Masih dalam mood Raya, dan dalam masa tinggal berbaki beberapa hari di bulan Syawal ini, banyak juga layangan undangan rumah terbuka diterima. Namun ada beberapa syarat atau panduan etika yang kadang-kadang kita alpa mematuhinya. EH! bariskan lapan peringatan untuk anda bila ke rumah terbuka.
Don’t Kiss The Baby
Jangan sesuka hati cium atau menggomol anak orang. Kulit bayi selalunya sensitif, dan di era bermacam-macam penyakit berjangkit, kebersihana dalah keutamaan. Elakkan mencium bayi walaupun segeram mana anda dengan kecomelan mereka.
Jaga Privasi Kediaman Tuan Rumah
Hati-hati jika anda mahu merakam video atau mengambil gambar untuk dikongsikan di media sosial. Jangan sesuka hati memuat naik IG Story kediaman tuan rumah terutamanya bilik tidur atau mana-mana ruang privasi.
Carpool!
Jika boleh berkongsilah kenderaan dengan kawan-kawan kerana ia banyak manfaat dan kebaikan untuk anda sendiri. Rumah teres dan apartmen mempunyai ruang letak kereta yang terhad, jadi bila berkongsi kereta ia lebih mudah. Suasana juga lebih meriah sebenarnya bila naik kereta beramai-ramai dan bolehlah bertukar giliran memandu jika kepenatan (juga mengantuk kerana kenyang).
Rancang Perjalanan
Jika dalam sehari ada tiga atau empat undangan rumah terbuka, seeloknya rancang perjalanan, seeloknya pergi yang paling jauh dari kediaman anda dulu, dan jika boleh keluar awal. Semak keadaan lalu lintas jika boleh. Jika anda merancang masa dan maklumkan waktu ketibaan lebih awal, lebih mudah untuk tuan rumah mengurus majlis. Setidak-tidaknya mereka boleh jangka bila waktu terbaik untuk memanaskan sajian mahupun mengurus tetamu yang sudah tiba di rumah mereka.
Pantau Anak-Anak
Jika anda mempunyai anak kecil, pantau-pantaulah kelakuannya. Boleh dilepaskan bermain tetapi rajin-rajinlah memantau fiilnya. Usah biar mereka terlari-lari, terlalu bising (khususnya di dalam rumah) atau mengusik perhiasan rumah. Saya tahu adalahs angat mencabar untuk menguruskan anak-anak sewaktu pergi beraya, kerana ada sesetengah budak ragam di rumah sendiri lain dengan fiilnya bila ke rumah orang. Jika hendak marah sekalipun takut menangis, bila menangis sibuk nak balik rumah pula. Pastikan anda mendapat bantuan suami dalam menjaga anak-anak kala beraya. Siap-sedia dengan bekalan susu, pampers dan pakaian.
Makan Berpada-Pada
Kawallah selera kerana jika ikutkan nafsu memang lesulah jawabnya. Jika sudah tahu banyak rumah yang hendak dikunjungi, jadi ‘bahagi-bahagilah’ perut tu. Satu rumah maksimum dua juadah utama, biskut raya cukuplah sekeping dua, orang kata buat rasa-rasa. Jika boleh kurangkan minuman manis (walaupun lazimnya air manis lebih mudah ditemui di rumah terbuka berbanding air kosong).
Bawa Kelengkapan Sendiri
Siap sedia dengan telekung dan sejadah sendiri bila pergi ke rumah terbuka. Walaupun mungkin boleh meminjam milik tuan rumah, tapi lebih elok, mudah dan ‘bersih’ jika membawa sendiri. Oh bawa juga ‘power bank’ sendiri, jadi tak perlulah nak tumpang cas telefon di rumah orang.
Jangan Terlalu Lama
Usahlah melepak terlalu lama kerana pastinya ada lagi tetamu lain yang mahu datang berkunjung. Jika rumah teman anda tidaklah besar, pandai-pandailah berangkat pulang jika anda rasa ruang semakin sempit. Tuan rumah takkan menghalau, tapi diri sendiri kenalah faham. Jika tiada tetamu lain datang sekalipun, jika sudah rasa terlalu lama di satu-satu rumah, eloklah pulang, beri tuan rumah masa berehat. Hanya orang yang pernah menganjurkan rumah terbuka sahaja tahu betapa penatnya.