Pelakon utama siri komedi Netflix, “Never Have I Ever”, Darren Barnet mencipta sejarah sebagai duta selebriti lelaki pertama untuk koleksi uniseks Victoria’s Secret Pink.
Dia mula mencipta nama selepas membintangi sebagai watak Paxton Hall-Yoshida dalam siri komedi popular Netflix berjudul “Never Have I Ever”. Kini, Darren Barnet mencipta sejarah selepas dilantik menjadi duta selebriti lelaki pertama untuk koleksi Gender Free untuk Victoria’s Secret Pink.
Perlantikan Darren Barnet sebagai duta untuk koleksi Victoria’s Secret Pink merupakan usaha label pakaian dalam itu untuk mempromosikan koleksi uniseks Pink dan memberikan sokongan kepada inisiatif kesihatan mental. Ia turut sama meneruskan usaha label ini untuk menjadi lebih inklusif dan mampu milik kepada semua.
“Awalnya saya ingat saya perlu untuk menggayakan pakaian dalam. Saya tidak tahu mengenai koleksi uniseks ini, tetapi melihatnya saya terus menyatakan ya!” ujar Darren Barnet mengenai perlantikannya sebagai duta koleksi Victoria’s Secret Pink.
Selain akan berkongsi item kegemarannya, pelakon campuran Jepun dan Amerika Syarikat berusia 31 tahun ini akan menyertai aktiviti Bulan Kesedaran Kesihata Mental Pink dan Instagram Live. Dia turut akan menjadi juri kepada biasiswa Pink With Purpose bersama Remi Bader dan Chloe x Halle.
Pada Jun tahun lalu, Victoria’s Secret mengumumkan langkah untuk menukarkan arah label mereka dengan menggantikan “Angels” dengan barisan wanita seperti Megan Rapinoe, Eileen Gu, Paloma Elsesser, dan Priyanka Chopra Jonas untuk mendefinisikan standard kecantikan. Bintang TikTok dan model, Remi Bader dilantik sebagai perunding saiz dan duta untuk koleksi Pink.
Musim terbaharu siri, “Never Have I Ever” akan ditayangkan di Netflix pada bulan Ogos akan datang.
Foto: Getty Images & Instagram
Baca lebih lanjut: Acer Melancarkan Aspire Vero Edisi National Geographic