Teks : Izzati Saadin
Merungkai seribu persoalan mengenai autisma, fahami dan telitilah sindrom ini agar lebih mudah untuk menerima.
Empunya badan punyai cabarannya tersendiri, dan yang menjaga pula jika tidak punyai tahap kesabaran yang tinggi serta pemahaman yang tinggi akan autisma ini, mungkin kecundang di tengah jalan. Percayalah kanak-kanak dengan sindrom ini hanya bergantung pada keluarga dan orang yang dipercayai sahaja. Terus terang penjagaannya memang tidak mudah dan setiap perjalanan buat anak-anak istimewa ini adalah satu pembelajaran yang kekal. EH! mengupas isu ini untuk anda lebih memahami baik anda yang menjaga anak-anak autisma ataupun keliling anda.
Apakah itu autisma?
Menurut The Malaysian Medical Gazette oleh Pakar Psikiatri, Dr Nazariah Aiza Harun, Ia merupakan penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal. Nama Autisma berasal dari perkataan Greek autos yang membawa maksud ‘sendiri’ dan menurut Bleuler (Pakar Psikiatri Swiss yang membuat penemuan penyakit mental Skizofrenia), autisma membawa maksud ‘melarikan diri dari realiti’. Autisma juga dikategorikan sebagai satu penyakit psikiatri menurut The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition. Ia dikenali sebagai ‘Autism Spectrum Disorder‘ (ASD) yang mana mempengaruhi anak-anak dalam pelbagai cara yang unik dan pelbagai peringkat, yang mana ia menentukan jenis sokongan yang bagaimana diperlukan untuk membina hidup anak-anak autistik lebih sempurna.
Bila penyakit ini dapat dikesan?
Kanak-kanak yang mempunyai penyakit ASD ini akan mempunyai masalah dari segi sosial, komunikasi verbal atau nonverbal dan masalah tingkah laku. Perubahan di dalam aspek-aspek ini boleh di lihat seawal antara usia dua hingga tiga tahun. Penyakit ini tidak sama dengan penyakit attention deficit hyperactive disorder (ADHD). Namun ada sebilangan kanak-kanak yang boleh mempunyai kedua-dua penyakit ini dalam satu masa.
Menurut Garis Panduan Klinikal Pengurusan Autisma Malaysia, satu kajian menggunakan MHCAT (Mental Health Computerized Adaptive Testing) di kalangan kanak-kanak di antara usia 18 hingga 36 bulan di klinik kesihatan Ibu & Anak-Anak Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan kebarangkalian ASD di Malaysia adalah kira-kira 1.6 dalam 1000 kanak-kanak. Kajian juga menunjukkan bahawa autisma adalah empat hingga lima kali lebih biasa di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Penyakit autisma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial.
Punca Autisma
Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa faktor risiko untuk autisma. Antaranya ialah ibu yang lebih berusia ketika mengandung, masalah lahir pra matang yakni dalam lingkungan kurang 33 minggu, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, masalah fungsi otak terganggu seperti jangkitan, masalah semasa kehamilan atau kelahiran dan faktor genetik iaitu sejarah autisma dalam keluarga.
Ciri- ciri Autisma
Anda boleh perhatikan ciri-ciri sindrom autisma yang disenaraikan oleh kajian Autism & Health: laporan khas oleh Autism Speaks, Amerika Syarikat. Ciri-ciri ini boleh dikesan tidak kira usia namun usia kemuncak adalah ketika pra-sekolah dan ketika awal remaja.
- Kekejangan otot
- Mengantuk atau tidur terganggu
- Berkelakuan agresif
- Kemahiran sosial sepersi interaksi sosial / pemahaman
- Hubungan sosial sangat terhad: Tidak boleh berkawan atau tidak bermain dengan orang lain
- Tiada hubungan mata atau terhad
- Tidak melihat objek atau peristiwa yang dilihat ibu bapa atau ditunjuk kepada mereka
- Tidak menunjuk kepada objek atau peristiwa kepada ibu bapa untuk melihat mereka
- Tidak suka dibelai atau dipeluk dan tidak mahu diperlakukan sedemikian
- Kesukaran dengan memahami isyarat sosial
- Ketawa atau senyum tidak sesuai dengan keadaan
- Tidak menunjukkan minat
- Hanya menyertai kumpulan bila dibantu atau didesak
- Perbualan satu pihak
- Mengulang percakapan mengenai perkara yang sama
- Tingkah laku yang terhad, aktiviti yang berulangan
- Tidak suka perubahan
- Mengulangi sesuatu perbuatan
- Mengibas-gibaskan tangan
- Suka memutar objek
Terapi
Terdapat pelbagai jenis rawatan yang secara amnya boleh dibahagikan kepada kategori berikut: