Mempunyai ketiak yang gelap, boleh mengganggu keyakinan dan keselesaan seseorang, terutamanya apabila mereka ingin memakai pakaian yang menonjolkan kawasan itu. Jangan risau, terdapat banyak bahan semulajadi dari dapur yang anda boleh gunakan untuk membantu mengatasi masalah ini
Memiliki ketiak yang hitam atau gelap sebenarnya tidak menunjukkan sebarang masalah perubatan tertentu. Tetapi bagi kebanyakan orang, ia pasti boleh merosakan ‘mood’ untuk berfesyen. Mempunyai bahagian ketiak yang lebih gelap daripada kawasan kulit lain boleh menyebabkan seseorang itu berasa kurang yakin terutamanya apabila memakai pakaian yang mendedahkan kawasan tersebut.
Adalah penting untuk diingat bahawa warna ketiak seseorang boleh berbeza-beza, dan tidak ada sebab untuk malu tentang warna ketiak anda. Namun, jika anda ingin memutihkan ketiak atau mengurangkan pigmentasi gelap, terdapat beberapa kaedah yang boleh anda cuba, dengan mengunakan bahan semulajadi, dan selamat digunakan pada kulit anda. Anda boleh mencari dan menyediakan sendiri bahan-bahan ini dengan mudah dari dapur rumah anda.
1. Minyak Zaitun
Menggunakan vitamin E dalam minyak zaitun adalah cara terbaik untuk mencerahkan kulit yang kusam. Hanya sapukan minyak ke ketiak anda, urut selama 10 minit, dan bilas dengan air suam. Melakukan ini setiap hari akan menjadikan kulit ketiak anda kelihatan lebih licin dan cerah.
Anda juga boleh mencampurkan minyak zaitun dengan gula pasir untuk pengelupasan semulajadi yang membantu memutihkan ketiak anda. Kaedah ini mungkin tidak memberi anda hasil segera, tetapi jika anda menggunakannya dengan kerap, anda akan mula melihat perubahan pada ketiak anda.
2. Lemon
Satu lagi cara popular untuk memutihkan ketiak secara semulajadi adalah dengan menggunakan jus lemon. Lemon mempunyai sifat pemutihan semula jadi dan juga terkenal dengan kualiti antiseptiknya. Hanya ambil beberapa hirisan lemon, perah jusnya, dan campurkan dengan satu sudu teh gula. Kemudian, sapukan campuran terus ke ketiak anda. Selepas beberapa minit, bilas dan keringkan ketiak anda.
Adalah penting untuk memberi perhatian kepada bagaimana kulit anda bertindak balas terhadap jus lemon. Jika anda mengalami sebarang kerengsaan, hentikan penggunaannya dengan segera dan elakkan cahaya matahari langsung atau gunakan pelindung matahari untuk melindungi kulit anda.
3. Kentang
Kentang mempunyai jumlah keasidan yang sesuai untuk mencerahkan kulit anda, dan jus kentang adalah alternatif yang lebih lembut kepada produk pemutihan lain yang tidak akan merengsakan kulit anda. Jadi, bagaimana anda menggunakannya? Hanya hiris kentang tersebut dan gosok terus pada ketiak anda. Anda juga boleh membuat topeng jus kentang, biarkan di ketiak anda selama 10 minit, dan kemudian bilas.
Kentang secara amnya selamat dan kurang berkemungkinan menyebabkan kerengsaan berbanding produk pemutihan berasaskan kimia yang lain. Walau bagaimanapun, sentiasa ambil perhatian bagaimana kulit anda bertindak balas terhadap kentang. Jika anda melihat sebarang kerengsaan, hentikan penggunaannya dengan serta-merta. Ingat, menukar warna kulit mengambil masa, jadi bersabar dan teruskan menjaga kulit ketiak anda.
4. Timun
Anda mungkin sudah tahu manfaat timun untuk atasi mata panda, tetapi tahukah anda ia juga boleh mencerahkan ketiak yang gelap? Ia sangat mudah, dengan hanya hiris timun dan letakkan di ketiak anda selama 10 minit, lalu bilas dengan air. Khasiat timun adalagh sama seperti kentang, mempunyai bahan yang sesuai untuk memutihkan ketiak anda. Itulah sebabnya ramai yang menggunakannya.
Selain itu, timun adalah pelembab dan baik untuk kulit anda. Akan tetapi, ingatlah bahawa kulit anda memerlukan masa untuk berubah, jadi bersabar dan ikuti rutin kebersihan dan penjagaan kulit. Jika anda mempunyai kulit sensitif atau sebarang kerengsaan, hentikan penggunaan timun dan berbincang dengan pakar dermatologi jika perlu.
5. Soda Penaik
Soda penaik sebenarnya boleh membantu mencerahkan ketiak yang gelap dan juga lutut yang hitam. Hanya campurkan sedikit serbuk soda penaik dengan sedikit air dan letakkan pada ketiak anda selama beberapa minit sebelum dibilas. Soda penaik bertindak seperti scrub yang menyingkirkan sel kulit mati dan menjadikan kulit anda kelihatan lebih baik.
Tetapi jangan terlalu banyak penggunaannya, kerana ia boleh mengeringkan kulit anda jika terlalu kerap menggunakannya. Lihat sahaja bagaimana kulit anda bertindak balas dan berhenti menggunakannya jika ia merengsa kulit anda.
Artikel Berkaitan: 7 Bahan Yang Membantu Anda Kelihatan Cantik Semulajadi Dari Dapur Anda