Setiap kali kita skrol di Instagram atau TikTok, pasti mata kita tertangkap pada pasangan yang nampak sempurna. Dari percutian mewah, kejutan romantis, hingga caption penuh cinta yang buat kita berasa, “Inilah #CoupleGoals!”. Namun, adakah semua ini benar-benar menggambarkan realiti, atau hanya ilusi yang direka untuk menarik perhatian kita semata?
Dalam era moden ini, media sosial telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan harian kita. Dari berkongsi saat-saat peribadi hingga mencipta naratif mengenai diri, platform seperti Instagram dan TikTok telah mempengaruhi cara kita melihat dunia, terutamanya dalam hal cinta dan hubungan.
Istilah popular seperti “couple goals” sering menghiasi ruang media sosial, menggambarkan pasangan yang kelihatan sempurna, bahagia, dan menjalani kehidupan impian. Tetapi, sejauh mana realiti hubungan tersebut? Adakah “couple goals” yang dipaparkan benar atau sekadar ilusi yang terhasil daripada lensa media sosial semata?
Fenomena Couple Goals Di Media Sosial
Media sosial kini menjadi pentas utama untuk memaparkan kehidupan peribadi, termasuk hubungan percintaan. Namun, yang kita lihat hanyalah potongan momen yang disusun rapi untuk nampak sempurna, sedangkan setiap hubungan pasti melalui pasang surut. Tidak ada kamera yang merakam detik-detik tegang, salah faham, atau pertengkaran. Apa yang dikongsikan hanyalah momen ‘Instagrammable’ yang sering kali memberikan gambaran palsu tentang kebahagiaan.
Fenomena Couple Goals ini telah meletakkan tekanan kepada banyak pasangan untuk menunjukkan hubungan cinta yang sempurna yang mungkin tidak wujud di luar skrin. Kita rasa perlu ada foto romantik setiap minggu, atau video couple challenge di TikTok demi meraih ribuan “likes” dan komen pujian. Walaupun nampak menyeronokkan, hakikatnya ia boleh menjadi beban emosi yang tersembunyi.
Wanita Dan Pengaruh Media Sosial
Wanita sering menjadi mangsa tekanan dari media sosial untuk mencapai kesempurnaan dalam hubungan, sama ada dari menonton drama atau dari pasangan selebriti kegemaran, gambaran cinta yang dilihat di skrin mencipta fantasi yang mengaburi realiti sehingga kita merasakan hubungan kita juga harus seperti itu dan mula berharap pasangan kita mampu mencipta momen ‘drama’ seperti itu.
Ramai wanita di luar beranggapan bahawa mereka perlu mempunyai pasangan yang sentiasa memberi hadiah mewah, membawa mereka melancong, atau meraikan setiap hari istimewa dengan cara yang paling romantik. Mereka akan mengharapkan pasangan mereka untuk bertindak mengikut jangkaan media sosial, dan apabila realiti tidak memenuhi fantasi ini, mereka berasa kecewa dan tidak puas hati.
Antara Realiti dan Fantasi
Jangan salah faham, tidak salah untuk kagum dengan pasangan lain yang kelihatan bahagia di media sosial. Namun, penting untuk kita ingat bahawa setiap hubungan ada kisahnya sendiri. Tekanan untuk menjadi ‘couple goals’ boleh menyebabkan kita hilang fokus terhadap aspek penting dalam hubungan sebenar seperti kejujuran, komunikasi, dan perasaan cinta yang tulus.
Berusaha terlalu keras untuk kelihatan sempurna di mata orang lain boleh mengabaikan keperluan emosi sebenar dalam hubungan. Realitinya, setiap hubungan pasti menghadapi pasang surut. Hubungan yang sihat bukan tentang berapa banyak likes yang kita dapat, tetapi bagaimana kita berinteraksi dan menyelesaikan masalah di luar pandangan umum.
Tip Untuk Atasi Tekanan ‘Couple Goals’:
1. Fokus Pada Realiti
Apa yang kita lihat di media sosial sering kali hanyalah sekilas pandang terhadap momen terbaik pasangan lain. Realitinya, setiap hubungan mempunyai cabaran dan pasang surutnya. Jadi, fokuslah kepada hubungan sebenar anda dengan pasangan, tanpa merasa perlu bersaing atau membandingkan diri. Kebahagiaan yang sebenar datang daripada komunikasi dan kejujuran antara satu sama lain, bukan daripada persepsi luar.
2.Elakkan Perbandingan
Setiap hubungan mempunyai keunikan sendiri. Membandingkan hubungan anda dengan pasangan lain, terutamanya di media sosial, hanya akan membawa kepada kekecewaan dan tekanan. Belajar menghargai momen kecil yang membawa kebahagiaan dalam hubungan anda. Percayalah, perkara yang membuat hubungan anda istimewa adalah keintiman dan keunikan yang anda berdua kongsikan, bukannya apa yang orang lain nampak.
3. Jadi Diri Sendiri
Tidak perlu meniru gaya hidup atau cara pasangan lain menunjukkan cinta. Jadilah diri anda sendiri, dan nikmati keunikan yang ada dalam hubungan anda. Setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kasih sayang. Mungkin melalui perhatian, sokongan, atau hanya dengan luangkan masa bersama. Jangan terlalu fokus untuk mencapai ‘standard’ pasangan lain di media sosial, fokus pada cara anda dan pasangan membuat satu sama lain rasa disayangi.
Artikel Berkaitan: 5 Aplikasi Ini Kantoikan Pasangan Curang