Beberapa kawasan di negara kini mengalami jerebu dan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200!
Satu tahap jerebu yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat. Dalam keadaan begini, kita semua perlu lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan melindungi kesihatan diri dan orang tersayang.
Jerebu bukan sahaja menjejaskan penglihatan dan aktiviti harian, malah boleh memberi kesan buruk kepada sistem pernafasan, terutama bagi kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Sekiranya anda mula rasa tidak selesa, gatal tekak, atau mata berair, itu antara tanda-tanda yang tubuh anda sedang memberi isyarat. Jadi, jangan ambil ringan!
EH! kongsikan beberapa langkah mudah & penting yang boleh anda amalkan sepanjang tempoh jerebu.
1. Hadkan aktiviti luar
Elakkan berada di luar rumah atau melakukan aktiviti fizikal berat seperti bersukan, terutamanya apabila bacaan IPU melebihi 100. Jika perlu keluar, hadkan masa dan cari kawasan tertutup.
2. Pakai pelitup muka (Face Mask)
Gunakan pelitup muka jenis N95 yang boleh menapis unsur zarah jahat yang halus dalam udara. Mask biasa mungkin tidak cukup berkesan ketika jerebu tebal.
3. Minum air secukupnya
Kekal hidrat dengan meminum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ini membantu tubuh menyingkirkan toksin akibat udara tercemar.
4. Tutup tingkap dan pintu
Pastikan rumah atau ruang pejabat sentiasa tertutup bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar. Gunakan penapis udara (air purifier) jika ada, untuk kualiti udara yang lebih baik di dalam rumah.
5. Ikuti perkembangan IPU terkini
Semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berkala melalui laman web berita semasa seperti Astro Awani ‘Empat kawasan catat IPU tidak sihat pagi ini‘ atau aplikasi MyIPU untuk tahu tahap kualiti udara di kawasan anda.
6. Elakkan membuka tingkap semasa memandu
Ketika memandu, pastikan tingkap ditutup dan sistem pendingin hawa ditetapkan kepada mod “recirculate” untuk mengelakkan udara luar masuk ke dalam kenderaan.
7. Kebersihan diri
Basuh muka, tangan dan mata dengan air bersih selepas berada di luar untuk menghilangkan debu atau bahan pencemar yang melekat pada kulit.
Baca: Top 5 Blind Box Paling Rare & Dicari Collector Seluruh Dunia