Hari ini telah dikeluarkan kenyataan rasmi dari Istana Alam Shah, Selangor Darul Ehsan tentang pengumuman majlis pernikahan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan memaklumkan kepada sekalian rakyat negeri Selangor bahawa anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Saharafuddin Idris Shah Alhaj, akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Acara pernikahan ini dijadulkan berlangsung pada hari Khamis, 2 Oktober 2025 bersamaan 10 Rabiul Akhir 1447H. Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.
Manakala Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober 2025 bersamaan 30 Rabi’ul Akhir 1447H.
Bersempena pengumuman majlis pernikahan ini, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat dirancang berjalan pada 25 September 2025 bersamaan 3 Rabi’ul Akhir 1447H di seluruh masjid di negeri Selangor yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor bagi memohon doa semoga Istiadat Perkahwinan dan Majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang terletak di Shah Alam.
BACA: Bagaimana Putera Harry Memberi Penghormatan Kepada Mendiang Puteri Diana Di #RoyalWedding