperti seorang sahabat yang sentiasa berada di sisi ketika diperlukan.
4. You never imagine a romantic future together
Walaupun anda sangat rapat, anda tidak pernah berangan untuk berkahwin, bercinta atau membina keluarga bersama mereka.
Anda menghargai kehadiran mereka dalam hidup, tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai keinginan untuk membawa hubungan tersebut ke tahap romantik.
5. Keselesaan lebih penting daripada penampilan
Anda tidak terlalu risau tentang penampilan setiap kali bertemu.
Anda boleh hadir tanpa solekan, memakai pakaian santai atau menunjukkan sisi diri yang tidak sempurna tanpa rasa malu. Ini kerana hubungan tersebut dibina atas penerimaan dan keserasian, bukannya tarikan fizikal.
6. Mengenali diri anda lebih baik daripada orang lain
Mereka tahu apa yang membuatkan anda gembira, apa yang membuatkan anda marah dan bagaimana untuk menenangkan anda ketika emosi tidak stabil.
Kadangkala mereka memahami diri anda lebih baik daripada pasangan atau ahli keluarga sendiri. Hubungan yang mendalam seperti ini sering terhasil daripada persahabatan yang telah dibina dalam tempoh yang lama.
7. Everyone thinks you are dating … yup
Disebabkan anda berdua sangat rapat, tidak hairanlah ramai yang menganggap anda pasangan kekasih.
Namun hakikatnya, anda berdua tahu bahawa hubungan tersebut hanyalah persahabatan yang erat. Walaupun sering disakat atau dipadankan oleh orang sekeliling, tiada siapa yang benar-benar berminat untuk mengubah hubungan itu menjadi sesuatu yang romantik.
