Virus ini sering dikaitkan dengan tikus dan haiwan perosak, malah dalam sesetengah kes boleh menyebabkan komplikasi paru-paru yang berbahaya jika tidak dirawat dengan cepat.
Sejak beberapa kebelakangan ini, masyarakat semakin peka tentang penyakit berjangkit yang boleh mengancam kesihatan. Selain virus biasa seperti influenza atau COVID-19, terdapat juga virus lain yang jarang didengari tetapi boleh membawa risiko serius iaitu Hantavirus.
Jadi, apa sebenarnya hantavirus dan bagaimana ia boleh menjangkiti manusia?
Apa Itu Hantavirus?
Hantavirus ialah sekumpulan virus yang dibawa oleh tikus liar. Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang mengandungi virus.
Dalam kebanyakan kes, jangkitan berlaku apabila seseorang menyedut udara yang tercemar dengan partikel virus daripada habuk atau najis tikus yang kering. Walaupun jarang berlaku, virus ini boleh menyebabkan penyakit serius dikenali sebagai Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), iaitu jangkitan yang menyerang sistem pernafasan.
Bagaimana Hantavirus merebak?
Ramai menyangka virus ini hanya boleh dijangkiti melalui gigitan tikus, tetapi sebenarnya terdapat beberapa cara lain, antaranya:
- Menyedut habuk yang tercemar dengan najis atau air kencing tikus
- Menyentuh permukaan tercemar kemudian menyentuh hidung atau mulut
- Gigitan tikus yang dijangkiti
- Membersihkan stor, loteng atau kawasan lama yang mempunyai banyak tikus tanpa perlindungan
Menurut World Health Organization, risiko lebih tinggi bagi individu yang tinggal atau bekerja di kawasan dengan populasi tikus yang tinggi seperti gudang, ladang, stor simpanan atau rumah lama yang jarang dibersihkan.

Simptom Hantavirus
Gejala awal hantavirus sering menyerupai demam biasa, menyebabkan ramai tidak menyedari bahayanya pada peringkat awal.
Antara simptom awal termasuk:
- Demam secara tiba-tiba
- Sakit kepala
- Lenguh badan dan otot
- Keletihan melampau
- Loya atau muntah
- Sakit perut
Selepas beberapa hari, keadaan boleh menjadi lebih serius dengan simptom seperti:
- Sesak nafas
- Batuk
- Dada terasa ketat
- Kesukaran bernafas
Menurut WHO, simptom serius biasanya muncul antara empat hingga 10 hari selepas fasa awal bermula dan boleh menjadi kritikal jika tidak menerima rawatan segera.
Adakah Hantavirus berbahaya?
Ya, sesetengah jenis Hantavirus boleh menyebabkan komplikasi serius dan memerlukan rawatan hospital. Dalam kes tertentu, paru-paru boleh dipenuhi cecair sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Walaupun jangkitan ini dianggap jarang berlaku, kadar kematian bagi kes HPS dilaporkan agak tinggi di beberapa negara jika rawatan lambat diberikan.

Cara elak jangkitan Hantavirus
Langkah pencegahan sangat penting, terutama jika anda tinggal di kawasan yang mempunyai masalah tikus.
1. Pastikan rumah bersih
Elakkan longgokan sampah, makanan terbuka dan kawasan lembap yang boleh menarik tikus masuk ke rumah.
2. Gunakan pelitup muka ketika membersih
Jika membersihkan kawasan berdebu atau stor lama, gunakan pelitup muka dan sarung tangan.
3. Jangan sapu najis tikus secara terus
CDC menasihatkan supaya menyembur pembasmi kuman terlebih dahulu sebelum membersihkan najis tikus bagi mengurangkan partikel virus di udara.
4. Tutup lubang kemasukan tikus
Pastikan lubang kecil pada dinding, pintu atau siling ditutup dengan baik.
5. Simpan makanan dengan selamat
Gunakan bekas bertutup supaya makanan tidak menarik perhatian tikus.
6. Bila perlu jumpa doktor?
Jika anda mengalami simptom seperti demam dan sesak nafas selepas terdedah kepada kawasan yang mempunyai tikus, segera dapatkan pemeriksaan doktor. Diagnosis awal boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi serius.
