EH!xperience highlight senarai kafe kopi pilihan yang bukan sahaja menyajikan minuman berkualiti tinggi, tetapi juga menjanjikan pengalaman hang-out yang Instagram-worthy dan penuh karakter.
Bagi para pencinta kopi dan pemburu kafe estetik, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyelami dunia aroma dan rasa kopi yang menggodakan, direkomendasi menerusi EH!xperience kali ini.
Sama ada anda penggemar espresso yang penuh aroma, pencinta latte berkrim atau peminat minuman alternatif seperti matcha dan oat milk coffee, pasti ada sesuatu yang sesuai dengan selera anda.
Ps! Kami juga mengambil kira elemen seperti ruang yang mesra kerja (laptop-friendly), sudut membaca yang nyaman, layanan mesra pelanggan, serta suasana yang sesuai untuk sesi catch-up bersama sahabat atau me-time sambil menelusuri buku kegemaran.
Siapa tahu, kafe kopi kegemaran anda yang seterusnya mungkin berada dalam senarai EH!xperience!
Take A Bow, The Sphere Bangsar South
Khairul Abidin, Pengarah Kreatif
Ini antara destinasi santai yang sering menjadi pilihan saya, memandangkan lokasinya berdekatan dengan kediaman. Dekorasinya ringkas namun cozy, menjadikan suasana di sini begitu nyaman. Saya kerap berkunjung ke Take A Bow apabila terasa bosan duduk di rumah, sekadar bersantai sambil menikmati secawan kopi. Ada masanya, saya ke sini untuk membuat kerja atau mencari inspirasi baharu. Minuman pilihan saya di sini, selain Latte, ialah Einspanner (kopi gaya Vienna) yang menjadi kegemaran saya. Take A Bow turut menawarkan pelbagai variasi makanan, snek dan manisan untuk melengkapkan pengalaman anda di sini.
Lokasi: UG-5, The Sphere, Jalan Kerinchi, Bangsar South, 59200 Kuala Lumpur
PULP Cafe Bangsar
Amirul Ariffin, Pengarah Seni
PULP sentiasa menjadi pilihan utama saya, memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan kediaman saya. Kawasan sekitarnya juga cukup meriah, jadi sebaiknya datang awal untuk mendapatkan meja, terutamanya untuk sesi brunch atau makan tengah hari. Bagi saya, PULP masih kekal sebagai salah satu kafe kopi paling unik di Kuala Lumpur, dan mereka melakukan semuanya dengan begitu sempurna — daripada kualiti kopi, rekaan dalaman sehinggalah pilihan muzik yang diperdengarkan. Untuk kopi, pilihan saya ialah The Esther, manakala untuk makanan, saya tidak pernah terlepas menikmati Good Ol’ Eggs Benedict mereka yang sentiasa memuaskan.
Lokasi: 29-01, Jalan Riong, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
103 coffee
Farah Ain, Penolong Penerbit EH!
Bagi saya, 103 Coffee adalah antara hidden gem yang wajib dikunjungi, terutamanya buat pencinta kopi serius. Terletak di kawasan Chow Kit, kafe ini menawarkan pengalaman kopi yang benar-benar berbeza — dari segi kualiti biji kopi hinggalah ke cara penyediaannya. Saya suka datang ke sini bila terasa ingin menikmati kopi specialty yang betul-betul ‘hit the spot’. Antara minuman kegemaran saya di 103 Coffee ialah Hand Brew, yang sentiasa menggunakan pilihan biji kopi bermusim, termasuk dari Ethiopia, Colombia, dan Kenya. Setiap cawan membawa profil rasa yang berbeza. Ada yang fruity dan floral, ada juga yang kaya dengan coklat dan karamel. Kalau mahukan sesuatu yang lebih klasik, saya akan memilih Flat White, yang menggunakan house blend khas 103 Coffee, menghasilkan rasa seimbang dengan lapisan tekstur yang lembut dan creamy.
Lokasi: 9, Jalan Yap Ah Shak, Chow Kit, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Bray Bakery
Erdina Hairi, Penolong Penerbit EH!
Bray Bakery sememangnya menjadi lokasi kegemaran saya untuk menikmati secawan kopi yang sempurna! Pilihan utama saya? Cold Brew Matcha Foam, kombinasi kopi dan matcha yang tidak pernah mengecewakan. Minuman ini menggunakan campuran kopi Colombia “Pink Panther”, disempurnakan dengan buih matcha “Yabukita Espuma”. Setiap hirupan memberikan keseimbangan rasa unik antara keasidan kopi dan kelembutan umami matcha. Bray Bakery bukan sekadar tempat untuk menikmati kopi berkualiti, malah menawarkan suasana yang tenang dan selesa, lengkap dengan pelbagai hidangan yang memikat selera. Ia adalah destinasi ideal untuk sarapan santai atau sesi minum petang, di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur.
Lokasi: Bray Bakery, #G-02, Menara See Hoy Chan, 374, 50400 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Vcr Cafe
Eqa Zulkifli, Penolong Penerbit EH!
Buat anda yang gemar cafe hunting atau menetap di sekitar Kuala Lumpur, pastinya anda sudah familiar dengan kafe ikonik ini. Walaupun VCR mempunyai lebih daripada lima cawangan, saya paling gemar berkunjung ke cawangan mereka di Jalan Galloway, Bukit Bintang. Saya sering ke sini pada waktu pagi, sama ada untuk menikmati sarapan atau sekadar meluangkan masa dengan secawan kopi. Menu wajib setiap kali saya berkunjung sudah tentu VCR Big Breakfast dan Soft Shell Crab Burger. Untuk melengkapkan hari, saya tidak pernah lupa memesan Iced Latte, cukup untuk memberikan suntikan semangat dan memulakan hari saya dengan senyuman.