“Persedian terbaik sebelum memulakan workout bermula dengan minda. Perlu ingatkan diri bahawa kita sentiasa ada ruang untuk berkembang dan menjadi lebih kuat,” – Amotti.
Bila undangan dari Lululemon ini tiba di tangan, apa yang saya fikir ialah jemputan ini adalah sebab terbaik untuk saya kembali aktif. Sudah beberapa tahun untuk cuba konsisten dalam aktiviti kecergasan, saya rasa ini adalah petanda untuk memulakannya semula.
Tanggal 23 Januari, saya dan teman media yang lain diterbangkan ke Singapura oleh jenama pakaian sukan dan gaya hidup tersohor untuk sama-sama merasai pengalaman ‘workout’ bersama Amotti, yang juga merupakan duta rasmi Lululemon.
Lululemon memberi dorongan tepat pada masanya untuk resolusi kecergasan dengan memperkenalkan Lululemon Training Ground — sebuah pengalaman latihan eksklusif selama satu hari yang direka untuk membantu semua orang mencapai potensi terbaik diri mereka. Seiring dengan kempen terbaharu jenama ini, mesejnya jelas: “The Best Is Yet”.
Acara ini dibuka kepada umum pada 24 Januari, menghimpunkan barisan kelas yang dicipta khusus dengan teliti daripada studio rakan kerjasama. Daripada sesi “Ignite and Unite” yang dikendalikan oleh duta Lululemon, Gino Morales, kepada kelas “Strength and Stride” oleh Samuel Lim dari Fire City dan Jess Arrowsmith dari Double Knots, diikuti latihan “Team Sweat” oleh Syam dari REVL serta sesi “Breakthrough” oleh WYL dari MVRCK — keseluruhan hari ini dibina berteraskan satu matlamat utama: membina komuniti melalui pergerakan.
‘WORKOUT’ BERSAMA AMOTTI
Jujur saya katakan saya agak gementar dan mempersoalkan kemampuan saya untuk sesi kecergasan ini. Tambahan pula kami tidak diberitahu apakah jenis aktiviti dan berapa lama sesi ini akan berlangsung.
Melangkah masuk ke pop-up Training Ground terasa kurang seperti memasuki studio dan lebih seperti berada di sebuah arena. Sesi kami bersama Amotti yang hanya didedahkan setibanya di lokasi — tampil dalam bentuk latihan berinspirasikan HYROX. Selepas sesi pemanasan badan yang menyeluruh, kami dibahagikan kepada pasukan berdua dan menjalani litar latihan secara sistematik, dengan enam minit di setiap stesen sebelum beralih ke stesen seterusnya. Rutin ini merangkumi mesin ski & rowing, basikal senaman, serta gabungan box step-ups, plate burpees dan walking lunges.
Direka untuk menggalakkan peserta menghayati minda “Yet”, latihan ini mencabar namun penuh tenaga, dengan Amotti menyuntik semangat dan motivasi dalam setiap ulangan. Suasana kekal bertenaga sepanjang sesi, apabila beliau bergerak dari satu sudut ke sudut lain, mendorong kami untuk melangkaui batas dan terus mara.
Selain sesi latihan, pengalaman ini turut dilengkapi dengan fuel bar untuk mengisi semula tenaga dan merehatkan diri, manakala sudut beli-belah khas memberi peluang melihat dengan lebih dekat koleksi latihan terbaharu Lululemon, lengkap dengan perkhidmatan penyesuaian eksklusif di lokasi acara ini berlangsung.
Usai melengkapkan sesi workout ini, ia menyuntik semangat untuk saya konsisten dengan apa yang saya rancang. Matlamat saya mahu lebih sihat dan aktif. Saya akan ingatkan diri saya, walaupun rutin senaman saya tidak sehebat orang lain, sekurang-kurangnya saya pernah workout dibawah bimbingan Amotti.
QUICK CHAT BERSAMA AMOTTI
Rupa fizikal dan sikap positif anda kini menjadi antara perkara yang paling dikenali tentang diri anda. Apakah yang mendorong anda untuk terus bersemangat dan kekal positif walaupun pada hari-hari paling sukar?
Apa yang membuatkan saya terus melangkah ke hadapan adalah dengan mengingatkan diri mengapa saya bermula- iaitu untuk berkembang, mencabar diri sendiri, dan menjadi contoh kepada keluarga serta mereka yang sentiasa menyokong saya.
Pada hari-hari paling sukar, saya ingatkan diri bahawa kemajuan bukan tentang menjadi sempurna, tetapi tentang berkaitan dengan konsisten. Latihan membantu, namun perspektif juga sangat penting. Saya belajar bahawa setiap cabaran adalah sebahagian daripada perjalanan. Saya percaya bahawa yang terbaik masih belum tiba, dan kepercayaan itu yang membuatkan saya kekal positif dan terus bergerak.
Jika anda berpeluang mereka koleksi bersama Lululemon, apakah item utama yang ingin anda hasilkan?
Jika saya dapat mereka koleksi bersama lululemon, item pertama dalam senarai saya ialah set baju tanpa lengan dan seluar pendek latihan hibrid. Apa yang saya gemari tentang Jenama ini ialah bagaimana pakaian mereka menggabungkan prestasi tinggi dan gaya yang menarik. Ia direka untuk menampung latihan intensif, namun masih kelihatan bergaya di luar gim. Saya akan mengambil inspirasi daripada Repper Short Sleeve Shirt dan License to Train Short untuk menghasilkan rekaan yang bernafas, tahan lasak dan versatil untuk latihan hibrid, sambil tetap selesa dan bergaya untuk dipakai setiap hari.

Anda punya lagu tertentu yang anda dengar untuk membantu anda kekal fokus?
Kebelakangan ini, saya kerap mendengar lagu “One More Time” oleh All Day Project.
Apakah yang anda harapkan peserta peroleh daripada sesi Training Ground bersama Lululemon ini?
Saya berharap para peserta pulang dengan rasa lebih kuat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental. Lebih daripada sekadar senaman, saya mahu mereka pulang dengan keyakinan diri, rasa kebersamaan dan kepercayaan terhadap potensi diri masing-masing. Jika mereka melangkah keluar dengan perasaan, “Saya mampu lakukan lebih daripada yang saya sangkakan,” itu sudah menjadi satu kemenangan bagi saya.
Apakah nasihat yang anda ingin kongsikan kepada mereka yang baru memulakan perjalanan kecergasan?
Mulakan dengan perkara yang ringkas dan kekal konsisten. Fokus kepada pembentukan tabiat yang baik terlebih dahulu. Pelajari teknik yang betul, cari senaman yang menyeronokan diri, dan tetapkan matlamat yang realistik. Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Perkembangan atau pencapaian adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan memerlukan masa. Yang paling penting, nikmati proses dengan meraikan kejayaan kecil, dan ingat bahawa setiap langkah ke hadapan adalah bermakna.
BACA: Mengenal Firdaus Karim, Dari Belakang Tabir ke Pentas Lakonan






