Ia mengejutkan tetapi ia berhasil dengan jayanya.
Tragedi yang berlaku kepada 12 orang remaja pemain bola sepak, Wild Boars bersama seorang jurulatihnya pada bulan Jun lalu pastinya tidak akan dilupakan kerana dalam sejarah ia merupakan satu insiden yang mengejutkan pabila mereka dijumpai masih dalam keadaan baik biarpun terperangkap di dalam sebuah gua yang dipenuhi air selepas 10 hari.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sememangnya proses membawa keluar sekumpulan remaja ini sangat rumit dek kerana faktor hujan lebat yang membuatkan paras air di dalam gua tersebut meningkat mendadak. Bahkan, kemungkinan tinggi yang mereka hanya boleh dikeluarkan sejurus tamat musim hujan yang mana memakan masa tiga hingga empat bulan. Pada masa tersebut, remaja ini akan diajar cara-cara untuk menyelam kerana itu adalah satu-satunya cara untuk mereka keluar dari gua tersebut.
Namun, pada 8 Julai, pihak berkuasa Thailand serta barisan penyelamat dan penyelam dari serata dunia yang datang membantu dalam proses penyelamatan kumpulan Wild Boars tersebut mengambil keputusan drastik untuk membawa mereka keluar dengan secepatnya tanpa menunggu musim hujan berakhir kerana bimbang akan keselamatan mereka di dalam gua tersebut. Dalam masa tiga hari, mereka berjaya membawa keluar ke semua yang terperangkap. Tetapi bagaimana?
Tidak ramai yang tahu cara sebenar mereka membawa keluar 12 remaja ini. Menerusi buku tulisan Matt Gutman, ketua wartawan kebangsaan, ABC News yang menghabiskan masa dua bulan di lokasi insiden tersebut yang bertajuk The Boys in the Cave, dia mendedahkan cerita sebenar di sebalik proses menyelamat itu.
Dengan kesukaran yang dialami serta bimbang akan risiko mendatang, rancangan untuk membawa keluar remaja tersebut dalam masa empat bulan tersebut hanya tinggal fantasi. Sebaliknya, proses menyelamat itu perlu dilakukan oleh penyelam dan dengan desakan penyelamat, remaja-remaja itu perlu disuntik ubat penenang. Malah, pada ketika itu juga ramai yang terlibat beranggapan yang majoriti kumpulan penyelamat itu tidak akan selamat untuk keluar dari gua tersebut.
“Membawa remaja itu berenang tanpa ubat penenang mungkin akan membuatkan remaja ini takut dan berkemungkinan bahaya untuk penyelam sendiri. Jadi satu-satunya cara untuk mengelakkan sebarang trauma dan membolehkan penyelam melakukan kerja mereka dengan baik adalah dengan membuatkan mereka tidak sedarkan diri,” tulis Gutman.
Penyelam Jason Mallinson menyatakan, “Saya tidak boleh membawa remaja ini sambil dia bergerak-gerak. Dia boleh membahayakan keselamatannya. Dia boleh membuka topeng mereka dan kemudian menyebabkan kematian. Jadi adalah lebih baik untuk saya memastikan dia tidak sedarkan diri dan mengusungnya di bawah saya, pada pendapat saya.”
Rancangan drastik itu kemudian terus dilakukan dengan bantuan utama Dr. Richard Harris dari Australia, yang mana seorang pakar anaesthesiologist dan juga seorang penyelam gua yang terlibat dalam proses menyelamat tersebut.
Harris adalah individu pertama yang memberi ubat penenang kepada remaja-remaja itu tetapi kemudiannya penyelam secara individu sendiri yang memastikan remaja-remaja tersebut dalam keadaan tidak sedar sepanjang perjalanan keluar dari gua itu, dengan cara menambah dos ketamine penenang ketika bergerak keluar, menurut Gutman. Selain dari gear menyelam serta tubuh remaja yang perlu mereka bawa, penyelam ini juga dilengkapi dengan jarum dan picagari.
“Ia tidak pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini. Penyelam-penyelam ini tidak langsung memikirkan akan keselamatan mereka, kerana mereka yakin akan kepakaran mereka dalam aktiviti menyelam di dalam gua. Persoalannya : Apa yang anda akan lakukan jika salah seorang remaja tersebut lemas? Ini adalah persoalan yang bermain di minda mereka,” kata Gutman.
Menjelang operasi menyelamat dimulakan, setiap remaja itu diberikan Xanax dan satu dos ketamine dan atropine, sejenis ubat terkawal yang memastikan jantung dan mulut mereka sentiasa kering untuk mengelakkan dari tersedak. Remaja-remaja ini disarung lengkap wetsuit serta topeng muka penuh khas.
Mereka diberitahu yang pil tersebut akan membuatkan mereka berasa sedikit pelik tetapi pabila mereka sedar, mereka akan bebas dari gua tersebut.
Ibu bapa kepada remaja-remaja tersebut juga dimaklumkan tentang operasi menyelamat tersebut tetapi diminta untuk merahsiakannya. Namun apa yang mereka tidak tahu adalah anak-anak mereka diberikan ubat penenang untuk melancarkan misi tersebut.
Beberapa minggu selepas itu, Gutman kembali ke kawasan gua tersebut dan ibu bapa remaja-remaja tersebut masih tidak tahu akan cerita di sebalik operasi menyelamat itu. “It was a complete secret,” katanya.
Walaupun tinggi risikonya, tetapi misi tersebut berjaya. Tidak seorang pun ahli kumpulan bola sepak tersebut yang tertinggal atau mengalami kecederaan fizikal menurut pemerhati.