Platform media sosial Instagram menjadi medium utama buat dua artisan kek dan pastri, Satira Diana dan Farah Melissa dengan perniagaan mereka iaitu Kek & Co yang kini mempunyai lebih 113,000 pengikut setia. Jika dilihat laman Kek & Co di platform ini, setiap gambar menonjolkan kek dan pastri yang hadir dalam rekaan cukup unik disulami dengan rona-rona pastel yang jauh berbeza dengan rekaan kek tempatan lain. “Bagi kami, estetika Kek & Co lebih kepada quirky, fun, feminin, playful dan penuh imaginasi,” ujar Farah yang juga menguruskan bahagian akaun, operasi dan pada masa sama membuat kek. Satira pula bertindak sebagai pengarah kreatif dan perhubungan awam malah dia turut bertanggungjawab dalam menguruskan bahagian pemasaran Kek & Co.
“Sebenarnya sebelum ini kami friendly competitors!” ujar Satira. Kek & Co lahir empat tahun lepas selepas kami berdua mengambil keputusan untuk slow down dengan perniagaan masing-masing atas sebab tertentu. Saya sedar bahawa jika saya ingin teruskan impian untuk menjadi seorang artisan kek dan pastri, saya tidak boleh lakukannya seorang diri. Saya melamar Farah untuk memulakan perniagaan ini yang mana kami mengambil keputusan untuk set our own rule dengan harga sendiri. Setelah Farah bersetuju,minggu itu juga kami terus daftarkan Kek & Co secara rasmi,” tambah Satira.
Menurut Satira, antara matlamat utama Kek & Co adalah untuk membina kepercayaan terhadap artisan kek tempatan. “Kami sedar di Malaysia, orang ramai lebih gemar untuk mengambil rujukan kek daripada artisan kek dan pastri luar negara. Sebagai seorang yang kreatif, saya rasa terjerat. Kami di Kek & Co ingin mengubah tanggapan ini yang mana kami ingin orang ramai tahu bahawa artisan tempatan juga mampu menghasilkan sesuatu yang unik dan kreatif. Kami memasang impian untuk nama kami dikenali oleh orang tempatan serta luar negara. Jadi untuk menjayakan impian ini, kami menyediakan kek dan pastri pre design pada harga berpatutan dan rekaan baru dikeluarkan setiap bulan. Ini secara tidak langsung mengusik minat orang ramai kerana mereka sedar bahawa Kek & Co mampu mencipta idea, rekaan dan konsep kreatif,” katanya lagi.
Nama Kek & Co mula dipetik oleh pelanggan luar negara antaranya termasuk dari Rusia, Australia serta Amerika Syarikat setelah kek unicorn mereka mula menjadi viral baru-baru ini. Namun mereka berdua akui bahawa menjalankan perniagaan sebagai artisan kek dan pastri bukan satu perkara yang mudah. Menurut Farah, dia seringkali mendengar tanggapan salah bahawa membuat kek adalah perkara yang mudah dan dia akui bahawa ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan harga mereka dengan alasan ia hanya sebuah kek mahupun cupcake. “Untuk mengubah mentaliti mereka, kami sebagai artisan kek dan pastri harus educate mereka kerana rekaan kek sebenarnya memakan masa yang lama.
Kami bukan lagi home bakers seperti lapan tahun lepas. Kami kini mempunyai perniagaan kek dan pastry atas talian yang sah dan semuanya harus dilakukan daripada pertimbangan perniagaan,” ujarnya. Satira bersetuju dan menambah, “Selain itu, kami mempunyai pekerja-pekerja sendiri, jadi kami harus berkira tentang belanja overhead.Ada sesetengah pelanggan memahami situasi kami dan amat menghargai hasil tangan kami. Sebenarnya kita hanya perlu menerangkan perkara sebenar kepada mereka tentang proses kerja kami dan berapa kos yang diambil. “Sudah pasti kami pernah berhadapan dengan pelanggan yang tidak beradab,” akui mereka berdua pabila disoal. “We deal it with kindness walaupun hati ini terasa sangat,” disulam dengan gelak oleh Farah. “We cannot fight fire with fire. Ada sesetengah orang kurang berpuasa hati kerana mungkin they had a bad day. Walaupun masalah tersebut hanya kecil, namun kebetulan pula kami ada dalam situasi tersebut dan ini menyebabkan hari mereka menjadi lebih teruk. Pabila ada pelanggan bertindak kurang ajar atau mula mengadu, kami uruskan perihal ini serta merta. Kami biarkan mereka meluahkan perasaan terlebih dahulu kemudian baru kami menerangkan situasi kami. 99 peratus saya dapat katakan, mereka amat memahami penjelasan kami. Satu peratus pula mungkin enggan mendengar penjelasan, namun mereka juga adalah individu sama yang hanya mencari alasan untuk bayaran balik,” tambah Satira.
Kek & Co baru-baru ini melancarkan Kuè by Kek&Co. iaitu koleksi kek dan pastri dengan elemen yang trending seperti unicorn, ikan duyung, rona pastel dan sebagainya dengan harga lebih berpatutan. “Pada permulaan perniagaan, kami mempunyai niche target kerana kami tahu hanya niche urban sahaja yang memahami hala tuju kami. Namun oleh sebab kebanyakan pelanggan kami adalah selebriti dan sosialit dengan jumlah pengikut yang ramai, golongan ramai mula follow kami di Instagram. Mereka sering bertanya jika kami menyediakan kek atau pastri dengan bajet RM100 atau RM150. For the longest time, we said no tetapi kami mula sedar bahawa kami boleh lakukan perubahan dan cipta sesuatu untuk mereka juga. Lahirnya Kuè dengan hashtag kueforthepeople kerana ia benar-benar untuk rakyat. Anda masih boleh mendapatkan kek yang cantik dengan harga berpatutan. That is what Kuè is all about,” ujar Satira.