Kelakuan pasangan tiba-tiba berubah? Dah siasat segalanya tapi masih tidak ada jawapan? Mungkin, pasangan anda ada ‘skandal’ di tempat kerja.
Situasi sebegini bukan sekadar mitos atau gosip pejabat semata-mata, ia adalah realiti yang kadangkala sukar diterima tetapi wujud dalam kehidupan moden di mana sempadan antara kerja dan peribadi sesuatu yang tidak dikawal.
Jika dilihat pada frasa masa kini, ia popular dengan nama panggilan ‘office husband’ atau ‘office wife’.

Tidak dapat dinafikan, ramai pasangan menghadapi cabaran untuk mengekalkan kepercayaan dan batasan profesional ketika pasangan mereka menghabiskan banyak masa di tempat kerja.
7 tanda yang mungkin menunjukkan pasangan anda mempunyai skandal di tempat kerja:
Telefon sentiasa disorok atau dikunci
Pasangan mula lebih menjaga privasi telefon, menetapkan kata laluan baru atau cepat menutup skrin apabila anda dekat. Ia boleh menandakan ada mesej atau panggilan yang ingin disembunyikan.
‘I overtime (OT) lagi malam ini’
Jika tiba-tiba pasangan sering bekerja lewat malam atau keluar tanpa alasan jelas, ini boleh menjadi tanda mereka menghabiskan masa dengan seseorang di tempat kerja.
Perubahan sikap dan mood
Perubahan emosi yang ketara seperti cepat marah, mudah tersinggung atau terlalu senyap.
Tiba-tiba bergaya
Jika pasangan tiba-tiba lebih menjaga penampilan untuk kerja atau menukar gaya berpakaian secara drastik, ia mungkin kerana mahu menarik perhatian orang lain di pejabat.
Perubahan minat terhadap hubungan
Kurang mesra, jarang luangkan masa berkualiti atau kehilangan minat dalam aktiviti bersama boleh menunjukkan perhatian mereka beralih ke seseorang di tempat kerja.
Panggilan atau nama misteri
Terdapat nombor yang tidak dikenali atau mesej yang cepat dihapus tanpa alasan jelas.
Atau pasangan ubah nama simpanan kenalan di telefon sebagai nama kawan sama jantina. Ini boleh menjadi salah satu petanda komunikasi rahsia.
Sering membandingkan anda dengan rakan sekerja
Mulai ada komen tentang kelebihan atau kekurangan diri anda berbanding rakan sekerja tertentu, atau terlalu memuji orang lain di pejabat secara berlebihan.
