EH!xperience menyinggah kafe bakeri yang terkenal dengan konsep roti artisan, Bray Bakery, memberi pengalaman sourdough yang memikat pada setiap gigitan.
Apabila mencari sebuah kafe bakeri yang khusus menawarkan roti sourdough, saya akui bahawa ada satu stereotaip yang sering bermain di fikiran saya iaitu tanggapan bahawa kualiti roti tersebut selalunya kurang memuaskan, dengan tekstur yang terlalu keras, rasa yang terlalu masam, dan gigitan yang tidak memberikan kepuasan seperti yang diharapkan.
Namun begitu, perasaan ragu-ragu tersebut berubah sama sekali ketika saya menjejakkan kaki ke Bray Bakery. Ingin tahu kenapa? Jom baca…
Sejak dari pintu masuk lagi, suasana di dalam kafe itu sudah membangkitkan satu aroma roti yang baru dibakar memenuhi ruang udara.
Ruang dalamannya yang moden dan selesa, dihiasi dengan tona kehijauan, hiasan kayu hangat dan pencahayaan semula jadi, memberikan suasana yang tenang dan instagrammable.
Diasaskan oleh Jonathan Leon Lim, Bray Bakery berlokasi di Menara See Hoy Chan, Kuala Lumpur dan terkenal dengan konsep roti sourdough Eropah yang telah diolah mengikut citarasa rakyat Malaysia.
Bermula dari impian kecil semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, Jonathan mula bereksperimen dengan pembuatan roti sourdough setelah terinspirasi daripada chef-chef Eropah.
Tidak hanya menghasilkan roti, tetapi juga memperkenalkan budaya makanan artisan kepada pelanggan dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi seperti tepung pilihan dari Jepun dan Jerman, tanpa kompromi terhadap kualiti rasa dan tekstur.
Mengambil pendekatan berbeza daripada kafe-kafe biasa, Bray Bakery melangkah berani memperkenalkan konsep menu unik seperti ‘rice sourdough’ iaitu roti berasaskan beras nasi untuk mencipta cita rasa segar berbeza dan lembut dinikmati. Lagi satu yang saya kagumi, Bray Bakery komited menghasilkan menu baru sourdough bulanan khas buat pelanggan, memastikan setiap kunjungan sentiasa menawarkan pengalaman rasa yang segar dan istimewa
Tenaga kerja mereka terdiri daripada anak-anak muda tempatan, 100% rakyat Malaysia, yang dilatih untuk kreativiti dan cinta terhadap kraf pembuatan roti.
Menu pilihan EH!xperience di Bray Bakery yang anda wajib cuba:

1. Ondeh-Ondeh Loaf with Nyonya Kaya Gula Melaka Spread | Harga: RM15
Aroma pandan yang harum, inti gula melaka yang leleh dan taburan kelapa yang lembut menjadikan setiap gigitan seolah-olah membawa kita ke kampung halaman. Dihidang bersama sapuan kaya nyonya buatan sendiri, ini bukan sekadar roti, ini nostalgia dalam bentuk artisan!

2. Signature MCO Sourdough Toast | Harga: RM7
Dihasilkan ketika PKP pertama oleh pemilik Bray sendiri, roti bakar ini menggunakan kombinasi apple onion dan multigrain porridge sourdough. Rasanya ringkas tapi penuh rasa, sesuai untuk yang gemarkan sesuatu yang tidak terlalu berat dan sempurna untuk sarapan atau snek petang. Ps, kami rekomendasi sapuan mushroom butter!

3. Lunch 1/2 Chimichurri Chicken Sandwich | Harga: RM26
Satu lagi kegemaran kami, sandwic ayam berherba ini menggunakan separuh sourdough sebagai asas, digandingkan dengan ayam perapan chimichurri yang juicy. Sampingan seperti pickled chili fries dan salad menjadikan hidangan ini bukan saja sedap, tapi juga seimbang. Sesuai untuk tengah hari yang ringan tapi puas hati.

4. Baker’s Breakfast | Harga: RM32
Penuh dengan elemen segar! Dihidangkan dengan cendawan, tomato, telur, salad truffle miso, pesto dan ‘spam’ ayam buatan sendiri yang cukup unik. Gabungan rasa menjadikan sarapan ini lebih daripada sekadar permulaan hari.

5. Eggs Benedict | Harga: RM29
Hidangan klasik yang dinaik taraf dengan avocado hollandaise, potongan heart tomatoes yang segar menambah elemen manis semula jadi manakala salad hijau segar daripada Cultiveat memberi tekstur dan kesegaran yang seimbang. Kami memilih versi dengan salmon salai, lemaknya cukup berkrim dan terasa ‘melting’ di lidah. Bagi yang sukakan rasa lebih klasik dan berempah, pilihan salt beef juga tak kurang hebatnya.

6. Seafood Stew & Saffron | Harga: RM39
Sebuah hidangan mewah yang menggunakan lobster bisque sebagai asas kuah. Di dalamnya, anda akan menemui udang, kupang, sotong, dan saffron yang wangi. Disajikan bersama roti apple & onion sourdough sebagai pelengkap. Setiap sudu penuh dengan rasa laut yang mendalam dan memuaskan.

7. Smoked Salmon Open Toast | Harga: RM39
Dengan potongan salmon salai, dihias cantik di atas sourdough yang dibakar sempurna. Dihidang bersama truffle-candied wedges dan corn miso salad, hidangan ini bukan sahaja cantik di mata, tapi juga seimbang dari segi rasa lemak, masin, manis dan sedikit masam, semuanya ada!
Tidak ketinggalan, Bray Bakery juga bekerjasama dengan ‘sister company’ mereka, The Hub Coffee Roaster yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang kopi, menyediakan pengalaman kafe yang menyeluruh dari gabungan sourdough yang lembut dan kopi berkualiti tinggi dalam satu destinasi.

8. Signature Barista & Baker’s Pairing
Satu set ringkas tapi cukup sempurna untuk waktu santai. Separuh black coffee dan separuh white untuk mereka yang tak tahu nak pilih antara dua dunia! Dipadankan pula dengan kouign-amann yang rangup di luar dan lembut di dalam, manis dengan sentuhan karamel mentega. Serius, kalau anda perlukan “me time”, ini pilihan paling tepat.

9. Butterscoth Spice Latte
Jika anda penggemar kopi berperisa, Butterscotch Spice Latte dari Bray Bakery adalah satu kejutan manis yang tidak boleh dilepaskan. Aroma rempah ringan yang menghangatkan dan kelembutan karamel butterscotch menjadikan setiap hirupan cukup menenangkan. Ia sesuai dijadikan penutup selepas hidangan berat atau teman ketika anda mahu bersantai sambil membaca buku atau menikmati suasana Bray yang tenang dan moden.
Baca: EH!xperience : Restoran Itali Terbaik Di Malaysia Pilihan Pengarang