Saya menerima kiriman e-mel dari agensi yang menguruskan hal promosi Hotel Soloha yang berlokasikan di Singapura. Menurut mereka hotel butik ini menawarkan pengalaman penginapan cukup menarik. Melihatkan gambar-gambar di laman sesawangnya, ternyata benar. Lantas saya tanyakan jika mereka mahu membuka peluang saya merasai sendiri pengalaman menginap di sana. Kecil tapak tangan, nyiru mereka tadahkan. Bagi mereka mengapa tidak, itu lebih baik berbanding sekadar menulis berdasarkan press release atau melihat foto sahaja.
Lalu, hujung minggu November lalu saya berpergian ke sana dan menginap satu malam di Hotel Soloha. Mereka berikan saya kamar loft yang pada saya cukup menyelesakan biarpun ruangnya terhad. Ya, kebanyakan hotel butik di Singapura tidak luas tapi mereka bijak mereka dan mengaturnya untuk menjadikan pengalaman tiap penginap menyelesakan. Berdasarkan pengalaman menginap di sini saya bariskan beberapa hal menarik tentang Hotel Soloha.
1- Terletak di sekitar Teck Lim Road iaitu kawasan kejiranan Keong Saik, perjalanan ke Hotel Soloha dari Lapangan Terbang Changi sangat mudah. Jika menggunakan MRT, boleh turun di stesen Chinatown, dan berjalan kaki dalam lapan ke 10 minit menuju ke hotel. Stesen MRT Outram Park juga terletak berdekatan dengan Hotel Soloha, memudahkan untuk tetamu yang merancang mahu ke pusat bandar seperti Orchard Road.