Lelaki mahupun perempuan, memang jelas punya ciri-ciri yang berbeza. Namun, adakah jawatan ketua atau bos yang disandang, mampu menjadikan mereka berperwatakan sama? Ataupun gaya pemikiran mereka juga ketara perbezaannya? Ikuti pandangan mereka ini.
[tab: Kisah 1]Bob Eksekutif Operasi, 27 Jawapan kepada persoalan ini tidak begitu rumit. Bos lelaki atau perempuan tiada bezanya cuma bos wanita lebih cerewet berbanding bos lelaki. Memandangkan saya seorang yang straight forward, hanya isu kerja sahaja yang diketengahkan. Ia tidak membabitkan perasaan mahupun isu gender yang timbul pada mana-mana individu yang pernah menjadi bos saya. Tetapi, pernah juga saya bertekak dengan bos wanita disebabkan luahan peribadi saya menerusi teguran atas kecelaruan operasi yang dikendalikannya. Bagaikan ‘singa’, dia terus memaki hamun. Namun, sebagai lelaki, saya hanya melayankan kerenahnya kerana teringatkan pesan ibu, “kalau wanita tiba-tiba naik angin, mungkin dia ada masalah ‘perempuan’ yang tersendiri. Jadi, janganlah terlalu mengambil hati.” |
Secara jujurnya, saya berpendapat ‘angin’ bos wanita mudah untuk ditangani. Caranya? Berikan pujian yang ikhlas terhadapnya kerana mereka akan mudah tertarik dengan kata-kata sebegitu. Anda boleh mencuba kalau tidak percaya.
[tab: Kisah 2]Nadia Noor Emilia Pembantu Peribadi, 23 Bos lelaki atau bos wanita, kedua-duanya sama sahaja. Cuma adakalanya bos wanita lebih beremosi disebabkan PMS. Tetapi, hal ini amat diperlukan untuk keadaan tertentu. Jika diperhatikan, sesetengah kata-kata bos lelaki lebih ‘pedas’ berbanding bos wanita. Bagaimanapun, tidak dinafikan tanggungjawab yang dipikul bukan mudah untuk ditanggung. Bagi wanita, mereka cukup sinonim dengan gaya multitasking kerana merekalah ibu, merekalah isteri, merekalah anak perempuan…semuanya ditanggung dalam satu masa. Tidak hairanlah mengapa adakalanya mereka tidak dapat mengawal perasaan akibat bebanan yang dipikul. Bos lelaki pula, mereka menjadikan hal ini sebagai kelebihan kerana berpendapat lelaki lebih berfikiran rasional dan gemar menyelesaikan masalah satu per satu. |
Apapun, saya tidak cerewet dalam menentukan bos lelaki atau wanita yang lebih hebat atau lemah kerana yang penting, kita harus menunjukkan sikap profesional dalam kerjaya.
[tab: Kisah 3]Radzi Rahman Pegawai Krew Penerbangan, 29 Kebiasaannya bos wanita sangat teliti dalam bab kerja. Sehinggakan kerja yang sepatutnya mudah menjadi susah. Mereka juga sering berpendapat setiap keputusan dan kerja yang dibuat adalah betul selain sukar untuk menerima pandangan orang lain. Yang paling ketara, mereka sering moody disebabkan PMS. Paling mengecewakan, mereka cukup gemar sikap judgmental termasuk membenci orang yang tidak disukainya tanpa sebarang penilaian yang relevan. Bos wanita juga sukar untuk diajak bergurau dan mudah tersinggung. Jika bos lelaki pula, mereka lebih senang untuk bekerjasama. Terutama dalam aspek berkomunikasi kerana mereka tidak mengambil hati jika terkasa bahasa.
|
Mereka lebih relax dalam bab kerja dan pengurusannya lebih sistematik. Tidak hairanlah mengapa hasil kerja mereka lebih bermutu! Bos lelaki juga bijak mengawal emosi dan saya percaya, sikap ini menyebabkan agama Islam hanya membenarkan mereka sahaja untuk melafazkan talak. Bayangkan jika hak ini diberikan kepada wanita, kacau-bilau jadinya!
Namun, tidak semua bos wanita bersikap negatif. Ada juga yang berperwatakan cool dan baik hati selain mudah untuk bekerjasama dengan pekerja lelaki. Saya hanya berkongsi pandangan saja.
[tab: Kisah 4]Wawa Khalid Juruteknik Komputer, 24 Bagi saya, sudah menjadi lumrah alam untuk menjadikan lelaki sebagai pemimpin. Tetapi ini tidak bermakna wanita tidak boleh menjadi ketua. Wanita memang sinonim dengan ego yang tinggi. Jadi, apabila mereka menjadi bos, lebih tinggi egonya. Bagi pekerja lelaki pula, mereka dilihat sukar untuk mematuhi arahan bos jikalau mereka adalah golongan wanita. Biasalah, setiap manusia ada egonya. Namun, saya yang kini bekerja dibawah bos lelaki memang tiada masalah. Asalkan kita tidak mencari masalah hingga menjejaskan hubungan kerja dengan bos. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Untuk menggalas tanggungjawab itu, anda perlu bijak mengawal dan menguruskan pekerja. Jujurnya, saya tidak fikir siapa yang lebih sesuai untuk menjadi bos kerana setiap individu ada cara masing-masing. |